9.11.11

Cerita Zaman Kecil: Pesan Atuk (Bahagian 1)

Menyelak-nyelak peta ingatan ke zaman-zaman awal remaja, iaitu sekitar 15 tahun umur ku. Ketika tinggal bersama-sama arwah nenek. Nenek... Kata ganti nama, bagi ibu kepada ibu atau bapa. Atau kebiasaannya,perkataan nenek itu adalah gelaran yang ditujukan kepada golongan wanita yang telah lanjut usianya, melepasi usia 60-an. Namun, dikalangan cucu-cucu bagi keluargaku yang sebelah abah, nenek adalah gelaran buat kedua-duanya.  Baik lelaki mahupun perempuan. Cuma yang membezakan jantina kedua-dua nenek ku adalah perkataan ‘jantan’ atau ‘tina’ yang diletakkan mendampingi perkataan nenek itu sendiri. Yang laki-laki, nenek jantan. Manakala yang perempuan, nenek tina. Sudah tentu perkataan ‘tina’ itu sendiri, adalah ringkasan kepada perkataan ‘betina’. Barangkali untuk menjadikan bunyinya lebih sopan sedikit untuk disebut dan didengar. Ketika usia ku di zaman kanak-kanak, aku sering mempersoalkan perihal kata ganti nama itu. Selalu sahaja aku bertanya kepada Mak mahupun Abah. Mengapa?

“Mak, kenapa kene panggil Nenek Jantan? Kenapa kat Batu Pahat panggil Atuk?” aku menyoal emak, lantaran perbezaan aplikasi perkataan ‘atuk’ mahupun ‘nenek’ yang mengelirukan aku pada waktu itu. Kalau pulang ke Batu Pahat, panggilan untuk atuk itu, betul atuk. Tapi kalau pulang ke Mersing, mengapa yang atuk itu, menjadi nenek. Selepas itu, perlu ditambah perkataan ‘jantan’ pula di hujungnya. Bagi Mak pula, bila aku mula terlalu banyak menyoal, jawapannya mudah. “Ntah”. Itu tandanya Mak malas untuk melayan soalan-soalan aku. Bila aku soal abah pula,  akan menjawab dalam nada yang bersahaja. “Memanglah kene panggil macam tu”. Walaupun itu bukanlah jawapan yang menguraikan kekeliruan bagi anak-anaknya. Akhirnya aku mengalah dan tidak lagi mempersoalkan apa-apa. Nenek Jantan pun Nenek Jantan lah…

Berpeluang untuk membesar di Kampung Sawah Dato’ dan tinggal bersama-sama arwah Nenek Jantan menjadikan aku amat mengenali nenek ku itu. Lelaki tua berketurunan Banjar yang bertubuh sedang-sedang sahaja. Ketika berdiri badannya akan bongkok sabut, gara-gara lanjut usia. Tatkala duduk di kerusi, kakinya pasti akan disilangkan. Ada ‘style’. Di malam hari, apabila tidur, tubuhnya akan berkerekot mengiring, tidak kira ke kiri mahupun ke kanan. Kain selimutnya akan ditarik dari hujung kaki hingga menutup sebahagian kepalanya. Seperti juga aku, arwah adalah penggemar kopi O’ yang dibancuh keras-keras. Makannya hanya akan berselera pada lauk-lauk berkuah serta bergulai. Terutama Kari. Tidak kira apa pun, janji kari. Ikan mesti dikari. Ayam, mahu kari ayam. Daging, kalau tiada resepi lain, pilihannya kari. Kari… Kari… Dan kari lagi. Cerewetnya dalam soal makan, boleh tahan. Kalau tidak sedap, dan-dan itu juga dirungutnya. Kalau berminyak, terlebih atau terkurang rasa, waktu itu juga ditegurnya. Kalau sedap, tidak kedekut arwah memuji. Tetapi biasanya selepas makan. Katanya, “syok Yam masak kari hari ni. Bertambah aku makan”, sambil menunjukkan isyarat “good” dengan ibu jarinya.

Seingat aku, arwah memang rajin. Dikala usianya menjangkau 70-an, arwah masih gagah menghayun cangkul di dusun yang terletak kurang lebih sepelaungan di belakang rumahnya. Tanah beberapa ekar itu tekun ditanam dengan serendah-rendah sayur labu, hinggalah sebesar-besar pohon durian. Kalau setakat ingin menyayur, mak tak perlu ke kedai. Baik labu, kangkung, terung, buncis, cili, bendi, juga keladi. Kesemuanya boleh diperolehi secara percuma dari dusun yang dikerjakan arwah.  Itu belum termasuk buah-buahan. Kalau tiba musimnya. Tuhan sahaja tahu, bagaimana mewahnya kami dengan durian, manggis, rambai, kuini, pelam, bacang, tembikai, serta jambu air yang pastinya akan terbiar melacak-lacak ke tanah. Tak terkutip, tak termakan. 

Dalam puluhan pohon durian yang tumbuh gemuk dan subur itu, ada beberapa batang yang aku tanam bersama-sama arwah nenek. Arwah mengajarkan aku bertani. Sesudah tanah dilubangkan, anak semaian durian yang sedia ditanam itu, perlu terlebih dahulu dibacakan surah Al-Kauthar. Nenek segera meraih tangan aku dan dilekapkan pada tanah yang menampung akar anak semaian durian itu.


“Bace Inna a’thoina, reti?” nenek menyoal. Aku mengangguk. Surah lazim dengan 3 ayat itu sama-sama kami bacakan. Sesudah surah itu dibaca, arwah mengajak aku berselawat 3 kali. Sama-sama kami berselawat ke atas nabi. Selesai berselawat, barulah lekas-lekas anak semaian durian itu segera ditanamkan. Begitulah tertib nenek mengajarkan. 


“Kenapa kene mengaji nek?” seperti biasa, aku kanak-kanak yang banyak menyoal.


“Nanti pokok lekas besar. Banyak buah” jawab arwah. 


“Oooo” satu ilmu baru dari arwah, yang sampai ke hari ini masih lekat dalam ingatan aku. 

Persoalan ‘kenapa kene mengaji’ itu sebenarnya punyai persoalan lain yang tersirat. Aku tak tahu bagaimana untuk menanyakannya pada waktu itu. Persoalan itu terbawa-bawa sehingga aku menginjak dewasa. Bila teringat-ingat peristiwa itu, lekas-lekas aku cuba mencari jawapannya. Apakah rasionalnya bacaan ‘Inna a’thoina’ atau surah Al-Kauthar itu ketika menyemai semaian. Lekas-lekas tafsirannya aku cari. ‘Nikmat yang Banyak’. Aku sekadar menganggukkan kepala pada tafsiran makna perkataan Al-Kauthar itu sendiri. Pada makna ayat-ayat yang pertama dan seterusnya terus aku bacakan…


Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) ni'mat yang melimpah-ruah.  Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu. Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus keturunan” Surah Ni’mat Yang Banyak, Al-Kauthar…


Rapat-rapat aku katupkan tafsir Al-Khauthar sambil menarik nafas sedalam mungkin. Bersama segumpal rasa sebak. Teringatkan arwah. Teringatkan salah satu dari deretan pesannya, yang disampaikan menerusi Al-Khauthar. Sambil berbisik di dalam hatiku…


“Ya Allah… Sama ada hidup mahupun mati rimbunan pohon durian yang pernah aku semai bersama arwah dahulu, biarlah segenap dedaun yang masih segar atau yang telah gugur dari pohon durian itu, bersama buah-buah yang ranum mahupun yang sedang menanti berputik, biarlah keseluruhan perihal pohon-pohon durian itu, dari hujung akar hingga ke hujung pucuk, menjadi amal jariah buat arwah… amin…”


Bersambung…

6 comments:

  1. ini adalah stroke asal kau.. ini adalah niche kau..

    ini mampu membuatkan kau semangat untuk menulis...

    bhasa separa berat separa pasar...

    maksud tepat sambil dihiasi bunga bunga metafora..

    cukup.. sesedap rasa. jgn tambah...

    ReplyDelete
  2. Zulfikar Hazri: tq zul... aku jugak seronok adapembaca macam kau yg selalu memberi kata-kata perangsang... terima kasih banyak2... promotelah tulisan aku ni seantero donia pun...

    ReplyDelete
  3. kenangan dengan atuk...sy baru kehilangan atuk baru2 ni..mmg terasa kehilangannya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabar ye... sabar... semoga rohnya dicucuri rahmat...

      Delete
  4. nice ^__^
    ade maksud tersirat nak dsmpaikn kat situ

    ReplyDelete