2.11.13

Setiap Yang Hidup


Assalam Buddies. Bertafakur seketika. Al Fatihah buat anak saudara yang telah ke rahmatullah semalam. Mohd Arif Bin Abdul Rahman. Bertemu tuhan seawal usia 20 tahun. Terngiang-ngiang difikiran ucapan ayah arwah sebelum jenazah dibawah ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam tadi.

"Qullu nafsin za iqatul maut.. setiap yang bernyawa itu pasti akan mati..." memulakan kata-kata dan kata-kata itu tersekat dihalqum. Bersama kedu menahan sebak yang memerah luluh isi hatinya. Hanya Allah yang tahu peritnya kehilangan yang dirasai si ayah.

"Lengkaplah sudah takdir buat anak saya di dunia ini" mengalir air mata si ayah. Rapuhlah sudah gagahnya lelaki itu. Ego laki-laki yang barangkali cuba dipertahankan, hancur di situ. Barangkali juga tak mahu menangis. Tetapi, aku yakin tangis itu kerana 'kasih'. Air mata yang tertumpah terus dari hati sanubari. Ditabahkan juga semangatnya untuk menghabiskan kata-katanya.

"Sebagai bapa, saya menerimanya sebagai suratan takdir..." menangis lagi... Terhambur segenap kesedihan. Ya Allah, tabahkan hati saudara ku.

"Dan saya ingin memohon ampun dan maaf, andai anak saya ada buat kesalahan kepada sesiapa. Dan andai dia berhutang, sila berjumpa saya, kita akan selesaikannya" Allahu akhbar. Berderai langsung air mata si ayah. Aku tak mahu mendekat. Biar aku lihat dari jarak yang jauh sedikit. Andai aku melangkah ke ruangan kesedihan itu... Aku sendiri tak punya kekuatan untuk menahan air mata.

***

Ditempat kerja semalam, lewat jam 5.30 petang mak hubungi aku dari kampung. Mengkhabarkan arwah telah ke rahmatullah. Innalillah. Melewati jangka masa setahun setelah kemalangan jalan raya, akhirnya arwah pergi juga. Sekejap sedar, sekejap koma, itulah derita arwah sepanjang setahun berlalu. Akhirnya Allah permudahkan juga arwah pergi. 

Jenazah ada di rumah bapa saudaranya (sepupu aku) di Seksyen 24, Shah Alam. Besar harapan mak dan abah agar ada wakil dari keluarga kami yang hadir melawat jenazah. 

***

Jam 9:00 pagi jenazah dijangka dikebumikan. Hati berat nak ke sana. Tapi aku rasakan tak patut andai tak ziarah. Memang tak patut. Cuma kesihatan aku seolah tak mengizinkan. Badan terasa dedar dua tiga minggu ni. Keadaan yang seolah melonglaikan langkahan kaki dan menyempitkan dada. Boleh ke aku masuk ke suasana kesedihan yang macam tu dalam keadaan diri aku yang macam ni.

Bila tengok adik dan kakak bersiap pagi tu, rasa tak adil andai aku sendiri yang lelaki ini tak turut serta. 'Ya Allah, berilah aku kekuatan'. Tegarkan jugalah semangat untuk mandi dan bersiap. Bersiap dengan wudu' dan bertolak ke Seksyen 24.

Kami berkumpul di rumah Abang Najib (sepupu). Jenazah sudah dibawa ke Masjid Al Ehsan Seksyen 24 untuk dimandikan dan proses seterusnya. "Masjid Al Ehsan Seksyen 24?" bisik hati aku. (Ya Allah, hanya engkau yang tahu setiap urusan Mu).

Ketika tiba di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, arwah sedang dikafankan. Sementara menanti jenazah disiapkan, sempat bertahlil bersama puluhan hadirin yang turut hadir. Ramai dan luar biasa. Pasti dikalangan kami di situ, turut serta malaikat yang sama mendoakan arwah.

Selesai bertahlil, sedikit renungan disampaikan oleh Imam. Antara yang masih lekat diingatan, "orang yang paling bijak adalah orang yang paling ingat akan mati dan membuat persiapan untuk mati" ringkas kata-kata tu. Tapi mendalam maksudnya. "INGAT MATI". Tapi, bila diingat-ingat atau difikir-fikir akan mati, hati lantas jadi takut. Itu tandanya apa? Bila sebut tentang mati, pasti ramai yang akan berkata 'hish, jangan disebut tentang mati!". Menegah. Walhal mengaingati mati itu bukanlah antara amal yang paling dituntut. 

Soalnya..... Bersediakah kita untuk mati? Bersediakah aku untuk mati? Jangan jawab. Tanya hati. Aku rasa jawapan kita tentu sama... Kalau begitu, apa persediaan kita? Apa persiapan aku? Cukupkah bekalan untuk ke alam yang sebelah sana itu? Cukupkah bekalan untuk aku bawa ke alam yang sebelah sana itu? Jangan jawab. Tanya hati. Aku rasa jawapan kita sama... (Berpesan untuk diri sendiri)

Selesai urusan di masjid. Jenazah di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. Allah permudahkan urusan. Cuaca redup sepanjang majlis pengkebumian. Kebetulan, ada jenazah lain yang turut dikebumikan pagi tu. Bergabung dua kumpulan jemaah yang menghantar jenazah. Menjadikannya segerombolan yang ramai. Menjadikan seolah bertambah-tambah jemaah yang hadir. Allah memuliakan si mati. Bersangka baik terhadapNya.

Ditegur seorang pak tua. Berusia lingkungan 70an aku kira, "dari mana?" soalnya sambil menghulur salam. Wajah jernih memutih. Mencerminkan wajah tua yang banyak 'amalan malamnya'.

"Dari seksyen 24" jawabku ringkas. Salamnya bersambut kejab. 

"Ada kematian jugak ke? Dari mana?" soal aku pula.

"Hmmm" mengangguk.

"Dari seksyen 6. Jiran saya" jelasnya. 

"Tua dah. Dah 3 tahun sakit. Baru ni dapat pergi" tambahnya lagi. Redha bunyinya.

"Hmm. Yang ni baru 20 tahun pak cik. Muda lagi" balas aku. 

"Innalillah. Muda lagi. Tapi bahagian masing-masingkan. Cuma yang pasti, yang muda lah banyak yang akan tinggal. Yang tua-tua akan banyak pergi" aku kira kenyataan tu lebih kepada menginsafi dirinya sendiri. Allahu Akhbar. Tiada kekuatan untuk ungkap kata-kata seperti Pak Tua tu. Aku hanya mampu mengangguk mengerti.

Pak Tua tu mohon permisi. Mahu duduk di bonggol batu, gara-gara tak tahan berdiri lama. Berpayung bersama seorang anak kecil. Aku kira cucunya. Aku memilih berdiri sahaja sepanjang majlis. Tiadalah rasa penat. Cuma dedar. Dan longlai pada kaki dan hati. Fokus aku kembali kepada pengkebumian.

Setelah semua selesai. Maka bergerak pulang. Menghitung langkah yang tujuh dari pusara. Doakan yang baik-baik sahaja buat arwah. Al-Fatihah...     

4 comments:

  1. Innalillah, takziah kepada seisi keluarga

    ReplyDelete
  2. Alfatihah..takziah buat keluarga...:(

    ReplyDelete
  3. semoga roh nya dicucuri rahmat.

    AlFatihah

    ReplyDelete
  4. ada seseorang tanya soalan ini, "Mana yang lebih ramai? Manusia yang baru lahir atau manusia yang meninggal?"

    dan seseorang yang lain jawab ini, "Tak boleh nak kata kerana setiap kali mata ini berkelip, sejumlah itu juga la manusia yang lahir dan yang meninggal."

    alFatihah.

    ReplyDelete