26.1.12

Cerita Zaman Kecil: Pesan Atuk II

Hidangan kopi O' panas bersama goreng pisang menjadi  menu minum petang kami hari itu. Arwah nenek, seperti biasa, dengan duduk silang kakinya akan menghirup kopi O' panas  itu beberapa kali, selepas seketika mengunyah goreng pisang yang dihidangkan. Barang kali bagi melembutkan sedikit goreng pisang yang dikunyah itu. Maklum sahaja, hanya dengan bantuan gigi palsunya, tambah lagi dengan sepasang gusi yang kian uzur dimamah usia itu, pasti tidak upaya bagi orang tua itu untuk melumatkan makanan pejal di dalam mulutnya. 

Lawan boraknya petang itu tidak lain tidak bukan adiknya, Arwah Tok Mansur. Atau senang dengan panggilan Tok Gumang dikalangan keluarga aku. Tok Gumang, pejuang kemerdekaan yang pada aku tidak dikenang. Menghabiskan sisa-sisa usia di rumah papan  kecil, di atas sebidang tanah tumpangan bersebelahan rumah arwah nenek. Menderita penyakit kencing manis, yang pada akhirnya menjadi punca ajalnya menjemput, selain juga sakit tua. Arwah Tok Gumang dahulunya, ketika zaman muda-muda merupakan seorang perajurit yang menganggotai Pasukan Gerila Force 136. Gerila yang ditubuhkan pihak British bagi menentang penjajahan Jepun satu ketika dahulu. 

Sewaktu ditingkatan 2, Cikgu mata pelajaran sejarah mengarahkan aku serta rakan sekelas untuk menemu ramah mana-mana tokoh yang kami kenali. Kerja rumah yang membuatkan aku buntu. Untuk menemu ramah baba saudara aku yang pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, begitu jauh di Kuala Lumpur sedangkan aku pada ketika itu hanya berada di Mersing, Johor. Selain beliau, tokoh mana yang harus aku temui? Akhirnya Mak mencadangkan Tok Gumang.


Pada mulanya aku bagai sinis bila mendengar cadangan Mak. Tapi bila mata, telinga serta kepala aku sendiri yang mendengar kisah-kisah silam bersejarahnya, aku mulai kagum dan benar-benar tidak menyangka yang Arwah Tok Gumang yang pernah aku kenal itu, memang bukan-bukan calang manusia. Beberapa kepingan dokumen, gambar-gambar lama serta pingat-pingat kebesaran dan keberanian yang pernah dianugerahkan sepanjang perkhidmatannya, sekadar menambahkan lagi rasa bangga aku terhadapnya. Dan aku melangkapkan kerja rumah mata pelajaran sejarah itu dengan cemerlang.

Arwah Tok Gumang dan Arwah Nenek, sama pekaknya. Kedua-duanya memerlukan alat bantu pendengaran untuk memudahkan komunikasi. Seandainya salah seorang atau pun kedua-duanya berbual tanpa memakai alat bantu dengar itu, maka, kepada yang tidak mengenali dua beradik ini, pasti akan menyangka yang mereka sedang bertengkar. Apa tidaknya, apabila seorang bercakap, yang satu lagi akan berkata "hah?!". Apabila seorang lagi membalas, yang satu lagi akan bertanya "Apa?!". Bertempik dan menjerit, hinggalah kedua-duanya faham apa yang ingin disampaikan. Ada satu ketika, ketika komunikasi gagal difahami akibat kurang jelas pendengaran, terlepas juga ungkapan "kau ni pekak la!" dari salah seorang antara mereka. Walhal kedua-duanya dua kali lima sahaja.

Tertangkap-tangkap ke telinga, antara topik-topik yang sering dibualkan. Pastinya hal-hal politik dulu-dulu mahupun semasa. Isu-isu UMNO. Isu-isu Pas. Isu-isu Mahathir. Isu-isu Anuar, Nik Aziz dan sebagainya. Penyalur ceritanya Tok Gumang, yang aku lihat rajin bersurat khabar. Akhbar Utusan, untuk mendengar dari sebelah kerajaan. Harakah pula, dari sebelah pembangkang. Kedua-duanya dibaca. Arwah nenek jantan pula sekadar dengar-dengar serta tambah-tambah apa yang dia tahu. 

Bila penat berbual, kedua-dua akan diam-diam sahaja. Menghirup lagi dan lagi kopi O' panas, serta mengunyah lagi dan lagi si goreng pisang. Dan dunia aku pun akan tenteram seketika. Tanpa pekik dan tempik perbualan kedua beradik ini. 

"Abang" arwah nenek kembali berbicara. Dan panggilan "abang" itu, adalah panggilan sinonim darinya buat aku. 

"Ape nek?" sahut ku.

"Nak jadi lelaki Melayu kene tahu tiga perkara..." sambungnya lagi dengan nada yang bersahaja. Entah apa yang tiba-tiba bermain difikirannya ketika itu, sehingga terlintas ungkapan 'tiga perkara' itu. Tok Gumang disebelahnya turut mendengar dengan tekun.

"Tiga perkara? Benda ape tu?" aku menyoal. Tidaklah terlalu tertarik untuk mendengarnya ketika itu. 

Beberapa hirupan kopi panas di bibir. Kemudian arwah nenek menyambung semula penerangannya.

"Pertama, kene tau mengaji..." terangnya sambil menggayakan dengan jari telunjuknya.

"Kedua, kene tahu bersilat..." sambungnya lagi. Ceritanya terhenti seketika. Kopi O' panas dihirup lagi. Membasahkan tekak gayanya.

"Dan yang ke tiga, kena tahu menari..." melengkapkan ke tiga-tiga syarat menjadi lelaki melayu yang di sebutnya tadi. Bagaikan teka-teki. Tiga syarat itu dibiar tanpa penjelasan. Kedua beradik itu kembali berbual tentang hal-hal politik dulu-dulu mahupun semasa. Isu-isu UMNO. Isu-isu Pas. Isu-isu Mahathir. Isu-isu Anuar, Nik Aziz dan sebagainya. 

*****

"Pertama, kene tau mengaji..." terangnya sambil menggayakan dengan jari telunjuknya.

Ruginya anak melayu lelaki andainya tak tahu mengaji. Ruginya anak melayu lelaki andai tak khatam Al-Qurannya walau sekali. Mengaji. Asas kepada agama. Asas di dalam solat. Anak-anak, untuk diajarkan solat, sesudah diajarkan rukun fe'linya. Mahu tidak mahu rukun qoulinya juga perlu diajarkan. Sebagai seorang bapa, bagaimana untuk mengajar anak-anak mengaji, seandainya diri sendiri tidak tahu mengaji walau yang asas-asas cuma.

'Mengaji' itu berkaitan ilmu. Dengan ilmu lahirlah umat melayu lelaki yang bijaksana. Umat Melayu lelaki yang bijaksana itu amat-amat diperlukan dalam mencorak keagungan bangsanya. Umat Melayu lelaki yang bijaksana itu amat-amat diperlukan dalam membina ketamadunan bangsanya. Sedarkah kita, yang selama ini, ketamadunan kita sendiri dicorak dan ditentukan oleh bangsa lain. Lelaki Melayu, mari kita bangkit 'mengaji'.


"Kedua, kene tahu bersilat..." sambungnya lagi. Ceritanya terhenti seketika. Kopi O' panas dihirup lagi. Membasahkan tekak gayanya.

Silat. 'Seni' atau 'kepandaian' berjuang dengan menggunakan 'ketangkasan' menyerang dan  'mempertahankan' diri. Seni Melayu itu, salah satunya ada pada silat.  Mencerminkan identiti kebudayaan Melayu itu sendiri. Dengan silat, Melayu itu nampak gagah dan berani. Dengan silat, Melayu itu tampak 'terisi' dadanya dengan bijaksana. Langkahnya perkasa. Tuturnya yakin. Mindanya cerdas. Tubuhnya sihat. Emosinya sabar. Silat, mengajarkan hormat. Silat memberi kekuatan luaran dan dalaman. Melayu Lelaki tanpa silat, kurang serinya...

"Dan yang ke tiga, kena tahu menari..." melengkapkan ke tiga-tiga syarat menjadi lelaki melayu yang di sebutnya tadi.

Lelaki dan tarian. Adakah itu satu kemestian? Ataukah dari tarian ini juga mengajarkan budaya? Ya sudah tentu. Lelaki Melayu itu harus celik budaya. Biarpun aku kurang menyenangi syarat yang ketiga ini, signifikannya sangat jelas yang sebagai Lelaki Melayu itu harus bijak dalam bersosial. Tidak canggung dalam bermasyarakat serta boleh sahaja ditolak kehadapan dalam apa sahaja perkara (yang baik-baik). 

Ingin aku tanyakan kepada lelaki-lelaki melayu di luar sana, selain menari di club (segelintir dari kalian), Boleh menari zapin atau tidak? Seharusnya perlu ada sedikit rasa malu. Budaya luar diagungkan, budaya sendiri? Aku juga berasa malu pada diri sendiri, kerana tak pandai menari biarpun sekadar tarian poco-poco yang ringkas itu.....

Sekian... Pesan Atuk II, melengkapkan kesinambungan Pesan Atuk bahagian 1...

8 comments:

  1. syarat yg kene tau menari tu unik laa..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak tau la... nenek sy yg cakap... kite dengar2 n ingat2 je...

      Delete
  2. tepat sekali pesan nenek kau tu, nasib baik aku pandai menari. haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. ko pandai menari? aik? tarian ape? naga kah? atau suffle kah?

      Delete
  3. bangganya memiliki seseorang yang pernah berjasa pada negara.. walaupun tidak diiktiraf, sekurang-kurangnya kita tau, dia melakukannya dengan ikhlas demi bangsa dan negara ketika itu.. Al-fatihah..

    teruslah berkarya, nampaknya kisah mereka harus dikongsikan buat generasi masa kini.. semoga menjadi ikhtibar yang berguna buat kita semua.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas sokongan cik lulu... insyaallah akan lebih perbanyakkan karya2 seperti ini mendatang... terima kasih banyak2...

      Delete
  4. wou panjgng nya tapi nasib abis gak pakjoe bca hehehhe

    ReplyDelete
    Replies
    1. kau ye ye je bace kan? aku soal nanti... hahaha... tq pak jo..

      Delete