30.10.13

Malaikat Penjaga Mimpi

Gambar sekadar ilustrasi. Credit to Google Images
"Hey, kamu. Bangkit segera" suara tangkap tidak tangkap singgah ke corong telinga. Sedar dalam tidak sedar, mendengar panggilan yang datang entah dari mana suaranya.

"Hey, lekas bangun!" suaranya semakin keras kedengaran. Pelan-pelan membuka mata. Aduh pedih. Alah dek kemilau cahaya. Bagai disuluh-suluh silaunya, memeritkan anak mata.

"Siapa?" bersoal keliru.

"Sini. Aku di sini" suara tidak sekeras tadi. semakin jelas kedengaran. Tetapi asing!

"Siapa?" buntu. Siapa malam-malam begini, tampil dengan suara asing begitu diruang waktu-waktu tidur begini.

"Sini" suara datang dari cahaya silau itu. Susuknya terlindung dek silau yang memancar.

"Siapa?" bersoal keliru lagi.

"Aku. Bukankah kamu menyeru aku tadi. Memanggil ku datang ke mari. Membawa khabar yang kamu tanyakan tadi" jawabnya. Aku masih bingung. Menyeru? Memanggil? Siapa yang ku seru? Siapa? Aku tidak mengerti.

"Jangan bermain-main. Kau siapa?!" tegas ku. 

"Aku Malaikat Penjaga Mimpi mu" lucu. Bagi ku itu melucukan.

"Owwhh iya. Ini sekadar mimpi. Lantas kau ke mari." sinis pernyataan ku.

"Bukankah kamu berdoa kepada dia Ya Rab, bermohon agar pertanyaan kamu dijawabkan. Kini aku datang membawa khabar jawapan buat kamu..." jelasnya. Langsung menarik perhatian ku. Lekas mata dicelikkan ke arah cahaya. Biar ditahan sakit silau ini. Pedih memerah bebola mata ku. Namun tegah ku tahankan.

"Kau Malaikat Penjaga Mimpi ku...?"

"Seperti yang ku katakan tadi" Jawabnya. Cahaya menyusut. Satu susuk indah muncul dipandangan. Putih warnanya. Lut cahaya sifatnya. Berupa seperti manusia. Bersayap dua yang juga lut cahaya. Bersemi-semi cahaya melingkari susuk putih itu. Bagai berpercikkan bunga api yang menghias pada pakaian putih bersih itu. Juga lut cahaya. 

Susuk lut cahaya itu mendekat. Berkesot aku menjauh. Bergemuruh dada. 

"Usah risau. Aku juga hamba seperti kamu. Yang hidup sebagai hamba. Menghambakan diri buat Dia pencipta ku, Azzawajal" jelasnya mahu meyakinkan.

"Kita bertuhan yang sama?" soalku

"Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Nabi Muhammad itu peruruhNya..." syahadah diucapkan.

"Tidak percayakah kamu pada hal-hal yang ghaib yang menjadi kerukunan ugama mu?" soalnya.

"Kamu diutus bertemu ku?" memohon kepastian.

"Doa mu penuh kasih didengarnya Ilahi. Lantas diarahnya aku ketemu kamu. Seperti saudara-saudara mu yang lain. Yang meminta dengan penuh rasa pengharapan itu" sayapnya mengibas-ngibas lembut. Mara lagi menghampiri. Sehingga dalam jarak sekaki dua. Terbit bau harum yang bagaikan haruman kasturi yang mendamaikan itu. 

"Mahukah kamu andai ku khabarkan sebuah kisah buat kamu...?" soalnya seakan menawarkan.

"Jika ia baik buat ku. Khabarkanlah"

"Sesungguhnya ia permintaan kamu. Memohon andai dikhabarkan kisah ini. Bukankah itu doa-doa kamu ke hadratNya?" 

"Hmmm..." mengangguk setuju. Lantas tubuh didekati. Merapat sehingga tiada ruang bergerak untuk ku.

"Mari aku bisikkan..." mula bercerita. Sedari awal kisah. Sehingga ke penghujung. Satu persatu dikupas jelas. Tiadalah berselindung mahupun berkias. Nada yang lembut mendamaikan hati. Senada dan sekata. Sekadar kata yang mudah difahamkan. Aku mendengar ralit, bersama sesekali angguk tanda mengerti.  

"Betulkah kisahnya sebegitu?" terpacul soalan. Lantas bibirku ditekup jemari lut cahayanya. Ditegah meneruskan kata-kata itu. 

"Shhhhhhhh. Segalanya rahasia. Hanya kamu, aku dan Rabbul A'lamin sahaja yang mengetahuinya" diamanahkannya sedemikian. Aku akur, lalu mengangguk taat.

"Usah menungkan. Berfikir keterlaluan mencabut yakin mu pada Ya Rab. Lalui esok hari dalam damainya hati. Zikrullah. Mudah-mudah esok kita ketemu lagi. Sadar nanti, harus kamu fahami, ini semua sekadar mimpi..." lenyap langsung cahaya. Gelap malam menggantikan benderang. Harum kasturi ghaib bersama. 

Samar-samar dihujung telinga kedengaran. Sayup-sayup suara memuji keagunganNya Illahi. Semakin kuat... Semakin kuat... Semakin jelas... 5.40 am... Azam Fardhu Subuh kedengaran. Dan aku terjaga dari mimpi...

"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit"

Tak Bercakap Rabu



Pemujuk yang merajuk...
Pembetul yang tersalah...
Penegur yang jujur...
Pendamai yang keruh...
Pemesan buat si pelupa...

Kamu ada segalanya...
Terima Kasih 'Si Pendamai Hati...'


............................................Dari aras 7

29.10.13

Tetaplah Duhai Iman



Nota Android...
Aku berpesan bukan makna aku sempurna...
Aku berpesan mengingatkan diri sendiri juga...
Yang baik itu dari Allah...
Yang buruk itu juga dariNya...
Cuma ia atas asbab kelemahan diri aku sendiri...

Moga ditetapkan Iman kita...
Moga istiqamah dalam beramal...
Mari baca doa ini...

28.10.13

Phrase of The Day: Clew


"Yeah, and that'll lead you to another clue. And that's all you'll ever find, is another clue. 
Don't you get it, Ben?" Jon Voight

24.10.13

Kisah KL-Mersing & RM0.50

Credit to zackkarin - Blog

Assalam Buddies. Kesayangan ku sekelian. Yang mendorong dan memberi kekuatan. Terima kasih kerana asbab kalian meminjamkan kekuatan kalian, aku masih tegah terpacak di sini. Doa kalian buat aku, acapkali aku rungut-rungutkan nasib aku, mungkin Allah qabulkan. Lihat sahaja hari ni. Aku masih kuat.

Doa. Paling tidak, yang rasmi sebagai umat Islam, kita pasti akan berdoa 5 kali sehari. Solat. Solat tu doa bukan?  Zikir-zikir yang kita ratibkan selepas solat tu, semua doa bukan? Itu yang berhubung kait dengan solat. Yang dilakukan di luar waktu solat? doa bangun tidur, doa masuk tandas, doa keluar tandas. Tengok cermin berdoa. Nak makan, doa. Sudah makan berdoa. Pendek kata serba serbi berdoa.

Itu doa yang diajar. Yang rutin. Bagaimana pula doa yang dibisikkan di dalam hati. Yang sekadar kita mengingat akan dia Ya Rab, tempat kita bergantung harap. Semacam kita bersungut di dalam hati, tapi rungutan tu kita dahulukan dengan menyebut namaNya. 

Contohnya ketika kita tiba-tiba berasa dahaga, ketika panas terik yang kebetulan masa tu tak ada air. Lantas hati berbisik "Ya, Allah... Hausnya tekak ni. Kalau lah dapat minum air sejuk ni, alangkah nikmatnya..." yang ini pun doa bukan? Bayangkan secara tiba-tiba sahaja, datang seorang rakan membawa air. Nampak tak terqabul doa tu on the spot. Pernah tak kalian melalui detik-detik macam ni. 

Ajaibnya doa...

Aku ada pengalaman yang lebih kurang macam ni. Pengalaman di mana aku rasa pertolongan Allah tu bisa datang on the spot selepas kita berdoa dan berharap kepadaNya. Dalam banyak-banyak kisah doa terqabul ni, kisah yang aku nak cerita ni paling significant. Semacam ada satu sentimental value dalam kisah ni. 

Imbau semula kenangan sewaktu belajar sijil di ILP satu ketika dulu. Kalau bukan asbab belajar di Kuchai Lama tu, mungkin waktu-waktu tu aku tak jejak lagi Kuala Lumpur. Budak kampung. Anak sawit. Anak Felda. Memang jejak kaki ke KL tu bagai rusa masuk kampung la. Langsung blur. 

Nak balik kampung masa tu Pudu Raya la penghubungnya. Masa tu, nak ke sana pun tak reti. Mintak tolong la dengan kawan-kawan yang sudah biasa. Tu pun terkial-kial langkahnya. Bodo langsung la. Dengan beg besar gabaknya, padahal nak balik sehari dua je. Kampung betul aku. Even sampai hari ni pun aku rasa diri aku masih lagi 'budak kampung' yang numpang hidup di negeri orang ni. Budak kampung yang jiwanya luhur, innocent dan tak tau apa-apa...

Hari tu, pertama kali nak balik kampung. Puncanya sebab hati terlalu rindu kat mak ngan abah serta ada urusan nak minta tanda tangan diorang  Duduk di KL bagai neraka sempit bagi aku. Tak kena langsung dengan jiwa. Serabut.  Jadi bertekadlah aku untuk balik berhujung minggu di kampung. 

Bukak wallet, rasenya cukup. Tambang dari Kuchai Lama ke KL, RM 2 ringgit. Cukup. Kemudian cari tiket KL ke Mersing direct. Tak tahu harga tiket masa tu. Tapi redah je. Rasa-rasanya cukup kot. Tekad. Nekad. Ikutkan sahaja kata hati mu Zul! 

Sampai di Puduraya. Buat kali kedua. Pertama kali, ketika sampai dari kampung sewaktu nak mendaftar belajar. Beberapa bulan yang lepas. Terus mencari-cari kaunter tiket. Itu pun dipandu rakan. Sampai di situ sahaja panduannya. Memandangkan rakan tu pun rushing juga nak balik kampungnya di Penang kalau tak silap aku.

Nak dijadikan cerita sampai di Kaunter Transnasional terus check harga tiket. Hmmm.. Macam cukup. Bukak wallet untuk kira duit. Lepas tu pandang semula paparan harga tiket di depan. Telan air liur. Alamak, tak cukup. Seluk poket, tak de duit. Panic. Pandang sekeliling. Hilang dalam ramai. Celaru dengan bingit. Dengan sesak. Dengan asap. Cari sudut yang lapang sedikit untuk bernafas bebas. Walaupun tak lepas mana pun leganya.

Terfikir sesuatu. Kenapa tak cuba KL-Kluang. Tentu cukup. Yakin tiketnya murah sedikit memandangkan logik, jarak KL-Kluang lebih dekat berbanding KL-Mersing. Pantas membuat keputusan. Tanya semula di kaunter. Alhamdulillah cukup. Tolak harga tiket. Dengan duit yang ada dalam wallet tu, tinggal hanya RM 0.50. Lima posen. 

Macam mana tu. Sampai ke Kluang nanti. Perlu naik bas Kluang-Mersing. Tapi tambang bas ke Mersing sure tak lepas. Lagi pun bas akan bertolak jam 4pm nanti. Sampai Kluang, sure dah malam. Malam tak ade bas sangkut-sangkut Mersing Omnibus tu. Even kalau ada pun, duit tinggal lima posen. Takkan aku nak tenggek kat tingkap bas untuk balik kot. Mati!

Ikhtiar lain. Cadangnya lima posen tu buat modal call kampung sesampai di Kluang nanti. Cadangnye nak mintak diikhtiarkan jiran ke sape ke, untuk jemput aku di Kluang nanti. Ingat lagi, masa tu, nak call mak or abah terpaksa call rumah jiran terdekat. Jiran tu akan panggil diorang, dan aku perlu call semula agak-agak bila diorang dah sampai rumah jiran tu. Bayangkan. Boleh? Susah... Bukan susah. Cabaran hidup!

Jam 4 petang bas KL-Kluang bergolek tayarnya. Anggaran sampai jam 8 lebih nanti. Nekad je la. Doa dan berharap agar selamat perjalan dan dipermudahkan urusan. Harap sampai Kluang dengan selamat. Sampai Kluang nanti, ikhtiar la apa yang dah difikirkan tadi. Allah tak nak aku sarat berfikir agaknya. Ditidurkan aku sepanjang perjalanan. Sedar-sedar bas sudah memasuki Hentian Bas Kluang. Ya Allah. Terasa singkat perjalananan. Jam pun dalam pukul 8 macam tu la.

Bergegas turun bas. Tau tak apa yang aku nampak masa turun dari bas tu? Aku nampak Cik Rahman, jiran belakang rumah aku. Ya Allah, macam mudah je ceritanya. Berlari aku untuk dapatkan Cik Rahman tu. Menjemput anaknya barangkali. 

Laju kaki melangkah. Jarak agak jauh. Kalau aku teriak nama Cik Rahman tu, belum tentu dia dengar. Sayangnya aku tak cuba teriak. Dan tak terfikir untuk teriak. Aku perlahankan langkah, bila tengok Cik Rahman masuk keretanya dan bertolak balik agaknya. Dia tak nampak aku. Tak perasan aku kat situ. Langkah termati di situ. Sedikit berkeringat. Hampa. Harapan terkubur kat situ. Macam tu sahaja.

Pandang keliling. Disaster. Duduk sekejap. Memikirkan jalan. Ah. Solat Maghrib dulu la. Masa masih berbaki hujung-hujung. Naik ke surau. Solat. Dalam solat berdoa. Sujud lama dari biasa. Bukan minta Allah bagi magic hantar terus ke kampung naik tikar sejadah tu, tapi minta Allah tunjuk jalan ikhtiar. 

Siap solat bergegas lagi. Semua nak bergegas. Nampak tak tenangnya hati. Berserahlah. Seluk poket raih wang lima posen tadi. Ikhtiarkan hubungi kampung. Walau hati berbelah bagi. Mesti susahkan mak dan abah. Tapi ape lagi ikhtiar yang boleh difikirkan...? Buntu.

Turun tangga menghala ke deretan telefon awam di situ. Terfikir jugak. Ni, buat lah telefon tu telan langsung syiling aku ni, mati la. Macam mana ye... Fikir-fikir. Sedang leka berfikir...

"Eh, Zul..." terasa bahu diraih. Terus pandang siapa... Manimaran. Rakan sekelas masa sekolah menengah dulu. 

"Eh Maren. La, kau buat apa kat sini?" langsung menyoal.

"Aku nak balik Mersing la. Kau nak pergi mana ni, Zul?" soal Maren. Even Maren berbangsa India, Melayunya cukup fasih.

"Aku nak balik Nitar (kampung aku di Mersing tu)" jawab aku.

"Owh. Balik naik apa?" soalnya lagi. 

"Tu la. Aku nak call abah aku ni. Mintak dia jemput aku kat sini" jawab aku.

"La. Jom la joint aku naik bas. Bas Melaka-Kluang-Mersing. Bas pukul 9.30 ni" pelawa Maren. Sumpah aku tak tau ade bas Melaka-Kluang-Mersing tu. Tapi alangkah bertuahnya kalau aku berduit lebih masa tu.

"Eh, tak pe la Maren. Aku call abah aku je" terpakse menolak. Segan nak bagi tahu keadaan sebenar pun iya. Masa tu, start la aku macam nak blah dari Maren tu. 

"Alah. Susahkan orang tua kau je. Jom la naik bas dengan aku. Lama tak jumpa. Boleh borak-borak" Maren mengajak lagi. Aku jadi serba salah. Akhirnya...

"Sebenarnya aku tinggal ni je, Maren" aku tunjuk lima posen dalam genggaman. Maren pandang aku sambil senyum. Kemudian geleng kepala.

"Tak pe la. Aku belanje kau tiket. Bukan mahal pun, lima ringgit lebih je" pelawa Maren.

"Eh, tak payah la" cuba menolak. Segan.

"Tak pe la. Kau kawan aku. Bukan baru kenal pun..." Maren meyakinkan.

"Emm.. Aku pinjam dulu la Maren" serba salah.

"Tak pe. Aku ikhlas..." 

"Ok. Tq Maren. Susahkan kau je" lepas tu terus ke kaunter dan membeli tiket. Last tiket rupanya. 

Dan sepanjang jalan ke Mersing dipenuhkan dengan berbual dengan Maren.  Aku pun tak berapa ingat apa yang diborakkan. Tapi yang pasti, moment pertolongan Maren, aku ingat sampai aku mati.

Asbab pertolongan seorang rakan berbangsa India, yang bukanlah seagama dengan aku. Lagi bukan sebangsa, buat aku sampai ke kampung dengan selamatnya. Ya Allah. Pertolongan Mu tiba pada masa dan ketika yang cukup tepat. Dalam keadaan aku yakin, nekad dan berserah yang kau pasti akan membantu. Doa dalam sujud yang kau qabul kan di situ, ketika itu pada hari itu. Ajaib. Ajaib sebuah doa. 

Aku hanya mahu menjadikan kisah ini sebagai iktibar diri. Tidak yakinkah aku pada ajaibnya doa. Tidak percayakah aku pada pertolongan Allah... Zul, berdoalah... Allah sentiasa mendengarnya. Kerna Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar setiap keluhan hambanya yang mengharap pertolonganNya dengan redha. Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui setiap seuatu...

"Rabbi yassir wala tu 'assir"
"Ya Tuhan, permudahkanlah urusanku, permudahkanlah jangan disulitkan"

Aamiin



19.10.13

Selamat Pagi

"Assalamualaikum...

Selamat pagi...
Dan hari ini Allah kurniai lagi pagi buat semua
Masih mampu sadarkan dari mati yang seketika itu
Bangkit dari alam mimpi yang mainan itu (kadangkala mimpu itu petunjuk juga)
Arah mana kita mahu memilih
Bangkit bersama masa lalu yang diheret ke masa hadapan
Bangkit lantas memikirkan apa selepas ini..?
Atau bangkit REDHA dengan tenang
Bersiap dan berbisik ke hati
Hari ini hari baharu
Inilah harinya aku berubah ke arah yang lebih baik
Inilah hari yang harus aku tempuh....

Selamat pagi...
Semoga hari kamu diberkati dan dilindungiNya...
Tabahlah hati...
Allah bersama kamu..."

16.10.13

Mangkok!

Puisi buat Si Mangkuk...

Hai Mangkuk
Ekspressi hati aku mengatakan kau keji, hanyir lagi berbau yang meloyakan...
Sungguh begitu perihal kamu...
Manfaat kamu tetap ada...
Tempat najis...

Mangkuk...
Kamu menang MANGKUK...
Hari ini aku mengangkat kamu di sini...
Oh maaf... Its not a compliment...
Ia satu pengejian yang nyata!

Jangan terlalu fikir zon kamu itu selesa...
Hanya kerana kamu duduk solo di dalam bilik sempit itu...
Dasar mangkuk!
Oh...
Yang busuk...!

Kalau boleh, mulai esok aku mau berak di atas paper lama sahaja...
Tapi nak buat gi mana...
Kamu tetap ada gunanya...
Biarpun kamu itu...
Mangkuk yang nyata...

13.10.13

7:10AM

Hakikatnya aku hanya manusia biasa...
Walau gagah mana  menahan, hakikatnya apabila aku lapar,
Aku makan juga...

Dan tahan aku bukan hanya pada lapar sahaja... Itu hakikatnya....

9.10.13

Rindu Masa Berlalu


Hey buddies... Aku ni update blog tanpa menjengok blog kalian kan? Itu tidak bagus tu. Give me some space la. Perlu ruang. Perlu masa. Nanti aku dah semangat nak jengok, aku komen kaw kaw punya. Macam Tata yang rajin berkunjung tu. Salut la tata. Kau memang pen'sapot' aku yg paling terbestest!

Serious aku rindu masa zaman-zaman blaja sijil dulu. Ikut program muzaqarah petang-petang mcm bebudak dalam gambar ni... Macam sekarang ni, aku duk terconggok kat sini sorang-sorang... Tapi aku rasa amatlah coolnya pun hadoiii!!!

P/S: jangan risau... Aku sedang okey dan tenteram... Allah kan ada... Tempat mengadu... Jangan risau ya... Saya sudah besar walau nampak kiut macam "minion"... Saya hebat macam ejen 007! Huhuhu...

Tak Bercakap Rabu


"minta pada Allah... bukan pada makhluk..."

7.10.13

Redha


Hai buddies! Ada sesiapa yang bermasalah dengan Isnin? Kata orang "its always gonna be Monday blues?"... Pada aku tiada pun istilah 'Monday Blues' ni dalam pola pemikiran aku. Isnin ka. Selasa ka. Mahupun hari-hari seterusnya, masa tetap berjalan. Tempuh tetap perlu tempuh. Tak kirala hari tu sucks ke. Boring ke dan lain2 perasaan negative!

Cuma, aku selalu berdoa di dalam mahupun selepas solat yang lima tu agar diri aku terpelihara dari segala macam perkars yang tidak molek. Sihat tubuh badan. Waras akal fikiran. Dipermudahkan segala urusan. Dibukakan pintu rezeki dan segala macam perkara kebajikan.

Doa buat orang tua...
Ni satu hal yang perlu. Dan kadang-kadang tu, lepas sahaja solat dan berdoa, aku terus capai phone dan hubungi orang tua. Mak la yang biasa akan pick up phone. Mak akan tanya "dah solat?"... "Dah" jawab aku. Ringkas. Tentu sejuk hati mak mendengar jawapan aku. "Adik-adik semua dah solat? Tegur-tegurlah mana yang patut. Kau je la yang boleh tengok-tengokkan adik. Mak abah doakan je yang terbaik buat anak-anak" panjang pesannya mak. "Iye, mak jangan risau..." di hujung nada, ade sikit sebak la jugak. Besar tanggungjawab sebagai anak lelaki ni.... Aku harus kuat...

Mau pulang ke Johor...
Sepanjang pengalaman hidup merantau di tanah orang ni. Walaupun masih dalam negara sendiri, aku sebenarnya masih belum 100% boleh 'adapt' suasana kehiduapan di negeri Selangor yang permai ni. Jujur, hati makin lama makin merindui Johor biarpun selang sebulan atau dua kali dalan sebulan tu, aku akan pulang ke sana. Hati aku makin meronta mau pulang ke negeri tanah tumpah darah ku. Johor Darul Takzim.

Meminta pada Allah yang Maha Esa...
Bukankah kita punyai tuhan untuk kita panjatkan segala hajat. Apa tidak yakinkah kita pada sujud setiap yang lima waktu itu? Aku. Aku sendiri la. Udah mula belajar meminta hanya dari Allah. Bukan dari makhluknya. Kerana aku yakin benar. Akui dengan lisan. Mengaku dengan hati. Betapa Allah lah yang membenarkan mahupun menidakkan setiap hal yang berlaku dalam hidup aku. Mengapa. Bila. Siapa. Bagaimana. Di mana. Semua ketentuan yang sudah dicatat sebelum aku lahir lagi...

Aku tak mahu meminta pada makhluk. Aku hanya meminta pada Allah. Buang segala duka... Allah kan ada! Kamu? Tidak yakinkah pada Qada' dan Qadar tuhan? Jangan minta pada saya. Jangan minta pada sesiapa. Minta pada Allah yang maha kuasa, dalam penyerahan hati yang penuh REDHA...

SEKIAN...

1.10.13

Jadual Blogwalk

Since tajuk entry adalah berkaitan perihal 'jadual' maka ilustrasi pun perlu lah mengikot tema. Pic ni yang aku rase terpaling sesuai la sangat. Jangan terpengaruh sangat. Sekadar gambar yang menghias entry (jangan ade yang berani cakap, gaya aku macam Patrick!)

Seantero dunia dah tau betapa blog suam suku ni punyai bloglistnya yang terdiri dari blog-blog yang awesome... Banyak jugak tu. Sebab semua sedap-sedap belaka. Cuba check. Blog korang duk dalam list yang mana satu. 

Ade "SENTUHAN MEMOIR"
Ade "AKU SUKA BACA MEREKA
Ade "BLOG PENUH INFO
dan tak lain tak bukan...
"RAKAN2 DI GERILA PENULISAN KREATIF"   

Untuk aku capai semua blog yang ada dalam bloglist ni dalam masa satu hari, amatlah sukar memandangkan banyak komitmen-komitmen lain yang perlu diuruskan. Maka, oleh hal yang demikian, aku dengan selambe je akan me"manage" atau dalam bahasa simplenya menyusun-aturkan kunjungan aku ke blog korang, mengikut jadual blogwalk yang aku dah set ni....

Korang update lah sebanyak mana pun. Insyaallah, aku akan go through satu persatu start dari entry korang yang terbaru sampai lah entry korang yang paling last aku baca... Amacam okey tak? Okey ke, tak okey ke, aku dengan jayanya nak proceed jugak dengan planning aku ni. So amacam okey?

   
Okey memandangkan semua dah setuju... Kire macam ni la...

Selasa:
"SENTUHAN MEMOIR"

Rabu:
"AKU SUKA BACA MEREKA"

Khamis: 
 "BLOG PENUH INFO

Jumaat: 
"RAKAN2 DI GERILA PENULISAN KREATIF" 

Macam tu la lebih kurang... Insya Allah... Aku cuba untuk tidak menghampakan korang semua... Tapi aku tak nak la terlalu straight sangat ikut jadual ni... Cuma sebagai guideline je... Please ye... Ade cadangan lain? 
Aku okey je... 

Bila jadual ni nak berkuat kuasa?
Tunggu pekeliling keluar dulu la... (ikut suka ati aku... hehehehe)