31.10.11

Sombong

Baru pangkatnya tinggi sedikit
Baru tanggungjawabnya berat sedikit
Baru gajinya lebih sedikit
Baru hartanya mewah sedikit
Baru wajahnya lawa sedikit
Baru 'gajet' nya canggih sedikit
Baru keretanya besar sedikit
Baru keluarganya kaya sedikit
Baru ilmunya pandai sedikit
Baru bajunya anggun sedikit
Baru amalnya dibuat sedikit
Baru kuasanya hebat sedikit
Baru suaranya didengar sedikit
Baru kerjanya dipuji sedikit
Baru jasanya dikenang sedikit
Baru kenalannya berada sedikit
Baru kulinya ramai sedikit

Dah tak boleh senyum pada yang sedikit
Dah tak mahu berbual-bual dengan yang sedikit
Dah tak melayan yang sedikit
Dah tak boleh ditegur oleh yang sedikit
Dah tak mahu menegur pada yang sedikit
Dah tak bercampur dengan yang sedikit
Dah tak boleh ingat pada yang sedikit
Dah tak pandang pada yang sedikit
Dah tak layak buat yang sedikit
Dah tak hormat pada yang sedikit
Dah tak boleh bersentuh dengan yang sedikit
Dah tak memberi pada yang sedikit
Dah tak menerima dari yang sedikit
Dah tak lalu pada yang sedikit

Sombong!
Sedikit-sedikit sombong!

30.10.11

Segmen Review Blog GPK: Bile Belle Bersuara

Assalamualaikum, salam hujung minggu. Debar Piala Malaysia menemui noktahnya. Tahniah pasukan Negeri Sembilan yang berjaya menjuarai kejohanan. Turun sebagai under dog namun, akhirnya muncul juara, dalam perlawanan yang sebegitu dramatik sekali. Teruja betul aku menonton perlawanan tu.

Mohon lupakan dahulu soal bola. Oh ye, juga mohon lupakan dahulu soal entry "Pesan Atok" yang aku janjikan semalam (ape daa Sam Banjamin ni... dah berjanji tak kotakan). Aku ade agenda lebih besar dari tu. Ini kerana malam ni, aku berhajat untuk terus proceed dengan Segmen Review Blog GPK. Dan blog yang 'terkono' malam ni, Bile Belle Bersuara. (Belle, untuk entry ni, Bile Belle Bersuara, saya short form kan ke 3B... Ok? Bleh ye...?)


Tanggal 26 Oktober 2011. Kali pertama kunjungan aku ke 3B bagi membaca entry bertajuk Kerumitan Dalam Hidup. Entry tu ringkas sahaja. Belle atau nama sebenar E Izabelle Bijoux-Yee sekadar menceritakan kisah kerumitan hidupnya, di mana perlu bangun pagi dengan rutin penjagaan kulitnya yang ketat. Macam-macam produk penjagaan yang perlu diamalkan setiap pagi sebelum Belle memulakan aktiviti harian yang lain. Pada aku, entry tu sangat ringkas dan padat. Tak perlu Belle menulis panjang-panjang, apa yang nak disampaikan terus dapat ditangkap. 



Setelah menyelongkar pada entry-entry yang ditulis Belle, aku mendapati yang Belle menjadikan blog sebagai medan untuk meluahkan ape yang dirasai, pegangan, pandangan serta falsafah kehidupannya, disamping Belle turut menggunakan blog sebagai diary maya bagi mencatat beberapa perkara penting yang dilaluinya saban hari. Bertepatanlah dengan ungkapan "kehidupan mula dicatatkan" yang tercatat pada header blog ni. Tapi, aku yakin, tak semuanya diceritakan di sini. Tak begitu Belle? Mari baca potongan di bawah ni... Haaa... Belle betul-betul marah tu. Jangan main-main.

Tuutttt... Tutttt... and tutttt... Hangin satu badan... 

Komen aku tentang blog ni. Aku suke tulisan Belle. Sebagai sebuah blog diary, tulisan Belle ade gaya sikit-sikit macam tulisan Shaz Johar. Penulis novel Kougar tu. Penyampaian Belle mudah dan tak meleret-leret. Cakap lepas je. Pendek kata, bile membaca Bila Belle Bersuara ni, seolah-olah Belle tu sendiri sedang mengomel-ngomel serta membebel betul-betul depan mata.

Blog ni baru. Follower pun tak ramai lagi. Tapi yang bagusnya, kekerapan mengupdate tu, setakat bulan Oktober ni, nampak istiqamahnye. Hari-hari ade je ngomelan Cik Belle ni. Ade je rungut-rungut yang nak dicoretkan. Tak pe Belle. Kiteorang ade je kat sini. Luahlah sampai termuntah pun. Kiteorang sedia mendengar.

Susun atur. May be kene ambil masa untuk arrange sikit la Belle. Bermula dari header, sampailah ke bawah tu. Kasi adjust sikit. Susunan kene kemas kini. Ruang kene bagi sama rata. Baru nampak seimbang dan lebih kemas.  Pemilihan warna hitam tu mungkin biasa, untuk beginner. Tapi nanti bile dah pandai setting, kasi make over sikit tau. Bagi nampak lebih menawan.

Cadangan widget tambahan adalah seperti berikut:

  • Shout Box dan seangkatan dengannya - kawan-kawan boleh tinggal jejak
  • Linkwithin - Entry-entry lama akan terpapar secara rawak. Pengunjung boleh terus klik kalau berminat untuk membacanya.
  • Most viewed entry - Untuk paparkan entry yang paling banyak mendapat sambutan.
Macam tu lah lebih kurang. Basic-basic yang perlu diberi perhatian oleh Cik Bell. Tak pe Belle. Take time. Kadang-kadang kite ni menulis blog pun sekadar suka-suki je kan. No harm... Cume, seriously, boleh pegi jauh. Sebab, ade gaya penulis. All The Best Buat Bila Belle Bersuara. Korang, ape lagi? Cepat follow and beri sokongan buat Cik E Izabelle Bijoux-Yee

Okey friend. Jumpa lagi pada hari yang sama minggu hadapan. Kepada sesiapa yang berminat, Please joint the club dulu la... Gerila Penulisan Kreatif. Klik Sini Untuk Mendaftar Keahlian. Minggu hadapan, giliran Blog teh 'O' beng. Tungguuuu!!!

28.10.11

Gerila Penulisan Kreatif: Admin Says

Impian aku, sebelum habis tahun ni, kalau boleh, GPK ni mencapai 800 jumlah keahlian... Kalau boleh 1000... Sape antare korang yang sudi tolong aku laksanakan impian aku tu? angkat tangan... Tak kirelah korang add member ke... Promote kat blog korang ke... sape bleh tolong? aku jugak berhajat nak buat segmen review blog member2 GPK ni seminggu sekali... start minggu depan... bleh ye... sape rajin n baik hati, nanti aku review die... Sayang korang semua...
Kire Segmen Review Blog Dari GPK ni kembali lah. Dulu aku pernah buat segmen ni. Tapi dek kerana aku buat review hampir setiap hari waktu tu, akhirnya aku kehilangan momentum akibat tuntutan komitmen lain seperti kerja serta urusan harian. Al maklum sahajalah untuk mereview ni, banyak perkara harus diambil kira. Masa, info serta bahan. Pendek kata, perlu study blog-blog yang nak direview terlebih dahulu. Kot salah review nanti, ade pulak yang sentap.
Lepas ni, seminggu sekali sahaja. Jadi, dapatlah aku manfaatkan masa yang panjang tu untuk study blog-blog yang bakal di review nanti. Opss.. Maaf, segmen ni segmen khas. Khas untuk ahli-ahli di Gerila Penulisan Kreatif sahaja. Jadi, kalau kalian tak nak ketinggalan, apa kata joint the club. Meh sertai kami... Kecil tapak tangan, kawah tahi bintang di arezona america aku tadahkan!
Oh ye.. Terdekat, entry yang bakal dipublishkan... Pesan Atuk... Tunggu sikit masa lagi...

27.10.11

Cerita Zaman Kecil: Abang Honel

Honel. Kali pertama aku mendengar serta mengenal nama itu di antara umur ku 10 ke 11 tahun, ketika kami sekeluarga berpindah ke Kampung Sawah Dato' bagi meng-kawan-kan arwah nenek jantan yang tinggal bersorangan di sana. Honel. Pertama kali aku melihat pemunya badan bernama Honel itu, ketika aku sedang asyik bermain bola sepak di halaman bersama adik-adik ku ain dan syukri serta seorang abang berpangkat dua pupu yang senang aku panggil dengan nama Nuar. 

Sedang leka serta ligat aku mengkelecek adik-adik, secara tiba-tiba muncul sesosok tubuh lelaki berusia seawal 40 an berdiri di tepian halaman yang sedang asyik menyaksikan kami bermain. Memerhati dengan raut wajah serious, namun sesekali tersenyum ke arah aku. Siapa dia? Terus-terus hati mula bergetus. Gayanya tak ubah seperti seorang pengurus pasukan bola sepak yang sedang mengamati latihan pemain-pemain, cuma pakaian, misai, jambang serta rambutnya yang kurang cocok serta tidak terurus itu, mencerminkan sebaliknya. Orang gila! Lagi hati ku bergetus. 

Terus-terus pandangannya tepat ke arah ku. Sambil-sambil kali ini, terus-terus senyumannya dileretkan kepada aku. Tidak pula bernafsu untuk aku membalas senyuman kepada lelaki asing yang baru pertama kali memunculkan dirinya di situ. Aku hanya membalas senyumannya dengan wajah yang biasa-biasa tanpa sebarang perasaan. Suka tidak. Benci pun tidak. Cuma agak aneh serta sedikit malu lagi takut-takut melihatkan keadaannya yang tidak terurus itu. 

"Honel" suara mak datang dari pintu dapur yang jaraknya tidak jauh dari tempat kami bermain.

"Honel?" soal hatiku.

Lelaki yang dipanggil mak sebagai Honel itu, berpaling. Senyum seraya berjalan tunduk ke arah mak yang menyapanya. Tangan mak disalam. Honel bagai  tersipu-sipu malu. Waktu bersalam dengan mak. Honel menyebut "Mak Yam". Wujud satu lagi persoalan. Mengapa lelaki bernama Honel itu memanggil mak dengan panggilan "Mak Yam". Panggillan yang khusus digunakan di kalangan anak-anak sedara sebelah abah terhadap mak. Seingat aku, sepupu-sepupu aku yang lain seperti Abang Nas, Abang As, Kak Mas, Abang Halim dan yang lain-lain, yang mana berpangkat sepupu serta dua pupu dengan aku, memanggil mak dengan panggilan "Mak Yam". Honel ini bersaudarakah dengan aku? Mungkin...

"Hey.. Ni salam Abang Honel ni!" mak bertempik dari pintu dapur tempat mereka berdiri.

Tanpa membantah, aku, Ain dan Syukri berlari bagi bersalam dengan Abang Honel itu. Tangannya di salam walaupun dalam hati yang berat-berat. Selesai bersalam, kami menyambung bermain semula tanpa mempedulikan Abang Honel yang sedang dijamu dengan kopi o serta jejemput pisang oleh mak. Sesekali aku menjeling ke arah Abang Honel yang asyik berbual berteman mak serta arwah nenek jantan yang turut minum petang bersama. Asyik benar Abang Hobel menghirup kopi panas serta menjamah jejemput pisang  yang dihidangkan. Bangai orang kelaparan.

"Heh Nuar, siape tu?" soal aku kepada dua pupu ku Nuar.

"Tu Abang Honel la..." jawab Nuar dalam keadaan mencungap-cungap.

"Ye la. Siapa?" soal ku lagi bila jawapan yang diberikan Nuar belum cukup jelas.

"Abang Honel tu anak Pak lah la..." jawab Nuar lagi.

"Pak Lah?" lagi, aku bertanya.

"Dolah Kunat" sekadar dua patah nama yang disebut Nuar. Aku kini jelas.

"Oooo... Anak Pak Lah"

****

Beberapa hari setelah kunjungannya, aku memandang dari pintu dapur, Abang Honel muncul lagi. Kali ini berbasikal tua. Besar tayarnya. Aku memerhati Abang Honel bersusah-susah menongkat basikal tuanya betul-betul pada pangkal pohon manggis. Pakaiannya hari itu kemas sedikit. Sedikit sahaja, berbanding hari kelmarin. Cuma, hujung kaki seluarnya yang sebelah kanan agak jelas kehitaman dek geseran pada rantai basikal tuanya itu barangkali. Kenapa tak disinsingkan terlebih dahulu kaki seluar itu? Bisik hati aku, sebagaimana yang selalu dipesan mak setiap kali sebelum aku bertolak ke sekolah agama "jangan lupa seluar tu, sinsingkan dulu sebelum naik basikal. Karang habis hitam kene rantai besikal".

Honel membimbit sesuatu dengan beg plastik besar berwarna merah. Tak penuh, tapi agak sarat dan berat, sehingga tersenget-senget langkahnya. Entah apa yang beria-ia, dibawanya? Bisik hati ku lagi.

"Nah Mak Yam" beg plastik diletakkan pada muka pintu.

"Salam! Eh, ape bende ni Nel?" perkataan salam tu ditujukan untuk aku. Agar pandai beradab apabila tetamu datang, mesti disambut dengan bersalam. Mak memang pantang kalau aku tak bersalam tiap kali ada tetamu yang datang. Ketika bersalam, sempat aku menjeling ke arah bungkusan yang dibawa Abang Honel. Terdapat semacam tumbuhan yang melingkar-lingkar didalamnya. Nak dikata ranting bukan. Nak dikata rotan pun bukan.

"Sulur keladi Mak Yam. Ambil dari kebun nenek ni" jawab Abang Honel.

"Sulur keladi?" hati aku berbisik lagi. Tak pernah aku dengari. Tapi itulah yang dibawa Abang Honel hari tu.

"Ooo... Ya Allah, banyaknye. Susah-susah je kau ni Nel" mak berbahasa.

"Tak ade lah Mak Yam. Saye tengok banyak pokok keladi kat kebun tu. Teringat pulak Mak Yam ade sebut kelmarin" jawab Honel.

"Le. Mak Yam sebut je. Tak de la sampai suruh kau susah-susah pegi ambil. Sekejap ye Nel. Sekejap" mak menghilang meninggalkan aku dengan Abang Honel di muka pintu.

"Kefli pernah makan sulur keladi?" soal Abang Honel. Aku sekadar menggeleng kepala sambil membelek-belek tumbuhan yang dipanggil sulur keladi tu.

"Masak asam rebus ni sedap tau" sambungnya lagi.

"Ooo. Pokok die ni, macam mana bang? Tak penah dengar pun?" aku mula menyoal. Berminat nak tahu.

"Pokok keladi kan tumbuh menjalar. Ni kire sulurnyelah. Antare pokok keladi dengan pokok keladi, sulur ni yang sambungkan" terang Abang Honel.

"Oooo... Macam akar la ni?" aku cuba membuat kesimpulan.

"Haa... Pandai... Macam tu la lebih kurang" sambung Abang Honel.

"Nah ni Nel..." mak muncul sambil menghulur wang yang entah berapa banyak, aku pun tak berapa pasti. Tidak ambil tahu.

"Eh tak pe Mak Yam. Ikhlas ni" Abang Honel malu-malu menolak.

"Ambik... Buat duit kopi" desak mak lagi.

"Tak pe Mak Yam. Tak pe" tolak Abang Honel. Benar-benar menolak dan terus ke arah basikal tuanya. Bersusah-susah menyahtongkatkan basikal tuanya sambil senyum-senyum kepada aku dan mak yang tercegat di muka pintu.

"Tak pe la Mak Yam. Simpan je duit tu. Buat belanja anak-anak Mak Yam" sambungnya sambil terus mengohet basikalnya meninggalkan halaman.

"Baik betul Honel ni. Kesian mak tengok die..." mak seakan mengeluh.

"Kesian? Kenapa mak?" aku mula lah menyoal.

****

Setelah dijelaskan mak, baru aku tahu yang Abang Honel dahulunya bukan berkeadaan tak terurus begitu. Segalanya bermula semenjak dia diserang penyakit sawan. Menurut mak juga, Abang Honel dahulu, pernah bekerja sebagai kerani sebelum diberhentikan gara-gara sering diserang penyakit sawan itu. Entahlah. Tak ada ubatkah bagi penyakit sawan ni. Wajarkah Abang Honel diberhentikan hanya kerana berpenyakit sedemikian. Fikir aku waktu itu, menjangkau kepada keluarganya. Biarpun, bukanlah urusan aku untuk mencampuri urusan mereka, soalnya, tiadakah usaha untuk menyembuhkan penyakit Honel itu?

Gila Babi! Tu gelaran yang sering aku dengar terhadap penyakit sawan yang dihidap Abang Honel. Persoalan bermain lagi dibenak aku. Tiadakah gelaran yang lebih elok untuk dirujukkan kepada penyakit sawan itu, selain Gila Babi. Tidak terfikirkah di kalangan masyarakat akan kesan psycology yang ditanggung penghidap penyakit itu, bila penyakitnya dirujukkan kepada nama haiwan yang hina itu. Kasihan.

Semenjak hari itu, kehadiran Abang Honel tidak lagi disambut dengan banyak persoalan. Sebaliknya perasaan simpati dan kasihan. Barangkali dikalangan masyarakat kampung, Abang Honel sudah tiada tempat di hati mereka selain jijik. Tidak buat aku. Yang jijik itu aku jadikan kawan. Yang kotor itu jadi teman bermain. Biarpun jarak usia antara kami, layak untuk aku memanggilnya bukan Abang Honel, tapi Uncle Honel. 

Beberapa kali Abang Honel rebah di hadapan muka pintu rumah arwah nenek. Bukan akibat diserang sawan, tapi bila arwah nenek soal, rupa-rupanya Abang Honel tak makan lagi. Terpaksalah kami memapahnya ke dalam rumah. Memberinya air dan makan. Sayu hati aku bila melihat Abang Honel menjamah makanan, tak ubah seperti orang yang tidak makan beberapa hari... Memang itu pun yang berlaku kepadanya... Sungguh menyayat hati. Dan kejadian itu berulang beberapa kali. Dan aku dan arwah nenek lah yang yang bergegas-gegas mengejut serta memapahnya ke dalam rumah.

*****

Sekitar tahun 2005 ketika pulang ke Mersing sempena cuti semester UiTM. Aku terserempak dengan Abang Honel ketika aku sedang menunggu bas untuk pulang ke Felda Nitar. Buat sekian kali semenjak aku meninggalkan Kampung Sawah Dato' pada tahun-tahun 2000 atau 2001. Keadaannya adalah lebih teruk dari yang dapat aku gambarkan sebelum ini. Compang camping pakaiannya. Kusut masai serta kian beruban rambutnya. Kurus melidi tubuhnya. Dari jauh dapat aku lihat Abang Honel sedang mengais-ngais longkang tanpa mempedulikan orang lain disekililingnya. Ketika aku menghampiri, Abang Honel buat tak peduli.

"Cari apa tu bang?" soal aku.

"Cari duit syiling" jawabnya tanpa rasa malu-malu.

"Tak pe bang. Tak yah cari lagi, ambil ni" tak banyak yang mampu aku bagi. Maklumlah, ketika itu masih lagi belajar. Apa yang termampu, itulah yang aku beri. Dari membiarkannya terus mengais-ngais dari dalam parit itu. Abang Honel tidak menolak. Menerima sedekah ku dah terus pergi.

Apabila sampai di rumah, aku menceritakan apa yang berlaku kepada mak. Macam tak percaya yang mak juga tahu akan apa yang terjadi kepada Abang Honel kini. Mak juga pernah terserempak dengannya. Tapi, apalah yang dapat dibantu dari orang yang juga susah macam kami. Kata mak lagi, sewaktu terjumpa Abang Honel di bandar mersing dahulu, mak hanya dapat membelikan air kotak, roti serta sedekit sedekah buat belanjanya. Itulah kali terakhir mak bertemu Abang Honel. Itulah juga kali terakhir aku mengetahui khabarnya. Apalah nasib Abang Honel sekarang. Entahkan hidup, entahkan tidak... Ya Allah, dimanapun insan bernama Honel itu berada, aku doakan agar rahmat kasih sayang mu sentiasa bersamanya... Amin... 

26.10.11

Konvokasyen Ohhh Konvokasyen

Hai kalian. Rabu yang harmoni. Apa khabar kaki kaki blog? Tidak kiralah sama ada penulis tegar mahupun pelawat tegar. Semoga kalian semua berada dalam keadaan sejahtera hendaknya. Hari ini mood raya. Hari Depavali. Buat seluruh masyarakat India, di mana jua kalian berada, dengan semangat keharmonian Bangsa Malaysia, aku dengan kesempatan yang ada ini ingin sekali lagi mengucapkan selamat menyambut Hari Depavali buat kalian. 

Semoga kedatangan Dewali tahun ini disambut dalam suasana harmoni. Syukur bukan? Di Malaysia ni, pelbagai perkara dapat dirasai bersama. Raya, makanan, budaya dan macam-macam lagi. Kite makan lauk awak. Awak makan lauk kite. Awak suke, kite gembire. Kite suke, awak kene masak lagi. Berlebih kurang sesama kita. Janji keharmonian terjaga. Walaupun kite tahu, kadang-kadang kite terbuat salah. Awak terasa. Tapi kite banyak beralah. Ingat-ingatlah susah payah datuk nenek kite dulu dalam memerdekakan negara bersama-sama dengan datuk nenek awak. Kite sekarang ni, tinggal mengekalkan kemerdekaan tu je. Bukan mudah... Tapi kalau kita lakukan sama-sama macam datuk nenek kita dulu, tentu kita boleh... Malaysia Boleh!

@@@@@@@@

Tradisi biasa bagi aku di Hotel UiTM. Keterlibatan secara tak langsung dalam menjayakan Istiadat Konvokasyen UiTM. Tahun ni. Kali ni, dah menjangkau kali yang ke-75. Dalam tempoh tu, khabarnya UiTM sendiri dah melahirkan lebih setengah juta graduan. Maka bertebaranlah cerdik pandai dari kalangan orang-orang Bumiputera. Melayu serta masyarakat Peribumi di Malaysia ni. Hebat!

Dalam setengah juta tu, aku tergolong. Bersama-sama kalian juga, yang turut tergolong. Cuma yang membezakan kita, aku mungkin sebahagian daripada graduan UiTM yang tak berkesempatan merasai kenikmatan gahnya berdiri di pentas utama bagi menerima skroll konvokasyen tu. Aku tak berkesempatan merasai nikmat tu. Nikmat berjalan di atas pentas utama tu. Nikmat bersalam dengan Tuanku Canselor, Vice Canselor,  mahupun Pro-pro canselor yang menyampaikan skroll pada hari konvokasyen tu. Tak berkesempatan.

Melihatkan adik-adik yang tersenyum girang dan puas ketika menyambut scroll masing-masing membetikkan rasa teringin di hati. Aku nak rasa suasana tu. Aku nak lalui pengalaman tu. Dan caranya. Aku harus lekas menguatkan azam aku untuk menyambung pengajian agar apabila graduate nanti, aku akhirnya akan berpeluang sekali lagi untuk berkonvokasyen, setelah bukan satu, malah dua konvokasyen terpaksa aku lepaskan.

Pertama, seawal peringkat sijil dahulu. Konvokasyen ILP Satu Malaysia yang diadakan di Putra Jaya. Aku lepaskan gara-gara tuntutan latihan tahunan Kadet Pegawai Palapes di UiTM Perak, sewaktu menganggotai Palapes UiTM, yang akhirnya aku anggotai sekerat jalan sahaja. Tak merasa aku detik-detik bersejarah menerima skroll sebagai pelajar terbaik keseluruhan mewakili ILPKL. Masa tu aku tak rasa kesal, tapi hari ni, baru aku sedar, aku telah melepaskan sesuatu yang boleh diabadikan sebagai sentimental value untuk diri sendiri.

Kedua, ketika peringkat Diploma di UiTM. Grad cemerlang bukanlah syarat buat aku untuk ke konvokasyen. Tidak semena-mena abah jatuh sakit. Diserang penyakit buah pinggang yang agak kronik. Dan waktu tu, dikalangan adik-beradik akulah yang paling available. Dengan kakak-kakak aku yang sudah terikat dengan pekerjaan tetap. Adik-adik pula sedang sibuk dengan pengajian di IPT. Mahu tak mahu, biarlah dilepaskan sahaja konvokasyen tu, berbanding menolong mak menjaga abah yang sakit kuat masa tu. Kali ni aku tak frust. Sebaliknya puas!

Ade la hikmah nye tu. Aku fikir positif je. Semua ni just pembakar semangat aku untuk sambung mengaji. Alang-alang. Naik pentas nanti, biar sebelum nama aku dilaung. Pengacara majlis akan sebut... "Penerima Anugerah Naib Canseor, Zulkifli Sa'don.. Kelas Pertama!!!!".. Boleh! Aku pernah jadi terbaik! Orang lain boleh jadi terbaik! Kenapa aku tidak! Aku boleh lakukan dengan azam yang kian membara! 

Happy Diwali 2011

"Deepavali is the festival of lights... The glow of the earthen diyas spreads the light of harmony, festivity and celebration. Be it Dhanteras or Kali Puja in Bengal, Deepavali is a joyous occasion 
celebrated among Indians." http://www.deepavali-cards.com/





Selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat India yang meraikannya. Semoga perpaduan terjalin sesama kita. Salam Diwali. Salam 1 Malaysia. 
Dari Sam Banjamin... 

24.10.11

Monolog Blog Nan Sepi

Ketiadaan mood walau pun idea sedang berbaris menanti dicoretkan... semua gara-gara keletihan sepanjang minggu konvokasyen UiTM ke 75 ni... Masuk kerja seawal jam 7 am dan pulang selewat 8 pm... Aku memerlukan rehat yang cukup buat minggu ni... 

Melihat adik-adik berbaris megah ketika mengambil skrol konvokasyen, hati aku terdetik untuk menaipkan sesuatu tentang konvokasyen. Hampir terlupa tentang Entry "Abang Honel" serta "Pesan Atuk" yang tak tertulis-tulis lagi... 

Hmm.. Sambil-sambil menanti tamat sidang hari ni, aku cuba-cuba menaip di E-72 dan simpankan dalam bentuk draft dahulu. Taip punya taip, hand phone ke mana, idea ke mana, terlelap aku sekejap. Dek mengantuk yang menarik-narik kepala ni agar bersandar. Menekan-nekan kelopak mata ni agar terkatup. Sedar-sedar pun akibat tak selesa tertidur dalam keadaan duduk. Lupakan ajelah tentang mendraft di E-72 tu kalau terlelap-lelap begini..

Alah... Sabar dululah.. Baik dapatkan energy serta mood yang baik untuk sepotong ayat yang baik dalam entry mendatang. Sabar dululah, sambil-sambil bertenang-tenang mencari ilham. Bukan ada yang memaksa pun.. Blog sendiri. Kerja sendiri. Sendiri taip. Sendiri baca. Sendiri suka. Kalau ade orang yang suka jugak tu, kire syukurlah!

Monolog Blog Nan Sepi...

22.10.11

Perkhidmatan Iklan Percuma

Kepada sesiapa yang berminat untuk mengiklankan apa sahaja seperti:
  • Laman Web
  • Laman Blog
  • Iklan Jawatan Kosong
  • Rumah Sewa
  • Produk / Servis /Perniagaan
  • Lain-lain
Anda boleh menghubungi saya di sini. Tiada syarat dikenakan. Anda hanya perlu memberi detail serta gambaran iklan yang ingin dipaparkan, atau. Anda boleh menghantar iklan yang siap direka menggunakan format JPEG berukuran 160 x 300px kepada saya Sam Banjamin.


18.10.11

Renovation In Progress

Harap maaf... Aku sedang melakukan proses2 renovation pada blog ni... Kalau serong sana sini tu, paham-paham sahajae lah.. Kesulitan amat dikesali...

Mana Yang Lebih Penting?

Aku tak pandai memujuk
Kalau ku katakan maaf itu, bererti aku beralah
Bererti aku coba menjernihkan kembali apa yang silap yang tlah aku lakukan
Aku tak pandai memujuk dengan cakap-cakap yang bunga-bunga
Yang penting pada ku, ucapan MAAF sendiri
Dan apabila aku katakan MAAF itu, kau pula buat tak peduli, aku coba untuk FAHAM
Mungkin ada rasa amarah
Mungkin ada rajuk di dalam hati
Biarlah kau sendiri
Jika kau rasa itu ADIL buat menghukum salah-salah aku yang maha BESAR pada mu
Ya SALAH AKU
Dan salah aku juga
Bila aku tak pandai memujuk apa yang rajuk dalam hati kamu
Bagaimana harus ku pujuk
Seandainya ketika aku menghampiri, kamu menghilang
Ketika aku cuba menghubungi, kamu diam (atau buat-buat PEKAK)

Terfikir juga aku. Mana yang lebih penting dari RAJUK itu? Mana yang lebih penting dari AMARAH itu? Berbanding jalinan perhubungan itu... Atau, sebenarnya ada perkataan yang dieja dengan 3 huruf yang duduk di atas pundak kamu.

16.10.11

Aku Penat Menunggu

Aku penat menunggu
Kamu tidak juga kunjung tiba seperti yang kamu janjikan
Berlelah aku menanti bersama peluh yang kian menghangitkan tubuh ku
Maaf kalau aku pergi
Kerana aku kira, kamu tidak akan tiba
Maaf...
Andai di kala kamu tiba
Esok...
Lusa...
Mahupun bila-bila
Aku tiada di tempat pertemuan itu
Aku cuma penat
Aku kira...
Kamu tidak mahu aku menunggu kamu
Dan kerana itu aku pergi
Bukan kerana aku tidak mahu menunggu
Cuma...
Aku kira...
Kamu tidak mahu datang temui aku....

14.10.11

Kuchai Lama

Alhamdulillah, siap jugak aku menggodek laptop ni.  Mangemas kini file ke dalam folder, membuang yang tidak perlu, mengupgrade ke tahap terbaru agar segalanya serba sempurna untuk kegunaan ke tahap yang paling optimum. Sejak ber-laptop ni, rase rajin pulak nak menulis. Bukan sekadar rajin menulis, minat pada mengumpul movie-movie baru dan lama juga mula hadir. Mencari-cari serta bertukar-tukar dengan rakan-rakan. Lapang-lapang, kalau tak berbuat apa-apa, layan movie lah penghilang rasa bosan.

Sambil-sambil menggodek, sempat juga membelek-belek gambar-gambar lama. Especially gambar di zaman belajar di ILPKL dahulu. Gambar-gambar sekitar tahun 2002 hingga 2003. Sewaktu meneliti setiap gambar yang ada, terbit senyum kecil di bibir. Tertawa di dalam hati melihat diri sendiri pada zaman itu. Di dalam hati berkata “alahaiiii… innocent nye…”. Budak umur 18 tahun. Budak-budak..
Berbanding rakan-rakan sekolah yang lain, mungkin nasib aku kurang baik. Mungkin, atas faktor rezeki yang kurang menyebelahi aku untuk terus masuk ke Universiti selepas sahaja tamat persekolahan, menyebabkan aku memilih untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat sijil di institut kemahiran. Buat aku,  mungkin ia adalah jalan yang terbaik, dari tidak berbuat apa-apa. Biar pun dari segi keputusan peperiksaan SPM sebenarnya, aku cukup layak. 


Terlalu banyak siknifikannya kemasukan aku ke ILPKL. Kerana belajar di situlah, aku berpeluang menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur buat pertama kalinya. Betapa terujanya aku ketika pertama kali menjejakkan kaki di stesen Bas Puduraya waktu itu. Menggigil kepala lutut aku dibuatnya dalam sesak-sesak ke-ramai-an orang di situ. Kata ku “Ooohhhh ini lah Pudu Raya… Inilah Kuala Lumpur…”. Kalut aku dalam rasa takut-takut. Kata orang Kuala Lumpur ni ada macam-macam. Ada orang jahat. Ada penagih. Ada Pemeras. Ada peragut. Semua itu bermain di fikiran, biar pun pada waktu itu bertemankan abah dan mak. 


Kami dijemput Uncle Din atau lebih senang aku panggil Pak Cu. Pak Cu adik bongsu abah yang menetap di Subang Jaya. Kami dibawa untuk bermalam di Subang Jaya, sebelum pendaftaran aku di ILP Kuchai Lama selang dua hari selepas itu. Sepanjang perjalanan ke Subang, tercengang-cengang aku melihat kesibukan Kuala Lumpur. Punyalah sesak. Sesak dengan orang. Sesak dengan wasap. Sesak dengan kereta. Lori. Bas. Yang semuanya berpusu-pusu laju. Ya Allah, tempat apakah ini? Atau sebenarnya, itulah dunia baharu bagi menggantikan pohon-pohon sawit yang meninggi. Menggantikan kesegaran udara kampung. Menggantikan merdu kicau burung dan segala ketenangan desa halaman. 


“Hah! Jakun!” usik abah yang duduk di seat hadapan bersebelahan Pak Cu yang memandu.


“Baru first time ke mari ke?” soal Pak Cu pula. Aku hanya diam sambil memerhati kiri dan kanan.


“Kalau tak dapat panggilan ni, tak ke marilahh” sambung abah lagi.


“Zul. Awak dah dapat peluang belajar ni, belajar sungguh-sungguh. Jauh-jauh awak datang. Jangan sia-siakan peluang ni. Belajar rajin-rajin. Kalau boleh, blaja sampai jadi best student” pesan Pak Cu. Yang pada aku, bukan sekadar pesan. Terselit juga cabaran yang harus aku sahut. Aku diam sahaja. Sambil dalam hati aku mula menanam azam “aku akan buktikan!”


Keesokan harinya, selepas bersarap, Pak Cu membawa kami ke UKM Bangi untuk menziarah akak aku, Kak Pizah yang pada waktu itu berada di tahun pertama pengajian di sana. Ke Bangi pulak aku hari tu. Biar pun agak jauh perjalanan, sekelip pun, mata aku tak mahu terlelap untuk tidak mahu terlepas pemandangan sepanjang jalan. Sesampai di UKM, kami bertemu Kak Pizah. Waktu tu, dapat aku lihat linangan air mata abah ketika memeluk Kak Pizah. Aku mulai faham akan keterharuan abah waktu tu. Bercampur-campur. Bangga anaknya ke menara gading biarpun terpaksa berpayah untuk membesarkan anak-anak. Berpayah menghantar anak-anak belajar tinggi-tinggi..


Hari yang dinantikan telah tiba. Pendaftaran sebagai pelajar di ILPKL. Maka bermulalah episod baru buat aku. Fasa penyesuaian diri bermula. Sejujurnya, sebagai anak kampung yang baru sahaja menjangkau usia 18 tahun pada waktu itu, aku canggung untuk membiasakan diri dengan kehidupan baru di situ. Serba tak biasa, biar pun bukanlah pertama kali hidup berdikari di asrama. Mungkin atas faktor kejauhan , aku agak ‘homesick’ pada mulanya. Terasa berat-berat sahaja hati ketika itu. Nak balik!!! Makkk!!!! Hati aku merintih. Ahh!! Tak bujang langsung!


Dalam berat-berat perasaan, aku cuba-cuba menyesuaikan diri. Berkenal-kenal dengan kenalan baru. Dan mujur ada wajah-wajah yang aku kenali, beberapa orang  senior sekampung yang boleh dijadikan kawan berbual. Rasa gagah juga melangkah. Selang beberapa waktu, bertemu pula dengan rakan sekolah yang rupa-rupanya mendaftar sama. Cuma ketemu beberapa hari selepas pendaftaran, sewaktu menjalani minggu suai kenal.


Hari pertama menjejakkan kaki ke kelas. Kelas yang dipenuhi komputer menimbulkan rasa kaget. “Macam mana ni. Satu bende pun aku tak tahu pasal komputer ni?” kerisauan mulai terbit melaui bisik di hati. Mengambil kursus Penyelenggaraan Komputer, dengan pengetahuan komputer di tahap sifar adalah satu petaka buat aku. Terkulat-kulat aku dibuatnya. Terkebil-kebil menatap komputer yang pada waktu tu, yang aku kenal hanyalah ‘keyboard’ dan ‘tetikus’.


Encik Mohd Junaidi Othman, Ketua Program memperkenalkan diri. Masih aku ingat soalan pertamanya, “Siapa antara awok semua ni yang tak tahu guna komputer, angkat tangan? Jangan malu-malu”. Nahhh. Aku fikir aku sorang, rupa-rupanya hampir sebahagian dari kelas mengalami masalah yang sama. “Hmmm, tak apalah, jangan risau, dalam beberapa minggu ni, saya tak akan mulakan kelas, jadi ambil masa untuk belajar dari kawan-kawan yang dah mahir. Siapa-siapa yang dah mahir, harap tolong ajarkan kawan-kawan yang belum pandai” En Junaidi memberi kelonggaran. Betul juga, kalau pengajar-pengajar memulakan kelas dalam keadaan pelajar yang tak tahu apa-apa, tentang apa yang nak dipelajari, kan susah! 


Peluang itulah yang aku gunakan untuk belajar berdikit-dikit dari kawan-kawan yang mahir. Pernah aku ditegur seorang kawan, ketika aku menutup (shut down) PC dengan hanya menekan jari pada punat off di CPU. Sampai ke tahap tu jahilnya pengetahuan aku tentang komputer. ‘On’ tahu. Nak shut down tak reti. Tak reti, malu pula bertanya. Akibatnya memandai-mandai. Apapun bermula hari tu aku belajar sesuatu. Untuk shut down PC, kene gerakkan curser ke taskbar dan cari perkataan shut down. Klik dan PC tu akan terpadam dengan sempurna tanpa merosakkan sistem, berbanding kalau aku main tekan punat off tu je.


Hari demi hari aku belajar dan terus belajar. Dari sifar menjadi satu. Dari satu, berganda lagi. Lagi dan lagi. Makin banyak yang aku belajar. Makin cekap. Dan semakin mahir. Rasa takut mulai hilang. Kawan-kawan yang mengajar kini sudah mampu disaingi. Bersaing secara sihat dalam mengejar ilmu. Yang aku tahu aku ajarkan. Yang mereka tahu, tak lokek juga memberi. Namun… Ade juga yang mulai cemburu… 


Tak puas dengan input dari pengajar, aku belikan majalah-majalah sebagai rujukan. Bagi mendapatkan info-info baru tentang komputer yang sememangnya begitu cepat berubah. Masih aku ingat, zaman tu adalah tahun-tahun terawal pengenalan Pen Drive di pasaran. Dengan saiz yang paling kecil. Tak ingat berapa. Tapi kalau nak dibandingkan dengan zaman sekarang, memang jauh bezanya. Tak main MB-MB lagi… Semua Gig-gig belaka.  

Menghabiskan semester pertama dengan jayanya. Trampil segenap segi. Lulus semua ujian. Alhamdulillah, kini lebih yakin. Langkah tak canggung lagi. Hati kian berani. Cuma, sebagai anak remaja yang baru kenal dunia, masih banyak yang perlu dipelajari.  Kuala Lumpur, bukanlah tempat orang-orang jahat semata-mata. Bukan tempat penagih semata-mata. Bukan tempat pemeras semata-mata. Kalau niat yang baik datang kemari, insyalah berbekalkan doa dan tekad yang baik. Maka yang baiklah yang ditemui.

Bergelar senior. Memimpin adik-adik yang baru tiba. Yang sama seperti aku mula-mula dahulu. Takut-takut. Canggung-canggung. Segan-segan. Semuanya yang pernah aku lalui terlebih dahulu. Ketika inilah pengalaman dan pengetahuan dikongsikan. Disampaikan dengan rasa yakin di hati. Mahu menjadi contoh yang bisa diteladani. Segala yang berlaku bagaikan ada yang mentarbiahkan. Dari mana kekuatan dan keyakinan itu hadir aku tak pasti. Berbeza dari zaman persekolahan di mana aku begitu pasif, di sini, aku yakin!

Menang dalam undian Pilihan Raya Pelajar, terus mengangkat aku  sebagai YDP Majlis Perwakilan Pelajar ILPKL. Kejutan. Terkejut. Bagai tak terkata. Bagaimana seorang anak kampungan ini bisa dipilih dan diangkat sebagai pemimpin kepada gerombolan pelajar-pelajar yang datangnya dari satu Malaysia pada semester itu. Ya Allah. Betapa tarbiah dari mu sahaja aku harapkan agar menjadi pemimpin yang baik. 

Hari-hari aku lalui dengan mengharapkan ketenagan dalam setiap apa yang aku lakukan. Memohon agar setiap kata-kata yang aku ucapkan adalah benar dan yakin. Mengharapkan keputusan ku yakin. Mengharapkan langkah ku yakin. Mengharapkan pergaulan ku yakin. Segalanya yakin. Yakin dan tenang. Dan tarbiah tuhan juga yang meyakinkan aku.

Aku melalui semester itu dengan kesibukan yang berbaloi. Sibuk dengan kelas yang kian melambak-lambak projek dan assignment. Sibuk dengan aktiviti persatuan yang pelbagai aktivitinya. Kesemuanya perlukan paperwork dan report. Menjadikan aku sering sahaja tak punyai masa untuk katil di asramaku pada waktu-waktu lapang tidak seperti rakan-rakan yang lain. Segalanya mengajar aku tentang kerja keras. Dan sikap itu bagai terbawa-bawa sampai kini. Kerja kuat. Workaholic! Aku lebih suka kerja dari lain-lain. Hari biasa hingga membawa ke hari-hari minggu. Kadang-kadang hampir tiada masa buat insan-insan kesayangan ku… 


****


“Zul. Awak dah dapat peluang belajar ni, belajar sungguh-sungguh. Jauh-jauh awak datang. Jangan sia-siakan peluang ni. Belajar rajin-rajin. Kalau boleh, blaja sampai jadi best student”

Masih terngiang-ngiang pesan Pak Cu ketika Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan ILPKL berada digenggaman. Ya Allah. Aku sahut cabaran Pak Cu satu ketika dahulu. Untuk menjadi Best Student. Berjaya aku buktikan. Siapa sangka. Dari anak Felda yang pertama kali menjejak kaki ke Kuala Lumpur, dengan sifar pengetahuannya tentang kursus yang diambilnya, diangkat pula sebagai pemimpin nombor satu. Yang paling manis, apabila dianugerahkan sebagai yang terbaik. Segala-galanya berbaloi-baloi…  

Dipendekkan cerita setelah tamat pengajian di ILPKL, aku melanjutkan pengajian di UiTM. Bukan lagi dalam bidang komputer dan seangkatan dengannya,  tetapi dalam bidang hospitality.. Sekarang berkhidmad di UiTM sebagai Penolong Pensyarah di UiTM Shah Alam. Begitulah cerita dulu-dulu… Kalian? Tak terkenang-kenang? Mari tuliskan untuk dikongsikan bersama. Yang baik ikut-ikutkan.. Dan datang dari Allah… Yang buruk tolak-tolakkan.. Pun datang dari Allah, Cuma atas asbab kelemahan diri sendiri.. Sekian…
  

12.10.11

Filem Al-Hijab : Apa kata aku..?

Sebelum membaca komen aku tentang filem ni, mari baca sinopsis filem ni. Aku Copy and paste je. Ntah dari mana ntak. Ape pun TQ... 


"Rafael merupakan seorang pelakon yang tidak mempercayai kewujudan hantu. Suatu hari dia ditawarkan watak utama untuk membintangi sebuah filem seram. Dia yang terkejut dengan tawaran tersebut sangat teruja dan berusaha untuk menjiwai peranannya sebaik mungkin. Malangnya Rafael tidak berjaya memperolehi perasaan takut yang dapat memuaskan hatinya. Puas dia berkunjung ke tempat-tempat yang dikatakan berhantu tetapi tidak pernah melihat kelibat makhluk itu. Teman wanita Rafael, Qiss yang pelik dengan Rafael itu mengadu perkara tersebut kepada ibunya. Ibu Qiss kemudiannya memberitahu Rafael mengenai apa itu hijab. Rafael berpeluang untuk melihat makhlus halus jika hijabnya dibuka.

Namun, hanya orang tertentu saja mampu membuka hijab tersebut. Rafael yang semakin buntu mencari seseorang yang boleh membuka hijabnya akhirnya menerima mesej aneh yang mengarahkan dia untuk pergi ke suatu tempat. Hanya di tempat tersebut hijabnya akan dapat dibuka. Sejurus sampai di tempat yang dikatakan, Rafael disambut oleh seorang makcik tua bersama anak perempuannya. Rafael hairan bagaimana makcik tua itu mengetahui hajatnya untuk membuka hijabnya. Rafael dibawa ke suatu tempat di ceruk hutan. Di situ makcik tua tersebut mula membuka hijab Rafael. Dari pandangan yang kabur, perlahan demi perlahan akhirnya Rafael dapat melihat sesuatu yang menggerunkan.

Dia berasa cukup gembira berbaur takut. Rafael meminta masa sehari untuk dia menggunakan ‘kelebihan’ yang ada pada dirinya itu untuk tujuan menjiwai watak lakonannya. Pulang kembali ke rumahnya, Rafael tidak menyedari ada ‘sesuatu’ turut menumpangnya pulang. Mula berasa tidak selesa, Rafael cuba untuk tidur namun gagal. Ada saja benda yang seperti mengganggunya. Setelah hampir 24 jam hijabnya dibuka, Rafael kembali ke rumah makcik tua tersebut untuk menutup kembali hijabnya. Berjayakah hijab Rafael ditutup semula atau dia terpaksa meneruskan hidupnya dengan ‘anugerah’ itu?
"

*****

Di kala para penonton sedang asyik menonton babak-babak seram yang dihidangkan, secara tiba-tiba kelibat dua kakitangan TGV Cenima KLCC menuruni tangga panggung mencuri perhatian.  Kedua-duanya berjalan bersahaja menghala ke pintu keluar. Tumpuan terhadap jalan cerita sedikit terganggu. Masing-masing saling berpandangan. Tertanya-tanya. Apabila pintu "Exit" dikuak keluar, masing-masing berbisik."Hahhh! Dah habis ke?". Aku yang ditemani Erni ketika itu, turut ditanyakan soalan yang sama. "Awak... Cite ni dah nak habis ke?" bisik Erni ke telinga. "Hak ah kot.." Aku menjawab ringkas. Seperti biasa, apabila pintu bertanda "exit" itu dibuka oleh kakitangan panggung, ertinya tayangan sudah tiba ke penghujung.

Begitulah yang berlaku kepada tayangan filem Al Hijab ni. Sebuah filem air tangan Pierre Andre, yang turut membintangi filem itu sebagai tonggak utama (Rafail), selain membariskan pelakon-pelakon seperti Fathia (Qis), Maimon Mutalib (Mak Itam), Nor Albaniah (lama tak tonton lakonannya) dan lain-lain. Kalau nak dibandingkan dengan filem seram lakonan Pierre sebelum ini, Jangan Pandang Belakang (JPB), filem Al Hijab ini nyata amatlah ringkas-ringkas sentuhannya. Jalan cerita serta Watak-watak yang dimainkan juga tidak dikembangkan serta tidak dihuraikan secara detail menjadikan Filem ni macam main short cut - short cut sahaja. Adakah filem ini sememangnya dirancang begini, atau kurang perancangannya.

Al Hijab. Mula-mula aku terpandang tajuk filem ni pada paparan senarai tayangan, aku fikir filem ni satu kelas filem-filem berjurnal dahwah islamik seperti Filem Nur Kasih, Ayat-ayat Cinta, dan lain-lain filem bercirikan dakwah. Sebab berdasarkan tajuk tu, minda aku sempit membayangkan seorang ustazah yang warak yang terperangkap dek cinta seorang ustaz. Heheheh. Al maklumlah, sering sibuk dengan kerja serta jarang menyelak halaman "Hiburan" pada surat khabar yang aku baca, menyebabkan aku kurang alert dengan kewujudan filem ni di pawagam. Rupa-rupanya filem journal seram. Itu pun setelah direcommend oleh erni.

Filem ni bermula dengan adegan seram "biase-biase" filem melayu yang... boleh lahhhh membuatkan gigil tu datang. Sepasang couple yang tersesat beberapa jam di sebuah jalan yang terpencil dan gelap, secara tiba-tiba ditahan sekumpulan lelaki yang turut menghadapi masalah yang sama. Menurut kumpulan lelaki tersebut, keadaan itu berpunca dari gangguan makhluk halus yang mengganggu salah seorang penumpang yang mereka yang mereka bawa untuk tujuan berubat. Ketika dalam perbincangan untuk mencari jalan keluar dari tempat itu, berlakulah beberapa kejadian aneh. Yang agak seram jugaklah. Sehingga menyebabkan terdapat segelintir penonton yang menutup mata. Tak berani untuk tonton adegan seram tu. Intro yang baik untuk sebuah filem seram. Menghadirkan rasa teruja untuk terus menonton.

Apabila filem menuju ke suku tayangan aku mula hilang tumpuan. Aku la. Orang lain aku tak pasti. Puncanya disebabkan dari rasa "biasa-biasa" yang mula datang. Tambah lagi dengan adegan-adegan seram tu yang dah dapat dibaca. Tang mana seram tu nak datang. Tang mana hantu tu nak muncul dan tang mana suspen tu nak tiba. Adegan-adegan yang diselitkan,lebih kurang Jangan Pandang Belakang juga. Cuma hantu-hantu yang membintangi filem ni nampak lebih berseni solekannya. Lebih real dan hidup berbanding Hantu Raya yang 'keras kejung' dalam filem Jangan Pandang Belakang.

Ditengah-tengah jalan cerita, aku juga dapat membaca macam mana filem disudahkan. Especially bila Mak Itam memberi tahu Rafail yang hanya dia sahaja yang boleh menutup kembali hijab yang telah dibuka pada mata Rafail. Waktu tu aku dah mula relaks sambil mengharap munculnya babak-babak yang lebih mencabar. Mengharap lebih banyak hantu yang boleh kelihatan setelah hijab Rafail dibuka. Namun, hantu-biasa-biasa jugak yang muncul. Aku amat mengharapkan agar, Rafail ni bukan setakat boleh nampak hantu, malah boleh juga nampak syaitan yang sedang menghasut hati-hati insan-insan sekelilingnya. Boleh juga nampak jin yang dikatakan berdamping atau mengganggu manusia. Namun... biase-biase jugak...

Kehadiran watak 3 lelaki ketika Rafail mengalami kerosakan kereta sewaktu perjalan pulang dari rumah Mak Itam, sedikit menambah perisa. Gamat suasana panggung dengan keletah Ben Ngasri, Munir dan watak seorang lelaki Indon yang turut diganggu makhluk halus. Anehnya, pada waktu itu, hijab Rafail dah dibuka. Tak pulak Rafail tu nampak ade makhluk yang sedang mendampinginya sepanjang perjalanan menaiki lori tu. Mungkin Rafail hanya boleh melihat makhluk-makhluk tu pada waktu-waktu tertentu sahaja. Selepas sahaja adegan tu, korang akan terus dihidangkan dengan beberapa lagi adegan seram yang boleh la.... Kalau aku cerita kat sini, tak adil la buat Al-Hijab... Elok la kalau kalian tonton sendiri di panggung, atau tunggu sikit lagi untuk Tayangan Astro First.. Tak lama lagi release la kat Astro tu..

Dipendekkan cerita, Filem ni boleh tengok la. Tapi jangan pi sorang tau. Bukan sebab seram sangat. Takut nanti jadi bosan sangat. Aku lagi takut bosan dari takut akan seram tu. Hehehe.. Aku bukan orang yang berlatar pendidikan filem, maka ulasan aku tentang filem ini tidak lah menggunakan istilah-istilah serta ilmu-ilmu perfileman. Cuma yang aku tekankan disini ialah, sebagai orang biasa, yang mengeluarkan wang untuk membeli sekeping tiket wayang, aku berhak mendambakan sebuah tontonan yang memuaskan hati aku.  


Meh Layan Trailer Di Sini...

8.10.11

Info Lelaki: Ape yang buat perempuan pandang anda! (18 PL)

Assalamualaikum. Salam berhujung minggu. Dan tentunya mukadimah aku tak lekang dengan perkataan "harmony". Salam hujung minggu yang harmoni. Mengharungi minggu-minggu yang sebok memanjang dengan urusan kerja yang datang dan pergi. Kalian sebok? Biase la kan... Kerja. Tak sebok dengan kerja, sebok hal lain. Termasuklah sebok hal orang lain. Tu pun sebok jugak la kan. Amacam, bijak-bijaklah menyebokkan diri tu. Jangan nanti tersilap sebok, kalian dicop "PENYEBOK" pulak. Aku, Anti Orang Penyebok! Wakakakaka...

Sepanjang minggu lepas jugak, aku merelakan diri untuk travel ke Kuala Lumpur. Alahhh sebut K.L sudah... Atau kalau dikecilkan skop untuk K.L yang besar tu, aku sebenarnya telah beberapa kali ke KLCC untuk sekadar melepak-lepak mencari-cari ilham(@>,-----). Sambil lepak, sambil usha-usha sekeliling. Mana tahu datang ilham "pujangga meroyan" ke kepala hotak ni. Bulehlah menulis dengan karya-karya "melankolika axravaganza" yang meletop-letop yang buat saudara Zulfikar Hazri terkedu kedan mambaca nye. (Bukan mengampu blogger Rasa Hati, tapi sekadar menyebut sebab rindu pada kawan lama...)

Balik semula ke cerita travel ke KLCC tu. Naik komuter la. Al-maklumlah.... Wey ok ape? Naik komuter. Yang sarat tu. Yang nyaring-nyaring bunyi gesek rodanya (ada roda ke?...kira ade la ek..) Tempat yang sarat dengan ilham. Yang sepanjang jalan fikiran aku ni boleh nerawang ke mana sahaja. Yang macam-macam ragam orang aku boleh perhati kat dalam perut train yang sarat tu. Melayu ada. India ada. Cina sikit-sikit. Indon. Bangla. Nepali. Orang putih. Orang hitam legam. Kuning langsat. Albino dan macam-macam lagi termasuk akak-akak pondan yang duk terkepot-kepot perasan sehabis jelita! Semua tu aku pandang dengan fikir-fikir sejenak. 

Aku tak tahu macam mana nak mulakan. Tak tau nak masuk macam mana. Tak tahu macam mana nak relatekan tajuk entry ni dengan perkara yang aku sentuh kat atas tu. Yang aku pasti, idea nak menulis entry ni, datang sepanjang perjalanan aku ke KLCC tu. Dari ape yang aku perhati. Ade beberapa perkara yang buat orang perempuan ni pandang pada orang seseorang lelaki. Hah! Kantoi. Jadi mari bace dengan hati yang redha je la dengan ape yang aku tulis kat bawah ni. 

  • Orang perempuan tu, akan pandang orang lelaki tu bila.... Orang lelaki tu, sama ada secara sengaja mahu pun tak sengaja, ternaik coach atau pun gerabak yang dikhaskan untuk kaum wanita sahaja. Jadi kalau tak percaya try la masuk. Pegi la mana-mana stesen komuter yang berdekatan, beli tiket dan ambil gerabak yang tengah-tengah yang ade tanda warna pink tu. Aku dah terkena dah. Tapi bukan aku sengaja. Tak sengaja. Menonong masuk dalam coach khas tu. Bile aku masuk aku pelik, apsal semua orang pandang aku ni?! Pandang slack plak tu. Oooo, baru aku teringat. Gerabak ni khas untuk orang perempuan sahaja. Serious aku tak perasaan. Lepas tu dengan muka selamba badak aku memblahkan diri untuk masuk ke bahagian lelaki. Fuhhh... Memang perempuan akan pandang... Tapi pandang slack la!... Hahahahaha... Mampos tebal muke sekejap. Masa tu makilah kebodohan diri sendiri tu.. Hahaha..

  • Orang perempuan tu, akan pandang orang lelaki tu bila.... Ternampak lelaki dewasa berjalan berpimpin tangan. Ni ade sepasang merpati dua sejoli yang songsang barangkali.  Mak aihhh.  Ni mana punya gay boy la yang sesat duduk dalam train ni. Aku tengok pun naik seram. Tanpa segan dan silu. Dunia sudah terlabik agaknye. Tapi kot ye pon jangan la depan-depan orang kot. Sini bukan America atau Australia yang menghalalkan kesongsangan tu. Hmmm... Pelik... Tapi benar... Seksa mata melihatnya!

  • Orang perempuan tu, akan pandang orang lelaki tu bila... Lelaki berbaju kaler pink. Bukan pink yang tawar-tawar kalernye. Tapi pink yang terang serta jelas. Atau dalam ertikata lain, pink yang sesuai untuk dipakai oleh perempuan. Memang tak salah. Tapi bile orang perempuan nampak, mesti akan senyum sikit. Tak pun kalau perempuann tu berdua, mesti die akan bisik-bisik kat kawan sebelah tu dan usha-usha lelaki tu. Macam tu la yang berlaku pada satu mamat penumpang komuter ke KL tempoh hari. Hisshhh.. Kalaulah kat tangan aku ade sebijik DSLR, dah tentu aku snapkan aje gambar Mat Jambu tu untuk tatapan kalian. Hahaha.

  • Orang perempuan tu, akan pandang orang lelaki tu bila... Korang duk port atau berdiri kat bahagian ruangan menunggu komuter yang hanya dikhaskan untuk kaum wanita. Insident ni berlaku di KL Sentral. Perasankan kat bahagian menunggu skang ni ade boarder yang bertulis "strictly for women only". Kite yang lelaki ni, try la cross masuk garisan tu. Lepas tu korang akan rasa yang korang tu, famous sekejap. Puihhh!! Ingat ko tu Aron Ajis ke diorang nak pandang-pandang. Baik blah dari sempadan tu cepat-cepat! Silap-silap kene sound dengan polis bantuan yang berkawal kat situ. Lagi la malu plus-plus.
Jadi, macam mana? Memang orang perempuan akan pandang-pandang. Tapi pandang slack la. Usha dengan pandangan kejam... Hahahaha... Kesimpulannya, alert la dengan signage yang terpampang. Kalau dah diistihar untuk perempuan tu, jangan la bijak-bijak nak masuk jugak. Salah tempat la brother! Mat Jambu dan Mat Pimpin Tangan, agak-agak la... Jangan bikin malu sama kaum Adam. 

Selain tu, aku salut pada usaha kerajaan yang mengkhaskan coach untuk para perempuan. Begitu juga ruangan menunggu tu. Sedikit sebanyak dapat mencegah perkara-perkara yang tak diingini dari berlaku. Syabas! Baik untuk semua.  

Ape yang buat perempuan pandang anda? Itu lah kisahnya.

Okey lah. Gua chow dulu!!!!