28.8.13

Kari Pedas Emak


Assalamualaikum Buddies! Malam ni kena tidur awal. Tulis pun agak rushing ni. Mengejar jam yang dah menghapiri jam 12 tu. Tapi bila landing nanti, aku pun tak sure boleh tidur ke tak. Mak belum-belum dah sogok aku dengan kopi o kaw-kaw pekat. Aku pula bila dengar mak tanya "nak air tak?", tak boleh tahan diri dari nak manja-manja dengan mak yang nak buatkan air. Maklumla kalau kat Shah Alam tu, sape la nak buat air untuk aku yang belom berbini ni. Hihhiii... 

Mula-mula mak hulur kopi o. Tak lama lepas tu,"nah" terdengar suara mak. Aku yang asyik melayan Asia Food Channel waktu tu, sekadar mengerling ke arah mak yang sedang membimbit roti gardenia sebuku, dengan kari ayam. Semangkuk. Panas-panas lagi. Mengeluh aku dalam hati "makan lagiiiii". 

"Mak aihhhh. Kenyang lagi ke.." kata aku. Pukul 7 lebih tadi dah makan malam. Berlaukkan kari ayam ni lah. Aku makan dengan banyaknya. Walaupun mula-mula tu, cadangnya tak mahu menambah nasi. Tapi dek kerana masakan mak ni, aku memang tak boleh tahan. Tambah sikit nasi. Lepas tu meratah lauk. 

"Eh, mak pakai kari apa ye? Sedap la kari ni" soal aku sambil memilih-milih potongan daging ayam dalam mangkuk porcelain tu. Aku paling suka part kepak, drumstick dan tigh. Tadi aku dah dapat kepak sebelah. Lepas tu, aku perasan abah ade ambil sebelah. Mean, kepak, aku andaikan dah habis. Andai kata dalam tu tinggal bahagian dada je. Aku ingat, aku slow down la. Berhenti meratah. Tinggalkan bahagian dada tu untuk Kak Idah yang sedang membuta, lepas makan ubat batuknya tu. Bhahahah. Selfish gila!.

"Eh, ade lagi kepak". Exited bila dalam mangkuk tu ade lagi kepak. Aku jeling kat pinggan mak. Mak pun tengah makan kepak. Abah pula, kepak yang tadi dah habis. Tapi aku yakin benar, tadi abah ade ambil kepak seketul. Aku dah ambil satu tadi. Maknanya ade tiga ketul kepak. Campur yang dalam mangkuk ni, ada empat ke semuanya.

"Berapa ekor ayam nye ni, mak?" soal aku. Paling tidak dua ekor ni. Pasal ada empat ketul kepak yang telah dijumpai dalam kari tu. Dua ekor banyak tu. Sebab yang balik kali ni, aku ngan Kak Idah je.

Mak mengais-ngais kari tu. Pekat aku tengok kari yang mak masak ni. Pekat. Pedas. Padat. Padu. Power. Penangan air tangan mak. Ape lagi "P" yang sesuai untuk gambarkan kesedapan kari ni. Tiba-tiba...

"Eh..." aku kelihatan kepak yang kelima, muncul dibalik ubi kentang dan kuah kari yang pekat memikat tu.

"Memang kepak semuanya... Ade la mak campur sikit dengan ayam lebih dalam esbok (peti ais) tu" jelas mak aku.

"Ohh. Semua kepak..." balas aku lagi. Iye-iye aku ingat mak borong ayam banyak-banyak dan masak semuanya. Hahaha...  

Malam ni untuk supper, hidangan roti gardenia bersama cecapan kuah kari kepak ayam pedas emak. Layan sambil tengok Asia Food Channel yang memang 24 jam bercerita pasal makan tu. Hmm. Makan je la kejenya. 

****

Esok pagi-pagi, lebih kurang jam 4 pagi, perlu bertolak ke Johor Baru. Menghantar mak untuk jalani pemeriksaan mata di Hospital Sultan Ismail. Pemeriksaan kali ke dua. Yang lalu, aku tak dapat turut serta, cuma kakak-kakak sahaja yang pergi. Kali ni turn aku pula. Sebenarnya tiade la turn atau pun giliran pun. Sepakat sahaja kami adik beradik untuk mak dan abah. 

Okey la boboy dan gegirl semua. Sam Banjamin minta diri dulu.... Anyway. 

Nak p/s jugak la macam Zulfikar Hazri, Tapi P/S aku lain macam sikit:

P/S: 

i) Esok aku antar mak pi check kesihatan. Lepas tu, kebetulan dalam masa yang sama ada undangan ke majlis nikah sepupu di JB jugak. Jadi kot la ade yang tag atau aku sendiri upload gambar kenduri nikah sedara aku tu, jangan pulak ade pihak salah ertikan cuti aku ni. Ye la. Dalam borang cuti aku tulis reason, MENGHANTAR IBU UNTUK PEMERIKSAAN KESIHATAN DI HOSPITAL SULTAN ISMAIL, dan tak tulis pula MENGHADIRI KENDURI NIKAH SEPUPU dalam borang tu. Senang cerita consider aku dah apply cuti je la.  

ii) Aku dapat syak siapa dalang disebalik kehadiran "cik anon" tempohari. Anon, aku sayang kau. Kita tak pernah bermusuh. Kalau kau nak benci aku pun, aku faham, kau kan punya hak untuk benci atau suka-suka sesiapa sahaja dalam hidup kau. Indahnya perkenalan.....

Okey... Assalamualaikum...

26.8.13

Keret



Aku start suka makan keret. Makan mentah punya. Pagi tadi waktu bersarap, aku makan keret mentah. Yang dalam gambar tu untuk jualan. Aku pau keret sebatang dari chiller kitchen department (karet ni penjodoh bilangannya batang ke, biji?. Batang la kot. Karet mana ada biji).

Masa aku tengah makan keret tu, ada rakan menegur, "eeii ko makan mentah-mentah je keret tu?".

"Haah, mentah-mentah" krup krap krup krap, terasa lemak-lemak manisnya keret tu melalui anak tekak.

"Sedap ke?" soal member tu.

"Sedap je...." jawab aku ringkas.

"Eeii" member tu buat muka mencebik.

"Emm, keret susu kau minum x?" tanya aku. Nak suruh dia buat perbandingan.

"Minum.." jawab nya sambil tersengih.

"Emm, kalau kau tak caye, rase karet mentah ni saling tak tumpah macam air karet susu tu" jelas aku.

"Memang la. Nama pun karet..." bidasnya.

"Tapi ade beza. Yang ni fresh. Tak de susu, tak de gula, tak de ais. Piau keret" aku patahkan balik.

"Hmm. Ye la kan.." member tu dah mula setuju.

"Mana yang lebih baik?" soal aku semula.

"Interm of kesihatan pun baik faedahnya" berfakta sikit.

"Baik untuk mata" hah pandai pun.

"Nah. Nak try? Sedapppp. Caye la" aku suakan karet tu.

"Tak nak la" aku suakan jugak karet yang tinggal separuh tu.

"Bukan beracun pun. Karet kottt" meyakinkan member tu.

"Krup!" Segigit. Kemudian mula mengunyah. Krup krup krup krup... Keret ranggup tu dikecap-kecap.

"Amacam?" soal aku.

"Kau pi amik sebatang lagi..." jawabnya.

"Opps sorry, yang ni last, kita share je la"

Moment pagi tu. Berbreakfast bersama member dengan sebatang keret mentah yang dikongsi bersama. Cool tak? Sweet tak?

*************

Nak yakinkan orang lain akan perkara yang kita suka, yang orang lain tak suka, kalau betul dan kena caranya, tak perlu sampai berdebat-debat. Tak perlu berkesat-kesat bahasa untuk tentukan siapa betul. Siapa bagus.

Tapi, kalau mula pun x bagi salam. Biadap macam tak pernah  diajar adab. Jangan salahkan aku la kalau aku bertindak diluar kawal. Orang hospitality macam aku terdidik dengan manners. Jarang la aku nak 'mula'. 

25.8.13

Wayang Gambar & Kisah Restu


As-salam Buddies. Hujung minggu yang ceria harapannya. Seperti yang dirancangkan, tercapai juga hajat menonton wayang hujung minggu ni. Filem Elysium. Lakonan hero best, Mat Damon yang aku nampak fizikalnya, macam dah mula telan steriod tu. Mula-mula ingat nak gerak sendiri. Tapi, bila difikir-fikir why not ajak adik-adik yang tinggal serumah, kan lebih meriah.

Sepanjang Sabtu aktiviti penoh. Servis kereta. Kereta Preve yang aku kecoh-kecoh tu. Sampai kena sound dengan Cik Anon tu. Marah betul Cik Anon tu bila aku tulis berkenaan Kereta Preve kesayangan aku tu. Siap maki-maki lagi tanda protes dan tak puas hatinya. 

Tak tau pulak aku, blog aku ni, yang aku create ni nak kena minta restu Cik Anon terlebih dulu akan perihal apa yang aku nak tulis. Alahai Anonymous. Kesian. Tapi Jangan Serik ya. Datang la lagi. Cuma kalau boleh, beranikan la diri tu sikit. Guna je nama penuh. Kan boleh kenal. Nak laung prinsip dan pendirian, kalau rasa benar, buat apa takut-takut. Tak gitu kawan-kawan? 

Hmm. Lupakan la kisah Sabtu. Sebut-sebut pasal restu anon ni, teringat aku kisah restu yang disembangkan dengan adik aku Ain, masa memandu Kereta Preve ke Space U8 tadi. (Sebut lagi Preve. Umpan Anon tu. Dia datang lagi tak. Kot dia terbau perkataan Preve tu dia datang. Macam tikus terbau keju. Eh bukan keju, tikus terbau sampah). 

"Kau pernah dengar tak, orang tu dah kawen 2 tahun, tapi mak bapak dia boleh tak tau?" Ain tiba-tiba bercerita. 

"Hah?. Pelik jugak. Kawin lari ke ape?" soal aku semula, sambil-sambil fokus memandu kereta Pre... (okey cukup-cukup la nak sebut Preve)

"Bukan kawin lari. Kawin kat Selangor ni je?" jawabnya. Biasa kalau kawin lari, sure sampai ke Siam sana. Kalau setakat Selangor ni, macam tak cliché je.

"Kawan aku" tambah Ain lagi.

"Kawan kau? Budak mana?" Soal aku menarik minat Ain bercerita lagi, walhal aku sendiri dah tertarik untuk mendengar cerita seterusnya.

"Budak @$%% ... Member aku tu lelaki la" jelas Ain.

"Owhh lelaki. No wonder la. Tapi macam mana pula sampai mak bapak dia tak tau dia dah kawin?" masih tak faham walhal ceritanya simple sebenarnya.

"Alah. Ni kes mak bapak tak restu la. Mak bapak nak jodohkan dengan orang lain. Dia tak nak kot" Ain menjelaskan lagi.

"Wah! Drama sungguh, dah macam cerita kat TV pulak" aku menambah perasa.

"Tu la. Macam drama kan?. Ingat-ingatkan kat TV je ade cerita-cerita macam ni. Ni betul-betul punya" ujar Ain. Aku angguk angguk sahaja kemudian bertanya lagi "Habis diorang dah ada anak? Dah dua tahun kawen, takkan tak de anak?".

"Tak de. Sekarang ni wife dia ni, sanggup pulak dia kawen satu lagi. Dengan pilihan mak bapak member aku tu" aku pandang Ain. Macam tercengang sikit. Bukan pasal terkejut dengan kisah tu. Terkejot pasal ini kisah, sebijik dalam wayang gambar. 

"Ini memang betul-betul drama!" tambah aku. Sambil kaki terus menekan minyak kereta Preve yang Cik Anon tak merestuinya tu...

Hidup penuh dengan drama. Tapi tak perlu la nak jadi Drama King or Queen yang awardnya tak lain tak bukan, MENYAMPAH DEK ORANG! 

23.8.13

Identiti Ku Kantoi

Dikalangan teman-teman di tempat kerja, tak ramai yang tahu aku mengendali blog ni. Tak ramai tahu aku dikira seorang blogger. Walau picisan cuma. Yang tahu pun beberapa kerat sahaja. Itu pun teman-teman yang betul-betul rapat dan kira boleh dipercaya.

Blog ni personal. Aku kurang gemar andai tiap kali aku menulis, akan ada pihak yang bila bertemu, akan ulas perkara yang aku tulis tu. Blog, cerita di blog. Nak ulas, tinggalkan diruangan 'comment'. Nak ulas diluar sana, pastikan anda juga mempunyai blog. Sebabnya, hanya blogger sahaja yang faham jiwa blogger. Cool... (itu pasal agaknya blog aku ni tak pegi jauh).

Nak dijadikan cerita, petang tadi selesai makan, aku memilih untuk santai-santai sahaja di pejabat yang sekangkang kera yang dikongsi bersama 4 orang executive tu. PC yang sebijik tu digodek-godek rakan sekerja. Aku sekadar duduk bersandar bermalas-malas sahaja di sebuah lagi kerusi di dalam pejabat tu.

"Kau tengok. Internet dah boleh guna" kata Budin (bukan nama sebenar)

"Ohh. Kau buat macam mana?" soal aku kembali. Memang seharian sambungan internet terputus. Nak buat kerja pun tergendala. 

"Aku dah bayar bil" jawabnya selamba.

"Ahh. Banyak la bil" mana la datangnya bayar bil kalau internet semua free di UiTM ni.

"Ye la. Aku dah bayar bil. Sebab tu ade connection. Dah dua bulan bill tak bayar" Budin berseloroh lagi.

"Ye la tu Budin" malas melayan.

"Eh, nak tengok. Gambar kau ade tak kat dalam internet ni" ujar Budin. 

"Hah?! Ah dah tak de kerja la tu" balas aku sambil melihat Budin yang mula membuka aplikasi Google di desktop kumputer tu. Terus nama aku ditaipnya di situ.

"Okey Z.U.L.K.I.F.L.I  S.A ade koma kan? A.D.O.N" Budin mengeja nama aku. Siap nama penuh lagi. 

"Hurup A ade satu je, Budin!. Ko pandai-pandai je ubah nama bapak aku kan Budin.." melayan Budin yang entah ape-ape entah tu. Lawak mamat sekor ni.

"Oh.. Okey.." Huruf A dipadam kemudian Budin klik enter. Nah terang-terangan kantoi. Tapi belum kantoi habis lagi.


Budin pun nampak macam blur dengan apa yang terpapar. Dipandangnya aku. "Eh ape ni?" soalnya. Aku yang duduk kebelakang sikit dari Budin dah rasa macam nak meloncat. Tapi cuba kawal situasi. Agar Budin tak la syak ape-ape. Tapi rupanya Budin memiliki sikap ingin tahu yang mendalam. Bila aku jawab "Eh, entah. Mana aku tau", Budin terus klik pada nama yang pertama tu. Zulkifli Sa'don (SM Banjamin) on Twitter.

Waktu tu aku bingkas bangun. Bontot rase panas. Cis Budin. Betul-betul kau nak bagi aku kantoi ni. Link yang diklik Budin sedang loading. Agak perlahan internet waktu tu. Aku ambil peluang tinggalkan Budin sorang-sorang. Tombol pintu aku pusing sambil-sambil mengharap "Disconnect la. Disconnect la. Tolong la disconnect" hati aku meronta. Dan... Pap! Terpapar sudah. Waktu tu aku terus blah. Kantoi.


Sewaktu menutup pintu, sempat aku jeling PC. Menang kantoi. Siap gambar lagi. Waktu aku tinggalkan pejabat tu untuk pergi buat kerja lain, aku dengar Budin memekik dari dalam pejabat tu. "Woooiii... Ini ape ni?" aku harap-harap la Budin blur lagi dan tak paham apa yang sedang dilihatnya.

Petang tu aku tak jumpa Budin. Budin sebok dengan urusan Suaraya UiTM khabarnya. Jumpa-jumpa pun waktu balik tadi. Tapi syukur Budin tak kata apa-apa. Tapi tak tahu lah esok. Jangan Budin bukak mulut bertanya je. Ape la aku nak jawab ni. Hmm.. Jawab tak tahu je la...

21.8.13

Terasa Seperti Mahu Berubah Angin


As-salam Buddies. Bolehkah aku merungut? Mengadu-ngadukan hal yang aku rasa tidak seronok. Kalut la. Aku tidak suka. Dengan penat. Dengan rutin yang sama sehari-hari. Jumpa muka yang sama. Bercakap benda yang sama. Keluh pada perkara yang pusing-pusing tiada penyelesaiannya. Gitu juga!

Hanya cuti hujung-hujung minggu sahaja buat aku lupa seketika. Kalaulah jam sehari tu boleh ditambah atau dipendekkan. Nescaya aku mahu 'drag' masa untuk hari Sabtu dan Ahad tu selama yang boleh, kemudian memendekkan masa bagi lima yang lain itu. Penat melayan yang rutin. Yang angkuh. Yang cerewet. Aku ini dilayan seperti orang gajian semahunya. 

Oh. Nak jadi orang gaji tak perlu berbangsa Indonesia, Myanmar mahupun Filipina. Menjadi Melayu pun sudah cukup syarat untuk menjadi orang gaji kepada orang Melayu juga. Orang Melayu yang luarannya gamat dengan nasib Melayu. Walhal, perjuangannya bukan semua aku nampak ikhlasnya. Perjuangan yang lebih kepada perjuangan mengampu orang kaya. Perjuangan yang lebih kepada mahu makan sedap-sedap dan bayar murah-murah. Semuanya lalu lalang dengan wajah yang pura-pura sibuk! 

Sehari dua ini giat melayar internet. Jobstreet. JobsMalaysia. SPP. Iklan Jawatan Kosong. Jawatan Kosong Terkini. Malah tak segan silu hubungi rakan-rakan lama bertanyakan kekosongan. Malah lebih baik kalau kekosongan tu ada di ceruk Mersing sana. Hmmm... Ini yang orang kata balik kampung tanam jagung. Ah! Jagung pun jagunglah, kalau jagung tu bawa hasil. Jagung pun jagung lah!

Aku sedang Demotivated barang kali dalam istilah human resourcenya. 

Mencari angin baru. Sekarang ni cuba-cuba juga mencari jalan. Mengimpikan sesuatu yang lari dari kebiasaan. Paksa diri untuk senyum. Paksa diri untuk rajin. Paksa diri untuk tahan 8-5. Habis kerja, habis. Mudah-mudahan ada jalan keluar. Atau paling tidak keadaan bertambah baik. 

Vacation yang lama tidak mungkin. Tengok wayang. Outdoor activity. Dalam perancangan. Paling tidak hujung-hujung minggu. Itu pun kalau jadi. Itu pun kalau ada 'kaki'. Baru memohon-mohon dan rayu-rayu menjadi ahli. Tidak mengharap sangat. Selain itu, banyakkan bersukan sekembali dari kerja. Joging sampai menyembam-nyembam. Tidak pun bertapa di gymasium, menarik beban dan melepas tekanan. Dalam pada begitu, baju-baju lama dan seluar saiz lama dah boleh pakai semula. Sudah nampak kemajuan. 

Pushing The Limit!

Ahhhh!!! Tawakkaltu a'lallah... Jalan itu ada. Cuma belum kelihatan. Tak perlu la merungut sangat. Fikir yang baik-baik sahaja. Takot nanti orang bilang aku syok sendiri pula. Orang tidak mahu fikir. Aku sorang-sorang pun boleh fikir.

Esok hari baru. Hari lain. Harap sedari bangun dari tidur, segalanya kosong 
dan telah pergi...  

    

20.8.13

Scars


Maghrib orang suruh pi surau aku masih terkedek-kedek berjoging di Tarik Seksyen 7 tu... Bila sedar hari mulai gelap fikir-fikir nak lintas terus ikut short cut, lalu keluar dari trek joging bertar tu... Rentas dicelah-celah anak-anak pokok kering yang baru nak belajar hidup tu... Tak perasan selangkah lagi kaki bakal termasuk lubang sekaki dalamnya.. Zasss.. Slow motion tumbang... Terus menerpa anak pokok kering di hadapan..

Muka ada rasa perit dan semacam gatal-gatal pedih terutama di bahagian hidung dan bibir yang sebelah atas. Tangan meraba ke muka dalam rembang maghrib tu. Macam lekit-lekit berbau darah. Bila tengok tapak tangan.... Nahh merah darah memenuhi... Makin perit pulak..

Bergegas lari ke kereta. Capai sebotol ayer mineral sejuk berpeluh. Cuci tangan berdarah dan lari terus ke tandas awam di situ. Mujur tiada panjaga tandas yang biasanya akan paw RM tiga posen sekali masuk. Berdiri dpn cermin dan tengok muka. Mak aih, tak ubah bagai pontianak atau zombi drama Walkin Dead tu. Darah merah rupanya dah menutupi muka sebelah kanan mulut dan bawah dagu.

Buka paip lalu darah segera dicuci. Merah singki mengalirkan air dan darah. Cuci cuci dan cuci lagi.. Sampai baru nampak hilang darah tu. Aduh perit. Lebih 'aduh' lagi parut yang bersilang-silang pada muka tu. Jelas kelihatan.

Yang sebelah atas bibir dah hujung hidung nampak dalam koyaknya. Macam boleh diselak koyak tu. Cuba sengihkan bibir. Bersama itu koyak atas bibir tu pun ikut senyum. Ade darah sedikit ikut keluar. Luka lain nampak seperti sudah mula dilapik platlet. Lega. Tinggal cuba cuci yang bahagian hidung dan mulut sahaja. Cuci dan cuci. Mujur darah mulai berhenti mengalir.

Okeyyyy. Confirm sudah berhenti.. Terus pulang... Aircond dihala ke muka agar reda perit ketika memandu pulang. Sesampai ke rumah terus mengadap cermin. Seriously macam kemalangan teruk. Padahal jatuh sedikit sahaja.

Esok kerja. Banyak kerja. Staff tak cukup. Ada yang cuti tahun.. Ada yang MC. Macam mana tu? Decision.. Need decision.. And decide. Dan lepas tu decided.. Capai handphone.. Cari someone...

"Seha.. Kau boleh belikan aku face mask tak?..." dan tunggu jawapan.

SMS masuk "Okey. Aku pun kena pakai face mask ni. Coz batuk teruk. Nanti aku singgah farmasi". Nasib baik. Esoknya pergi kerja dengan face mask dipakai. Orang tanya kenapa. Aku jawab "Virus...".. Nasib baik la procedure kalau demam dalam industri makanan ni, dibolehkan pakai face mask. Coverline cemerlang namanya...

Cash.. Tuhan bayar cash. Dosa kecil tu. Dosa besar... Mana ada cash di dunia.. Tunggu balasan dalam neraka. Ya Allah, lindungi dari berbuat dosa besar...

Hari ni. Luka tu tinggalkan scar. Parut. Yang kecil-kecil dan calar mulai hilang sendiri.. Kantoi la aku menipu sepanjang Jumaat yang lepas. Mujurla rakan-rakan sporting dan tak ambil kisah sangat. Hmmm.... Pengajaran... Maghrib, kalau tak de urusan, elok-elok la ke surau... Mintak ampun banyak-banyak sama tuhan. Sesama manusia, kena jumpa face to face. Cakap belakang. Umpat. Serba serbilah.... Jangan naya orang... Baik jatuh sendiri dari menjatuhkan atau dijatuhkan...

Scars... Parut... Dengar parut je ingat aku nak tulis entry feeling-feeling la.. Tak jugak... Rentikan laaa...

13.8.13

Jom Preve


Aku perati, di jalan raya mahu pun di mana-mana semakin ramai orang guna Proton Preve. Sewaktu aku mula guna dulu, terfikir juga, "macam tak ramai je yang guna...". Tapi lama kelamaan sangkaan tu meleset.

Nah... Rakan-rakan sekerja pun dah ramai beralih kepada Proton Preve. Seronok rasanya. Ada gang. Sikit hari lagi boleh launch Kelab Preve UiTM Shah Alam la.

Kereta ni mampu milik. Sentuhan tempatan. Proud to be Malaysian. Apa tunggu lagi? Jom la... Boleh konvoi ramai2... Berbaloi-baloi....

8.8.13

Selamat Hari Raya Dari Sam Banjamin


Assalamualaikum semua...

Di sini ada cerita hari raya...
Hari ini hari raya...
Tamat sudah sebulan berpuasa...
Masa untuk bergembira...
Makan kueh raya...
Ketupat ada...
Lemang juga...
Tu belum ayer kordial oren penghilang dahaga...
Pendek kata...
Macam-macam ada...
Berjamulah semahunya...

Raya...
Jangan lupa tukar juadah dengan tetangga...
Kalau keturunan Jawa, di kampung saya...
Juadah ditukar-tukar sedari takbir bergema...
Dimulai adik-adik yang muda...
Dibalas pula yang lebih tua...
Jadi adat sekian lama...
Agar semua merasa...
Tanda bersaudara...
Sedikit-sedikit pun, penuh satu meja...
Rahmat raya pertama...
Tu belum saudara jauh-jauh tiba...
Memberi juga...


Raya & keberkatan...
Segalanya tentang pemberian...
Bukan hanya tentang makan...
Berjabatlah tangan...
Memberi dan meminta kemaafan...
Penuh keinsafan...
Sesalan...
Jalin kemesraan...
Tanam keikhlasan...
Bina persaudaraan...
Yang lepas kita lupakan...


Selamat hari raya dari Sam Banjamin...

3.8.13

Kad Raya Dari Blogger Jauh


As-salam buddies. Sambil-sambil melayan malam yang tak berilham ni, aku just nak berkongsi kegembiraan. Speechless. Memecahkan rekod berbelas tahun hari raya aku tanpa kehadiran kad raya. Seingat aku, zaman-zaman kanak-kanak dulu yang beriya-iya berutus kad raya ni. Bila usia makin lama makin tua, tradisi tu makin hilang. Tanda soal ditinggalkan di situ.

Persoalan pertama... Ke mana pergi kawan-kawan lama, yang dulu rajin berutus kad raya? Ada... Kalau di Facebook tu, selalu jugak berhubung. Persoalan kedua. Di kalangan rakan-rakan lama tu, berapa ramai yang aku sendiri ada simpan alamat rumah mereka? Termenung-menung sekejap. Jujur tak ada. (Hehehe... Teruknya aku ni!).. Sebab, selama ni, berhubung pun di Facebook Messenger. Tak pun melalui phone. Internet merubah segalanya kan...? (Cover line cemerlang) 

Kesimpulannya, dah patut la pelahan-lahan aku inbox diorang, untuk minta alamat rumah diorang semua tu. Termasuk la kalian semua rakan-rakan di Blogspot ni. Berguna tu. Menjelang tahun-tahun mendatang, Insya Allah berguna juga alamat-alamat tu sebab perlu jugak edar 'kad' selain kad raya kan... Tak gitu?

5 hari lagi nak raya. Sempat ke tak balas kad raya ni. Jauh tu, Seremban. Macam mana pun thanks a lot duhai sahabat. Kau buat "hati kuntum" aku tiba-tiba ceria menjelang raya ni. Insya Allah, balas tetap balas. Cuma harap postman yang bertugas tak apply cuti awal la tahun ni. Kang tersadai kad raya berukuran billboard yang aku nak balas ni kat tepi tol seremban tu. Tunggu ya kat depan pintu rumah. Insya Allah aku balas. Janji!   

2.8.13

Duit Raya Buat Cik Puteh


Biarlah gambar yang berbicara. Nak cakap lebih pun buat sentap sendiri je. RM 150. Nasib baik gaji baru je naik
"Yang kau pegi sondol divider tu buat ape?" 

"Gile kau aku nak saje-saje sondol"

"Dah tu..."

"Biase la... Mengantuk..."

"So?"

"Salah sendiri la"

"Nasib baik divider tu kukuh?"

"Apsal plak"

"Kalau tak, dah tentu-tentu la dengan divider tu sekali aku nak kena repair..."

"Iye tak ye jugak. Silap JKR la ni"

"JKR?"

"Ye la. Apsal dia bina divider kat situ..."

"Heheh. Banyak la kau..."