17.2.11

Mak Dara 1st Giveaway (GA)

assalamualaikum... Yeahhh!!! Nak joint Giveaway... Nak joint Giveaway... Nak joint Giveaway... (dalam nada berbisik... woi.. giveaway tu mende haaa???...) yeahhh.. (sambung balik bersorak-sorak) Yeahhhh... nak joint Giveaway... nak joint Giveaway

Dengan bangganya menyahut cabaran. Agar tak ketinggalan. Di tag oleh puan Suria hari ni. Thank you. Thank you suria. Membukak ruang untuk TheTimelines berentry jugak hari ni. Dan tahniah jugak kepada mak dare yang Hot! Atas penganjuran Giveaway ni (ape giveaway i sebenornye...hehehhee)... Ahhh blasah je la... Janji joint! hahahaa...

"Seperti yang anda tahu dan mungkin juga yang tak tahu, Mak Dara ni bekerja sebagai penulis skrip. Jadi kali ni Mak Dara nak anda mendekati sedikit bagaimana dunia seorang penulis skrip ni." Menurut kate pihak penganjur...

Ape tunggu lagi? Mari sertai... Sebelum tu mari tolong aku naikkan banner ni... "Ishhh.. Ishhhh... Ni bukan banner ni... Ni dah masuk tahap billboard tepi highway PLUS ni..."

Alahai... Menggode betul... Ehh... Kembali kepada objektif utama entry ni... Menurut Mak Dare, untuk joint giveaway ni, kene la mencukupkan syarat-syarat seperti di bawah ni:

1. Mesti mempunyai blog (ade)
2.Follow Blog Bicara Mak Dara (dah)

3. BERIKAN "SATU" TAJUK DRAMA (Jap2 tengah pikir)
4. Masukkan Banner Di Atas Ke Dalam Entry Dan Sidebar dan Linkkan Ke Entry Ini. (Dah ade kat atas tu)
5. Tag Sekurang-Kurangnya 3 Orang Rakan Anda Untuk Menyertai GIVEAWAY Ini. (MARI KITE LIHAT SIAPE YG KENA!!)
6. Setelah Siap Entry Anda, Tinggalkan URL Entry Anda Itu Di Ruangan Komen Di Bawah Entry Mak Dara 1st Giveaway (GA). tu jer =) (Ngah buat la ni... Jap laa....)

Nak bagi tajuk ape ye? Hmmm.... (Sambil mate berlegar-legar ke atas bawah kiri dan kanan... Garu-garu kepale yg tak gatal dan raut-raut dagu...)
Hahhh! Alang-alang dah pernah karang entry ni... Masukkan je la... Tajuk ni... Senang je.. Mak dare mintak tajuk, aku siap attach sekali ngn entry ni...
Jeng... Jeng.. Jenggg.... Terimalah..

Aduhai Saleha
(Harap Mak Dare sudi-sudi la menjenguk entry yg tak seberapa ni... Jom bace...)

OK... Sekarang siapa di tag ni boleh la bersedia untuk casting drama aku ni... sorang sebagai Haji Seman... Sorang Sebagai Mak Leha... Dan sorang lagi Cik Bibah.. Bersedia la ye...

Cik Miera Hasan sebagai Mak Leha
Normazila Zainal sebagai Cik Bibah "iye-iye"
dan
Khairul Anuar sebagai Haji Seman

Jom ramai-ramai joint... ala... Sporting la sket... Jom.. Jom... Jom...

15.2.11

Justifikasi yang Just Jahil

As-Salam. Petang Selasa yang harmoni. Baru pulang dari bermandi manda di Pantai Port Dickson bersama rakan-rakan sekerja. Lari dari kesibukan serta beban tekanan kerja buat seketika. Esok kembali beraksi semula. Mungkin dengan kesegaran serta semangat yang baru. Letih mungkin tak hilang. Tapi mental semakin dikuatkan.

Betullah kate orang, kadang-kadang, bila urusan kerja yang diusahakan berjalan dengan baik, ade baiknye kalau badan dan fikiran yang diasak tu direhat-rehatkan dengan sesuatu yang lain. Hargai jasad dan minda. "Reward yourself". Mood untuk menulis pun datang semula. Jadi sementelahan ade mase dan mood untuk menulis ni, ade baiknye di'update'kan satu entry baru.

Buat baik berpade-pade, buat jahat jangan sesekali. Tapi bagi yang nakal-nakal, peribahasa tu seringkali diubah menjadi sebegini. "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali". Kalau nak buat jahat, buat banyak-banyak kali. Alang-alang merokok, kenapa tak hisap ganja terus. Alang-alang masuk club, kenape tak minum arak terus. Alang-alang pegang-pegang, kenape tak main terus (mase tu, ungkapan 'main' tu sebenarnye lebih sesuai digantikan dengan berzina. Nak sebut 'zina' malu. Sebab tau hukum zina tu haram)

Ade jugak yang menyebut begini. "Alah, umur masih muda. Mase muda ni la nak try semua benda. Nak bawak moto laju-laju. Lumba-lumba ngan polis. Langgar road block. "Roket" anak dare orang. Minum-minum sikit. Layan ice. Come on la. Ko tak payah la nak poyo sangat. Macam kau tu baik sangat je. Kalau kau tak rase bende-bende ni zaman-zaman mude ni, dah tua nanti ko menyesal. Ko tengok aku. Selambe je. Ape ade hal!"

Astagfirullah. Dengan angkuh dan bangganye. Hilang langsung perasaan malu yang menggariskan sempadan antara iman dan hawa nafsu. Aku yang mendengarnye merasakan betapa bangsatnye anak bangsa aku. Juga betapa bangsatnya aku yang tak mampu berkata apa-apa ketika mendengarnye, selain perasaan jengkil dan benci terhadap ape yang dikatakan.

"Biarla. Kubur lain-lain!"

Ya benar. Kubur lain-lain. Tapi siapa tahu. Kalau-kalau berlaku darurat dan kita terpaksa berkongsi lahad yang sama?

Ya benar. Kubur lain-lain. Tapi mati itu bila, kita tak tahu. Kalau tahu pun. Adakah bersedia kite untuk memegang cangkul, pengorek tanah, pongkes dan sebagainye untuk menggali kubur sendiri? Bila mati nanti, kubur yang dah digali tu, adakah kita sendiri yang kan mengkambuskannya?

Ya benar. Kubur lain-lain. Tapi sesudah mati kelak? Uniform kite (kain kafan). Kita pakai sendiri ke? Atau mengharap sanak saudara mahupun orang lain untuk memakaikannya?

Ya benar. Kubur lain-lain. Ade dalam sejarah ketamadunan manusia, si mati mengimamkan makmum untuk solat jenazah? tak de kan. Jadi masa tu tetap mengharapkan orang lain untuk laksanakan fardhu kifayah tu kan?

Kesimpulannya. Jangan angkuh dengan kemungkaran. Allah murka. Orang sekeliling mungkin gelak. Mungkin senyum. Mungkin diam. Tapi sapa tahu, dalam hati, tak lain tak bukan adalah kejengkelan yang tak terhingga. Jangan biar orang lebel kita "Jahiliah Moden!". Tanam sikit rasa malu. Kalau tak mampu hormat sekeliling, hormat diri sendiri pun ok. Sebab asal fitrah manusia tu, adalah yang baik-baik lagi suci bersih.

6.2.11

Chicken Wing

Dalam minggu ni, dekat tiga kali aku dok beli chicken wing kat kedai bawah ni. Ni pun berhajat lagi ni. nasib je kedai tu tutup agaknye ari ni. Apasal ek?! For sure la sebab sedap dan rasenye yang amat sensasi... Heheh sensasi.... Huiii...

Bayangkan (berbisik dengan nada yang bergema-gema)... Chicken wing yang hangat... Baru je di angkat dari pemanggang... Dengan aroma arang yang melekat pade chicken wing tu... Bau asap yang meyelerakan dek percikan minyak pade bara arang tu... perggghhhh!!! Chicken Wing yang sensasi rasenye...

Tapi la kan.... Dalam bahagian ayam tu, part yang paling sedap selain drum stik, kepak kan? Setuju tak? Dade ayam tak sedap... Tebal memang tebal, banyak isi, tapi "dry"... Kalau orang putih, dade ayam tu dipanggang je... Nyekik dengan sos cendawan atau lade hitam... Hmmm... Hasilnye... "Burrrrkkkkkk! Ops... Excuse me...". Tapi tetap tak boleh lawan chicken wing...

Siape ade resepi Chicken Wing? Panggang. Yang sesedap gerai tepi jalan ni. Yang sempoi-sempoi tak perlu berempah sangat. Yang penting cukup rase. Aku nak je tanye kat brader yg jual tu, tapi nampak tak berape molek pulak. Cukup la aku jadi pengunjung setia gerai brader tu.

Amacam? Jom ke gerai chicken wing... Depan restoran Kota Anggerik. Seksyen 7... Kadang-kadang nampak tongkeng... Aku sebat jugak.. Pun sensasi jugak tu...

5.2.11

Derap Lantai IV

Awal pagi yang hening. Awal-awal lagi sudah bangkit dikejutkan azan subuh serta kokok jalak. Sejuknya embun pagi sudah terbiasa dalam diri. Melihat disebelah, kerekot si isteri diselubung kain cadar kotak-kotak. Si isteri wajib dikejutkan kalau masih lena. Sebelum gelincir fajar dari ufuk timur, fardhu subuh wajib disegerakan. Insyaallah, mengimamkan isteri. Dan isteri mengaminkan segala doa yang dibacakan suami. Doa-doa kesejahteraan. Doa-doa kesihatan. Doa-doa kejayaan dunia akhirat buat diri, anak-anak serta dunia seisinya.

Langit kian cerah disimbah warna terang mentari. Dada langit lapang-lapang sahaja hari ini. Biru bercampur cahaya kuning yang benderang. Dingin nya hawa subuh kian menghilang. Meninggalkan wasap-wasap embun memutih pada julang-julang pepucuk pohonan kelapa bali. Saujana yang indah dipandang.

Sarap pagi terhidang sudah. Gorengan nasi bersama kopi o' menjadi kebiasaan. Kopi cap bunga kemboja. Yang diambil dahulu dan dibayar dari potongan gaji pada tiap-tiap bulan. Di kedai serbaneka itu, kalau ambil lebih, maka hutangnya lebih. Kalau tak diambil dahulu, maka anak-anak tiada makan apa-apa. Mengharap pada belanja tunai memang tak termampu. Dengan gaji yang selalu ditolak hutang kedai dan hutang tanah.

Kadang-kadang kalau susah-sudah, sewaktu simpanan beras kian menyusut, terpaksa tanak bubur nasi. Jika tak berlauk, hidangan telur asin bersama sambal tumis pun cukup menyelerakan. Itu belum gorengan ikan masin, kekacang, bebawang mahupun rebusan pucuk-pucuk hutan yang meliar di sekeliling. Mujur selera anak-anak tidaklah memilih. Apa yang terhidang, itulah yang dijamu. Pulang-pulang dari sekolah, makan apa yang ada, bermain seketika dan kembali mentelaah pelajaran yang dibekalkan guru sekolah.

Anak-anak bagus-bagus belajar. Ada yang sering-sering nombor 1. Ada yang pandai kira-kira. Ada yang hebat berbahasa. Bercakap dalam bahasa orang putih, yang dirinya sendiri tidak memahami butir-butir yang dicakapkan anak. Anak-anak juga dihantar mengaji agama. Biar maju ilmu dunia, pandai juga ilmu agama. Bukan pandai untuk diriak-riakkan, tapi untuk panduan agar hidup tidak terpesong biar seribu cobaan melanda kelak.

Selesai bersarap. Tidak tersadar yang jauh lamunannya. Hari ini hari penting. Tidak sepenting hari-hari yang lain. Memasuki usia 50 an ini, kederat kian berkurang. Maka ke kebun bukanlah agendanya. Lagi pun belum sampai masa menuai hasil. Bungkusan surat diraih dari sudut meja. Bersampul coklat muda dan bersaiz besar. Sisi surat yang sudah dibuka, diselak lagi. Lantas isi didalamnya dikeluarkan buat kesekiaan kalinya. "Tawaran Kemasukan Ke....." Tidak dibaca habis. Kerana telah pun maklum isi kandungnya. Senyum bersama lapang dada terbit serentak.

Ke pekan hari ini. Menaiki si cabuk yang gegar enjinnya. Yang meraung enjinnya jika lambat ditukarkan gearnya. Namun cukup besar sumbangan si cabuk ini dalam meneruskan suvivor. Ulang-alik ke tempat kerja. Ulang-alik menghantar anak-anak ke sekolah. Ulang-alik dengan urusan harian seperti meneman isteri membeli keperluan dan sebagainya. Kala hujan, kebasahan. Pabila panas, berpeluhan bersama si cabuk ini.

Alang-alang ke pekan, elok juga kalau bersinggah sebentar ke rumah besar. Rumah saudara dipinggir pekan. Bungkusan surat bersampul coklat muda dibawa bersama untuk dikhabarkan berita gembira ini. Ingin berkongsikan khabar dari anak-anak saudara yang bakal maju dalam pengajian. Mampu bersaing seperti anak-anak dari pekan yang kehidupan mereka lebih senang. Moga-moga saudara-saudara di rumah besar itu tumpang-tumpang bangga dan gembira dengan kejayaan anak-anak ini.

Menjelang petang, masa untuk pulang. Berteman si cabuk yang gegar enjinnya. Pelahan-lahan ditunggang. Hati-hati meredah jalan. Menderu angin dari hadapan, meniup cerita dari rumah besar ke belakang. Usah dibawa pulang cerita dari rumah besar itu. Biar ditinggalkan bersama angin yang bertiup. Ada rahsia yang biarlah tersimpan dibenak. Anak isteri tak harus tahu. Bimbang jadi benci. Risau jadi dendam. Dalam hati terdetik. "Hinakah menjadi orang yang susah..........."

Derap Lantai I... Derap Lantai II... Derap Lantai III... Derap lantai IV.... Bagi orang miskin... Dipandang hina adalah peneman yang biasa-biasa sahaja.....