27.10.11

Cerita Zaman Kecil: Abang Honel

Honel. Kali pertama aku mendengar serta mengenal nama itu di antara umur ku 10 ke 11 tahun, ketika kami sekeluarga berpindah ke Kampung Sawah Dato' bagi meng-kawan-kan arwah nenek jantan yang tinggal bersorangan di sana. Honel. Pertama kali aku melihat pemunya badan bernama Honel itu, ketika aku sedang asyik bermain bola sepak di halaman bersama adik-adik ku ain dan syukri serta seorang abang berpangkat dua pupu yang senang aku panggil dengan nama Nuar. 

Sedang leka serta ligat aku mengkelecek adik-adik, secara tiba-tiba muncul sesosok tubuh lelaki berusia seawal 40 an berdiri di tepian halaman yang sedang asyik menyaksikan kami bermain. Memerhati dengan raut wajah serious, namun sesekali tersenyum ke arah aku. Siapa dia? Terus-terus hati mula bergetus. Gayanya tak ubah seperti seorang pengurus pasukan bola sepak yang sedang mengamati latihan pemain-pemain, cuma pakaian, misai, jambang serta rambutnya yang kurang cocok serta tidak terurus itu, mencerminkan sebaliknya. Orang gila! Lagi hati ku bergetus. 

Terus-terus pandangannya tepat ke arah ku. Sambil-sambil kali ini, terus-terus senyumannya dileretkan kepada aku. Tidak pula bernafsu untuk aku membalas senyuman kepada lelaki asing yang baru pertama kali memunculkan dirinya di situ. Aku hanya membalas senyumannya dengan wajah yang biasa-biasa tanpa sebarang perasaan. Suka tidak. Benci pun tidak. Cuma agak aneh serta sedikit malu lagi takut-takut melihatkan keadaannya yang tidak terurus itu. 

"Honel" suara mak datang dari pintu dapur yang jaraknya tidak jauh dari tempat kami bermain.

"Honel?" soal hatiku.

Lelaki yang dipanggil mak sebagai Honel itu, berpaling. Senyum seraya berjalan tunduk ke arah mak yang menyapanya. Tangan mak disalam. Honel bagai  tersipu-sipu malu. Waktu bersalam dengan mak. Honel menyebut "Mak Yam". Wujud satu lagi persoalan. Mengapa lelaki bernama Honel itu memanggil mak dengan panggilan "Mak Yam". Panggillan yang khusus digunakan di kalangan anak-anak sedara sebelah abah terhadap mak. Seingat aku, sepupu-sepupu aku yang lain seperti Abang Nas, Abang As, Kak Mas, Abang Halim dan yang lain-lain, yang mana berpangkat sepupu serta dua pupu dengan aku, memanggil mak dengan panggilan "Mak Yam". Honel ini bersaudarakah dengan aku? Mungkin...

"Hey.. Ni salam Abang Honel ni!" mak bertempik dari pintu dapur tempat mereka berdiri.

Tanpa membantah, aku, Ain dan Syukri berlari bagi bersalam dengan Abang Honel itu. Tangannya di salam walaupun dalam hati yang berat-berat. Selesai bersalam, kami menyambung bermain semula tanpa mempedulikan Abang Honel yang sedang dijamu dengan kopi o serta jejemput pisang oleh mak. Sesekali aku menjeling ke arah Abang Honel yang asyik berbual berteman mak serta arwah nenek jantan yang turut minum petang bersama. Asyik benar Abang Hobel menghirup kopi panas serta menjamah jejemput pisang  yang dihidangkan. Bangai orang kelaparan.

"Heh Nuar, siape tu?" soal aku kepada dua pupu ku Nuar.

"Tu Abang Honel la..." jawab Nuar dalam keadaan mencungap-cungap.

"Ye la. Siapa?" soal ku lagi bila jawapan yang diberikan Nuar belum cukup jelas.

"Abang Honel tu anak Pak lah la..." jawab Nuar lagi.

"Pak Lah?" lagi, aku bertanya.

"Dolah Kunat" sekadar dua patah nama yang disebut Nuar. Aku kini jelas.

"Oooo... Anak Pak Lah"

****

Beberapa hari setelah kunjungannya, aku memandang dari pintu dapur, Abang Honel muncul lagi. Kali ini berbasikal tua. Besar tayarnya. Aku memerhati Abang Honel bersusah-susah menongkat basikal tuanya betul-betul pada pangkal pohon manggis. Pakaiannya hari itu kemas sedikit. Sedikit sahaja, berbanding hari kelmarin. Cuma, hujung kaki seluarnya yang sebelah kanan agak jelas kehitaman dek geseran pada rantai basikal tuanya itu barangkali. Kenapa tak disinsingkan terlebih dahulu kaki seluar itu? Bisik hati aku, sebagaimana yang selalu dipesan mak setiap kali sebelum aku bertolak ke sekolah agama "jangan lupa seluar tu, sinsingkan dulu sebelum naik basikal. Karang habis hitam kene rantai besikal".

Honel membimbit sesuatu dengan beg plastik besar berwarna merah. Tak penuh, tapi agak sarat dan berat, sehingga tersenget-senget langkahnya. Entah apa yang beria-ia, dibawanya? Bisik hati ku lagi.

"Nah Mak Yam" beg plastik diletakkan pada muka pintu.

"Salam! Eh, ape bende ni Nel?" perkataan salam tu ditujukan untuk aku. Agar pandai beradab apabila tetamu datang, mesti disambut dengan bersalam. Mak memang pantang kalau aku tak bersalam tiap kali ada tetamu yang datang. Ketika bersalam, sempat aku menjeling ke arah bungkusan yang dibawa Abang Honel. Terdapat semacam tumbuhan yang melingkar-lingkar didalamnya. Nak dikata ranting bukan. Nak dikata rotan pun bukan.

"Sulur keladi Mak Yam. Ambil dari kebun nenek ni" jawab Abang Honel.

"Sulur keladi?" hati aku berbisik lagi. Tak pernah aku dengari. Tapi itulah yang dibawa Abang Honel hari tu.

"Ooo... Ya Allah, banyaknye. Susah-susah je kau ni Nel" mak berbahasa.

"Tak ade lah Mak Yam. Saye tengok banyak pokok keladi kat kebun tu. Teringat pulak Mak Yam ade sebut kelmarin" jawab Honel.

"Le. Mak Yam sebut je. Tak de la sampai suruh kau susah-susah pegi ambil. Sekejap ye Nel. Sekejap" mak menghilang meninggalkan aku dengan Abang Honel di muka pintu.

"Kefli pernah makan sulur keladi?" soal Abang Honel. Aku sekadar menggeleng kepala sambil membelek-belek tumbuhan yang dipanggil sulur keladi tu.

"Masak asam rebus ni sedap tau" sambungnya lagi.

"Ooo. Pokok die ni, macam mana bang? Tak penah dengar pun?" aku mula menyoal. Berminat nak tahu.

"Pokok keladi kan tumbuh menjalar. Ni kire sulurnyelah. Antare pokok keladi dengan pokok keladi, sulur ni yang sambungkan" terang Abang Honel.

"Oooo... Macam akar la ni?" aku cuba membuat kesimpulan.

"Haa... Pandai... Macam tu la lebih kurang" sambung Abang Honel.

"Nah ni Nel..." mak muncul sambil menghulur wang yang entah berapa banyak, aku pun tak berapa pasti. Tidak ambil tahu.

"Eh tak pe Mak Yam. Ikhlas ni" Abang Honel malu-malu menolak.

"Ambik... Buat duit kopi" desak mak lagi.

"Tak pe Mak Yam. Tak pe" tolak Abang Honel. Benar-benar menolak dan terus ke arah basikal tuanya. Bersusah-susah menyahtongkatkan basikal tuanya sambil senyum-senyum kepada aku dan mak yang tercegat di muka pintu.

"Tak pe la Mak Yam. Simpan je duit tu. Buat belanja anak-anak Mak Yam" sambungnya sambil terus mengohet basikalnya meninggalkan halaman.

"Baik betul Honel ni. Kesian mak tengok die..." mak seakan mengeluh.

"Kesian? Kenapa mak?" aku mula lah menyoal.

****

Setelah dijelaskan mak, baru aku tahu yang Abang Honel dahulunya bukan berkeadaan tak terurus begitu. Segalanya bermula semenjak dia diserang penyakit sawan. Menurut mak juga, Abang Honel dahulu, pernah bekerja sebagai kerani sebelum diberhentikan gara-gara sering diserang penyakit sawan itu. Entahlah. Tak ada ubatkah bagi penyakit sawan ni. Wajarkah Abang Honel diberhentikan hanya kerana berpenyakit sedemikian. Fikir aku waktu itu, menjangkau kepada keluarganya. Biarpun, bukanlah urusan aku untuk mencampuri urusan mereka, soalnya, tiadakah usaha untuk menyembuhkan penyakit Honel itu?

Gila Babi! Tu gelaran yang sering aku dengar terhadap penyakit sawan yang dihidap Abang Honel. Persoalan bermain lagi dibenak aku. Tiadakah gelaran yang lebih elok untuk dirujukkan kepada penyakit sawan itu, selain Gila Babi. Tidak terfikirkah di kalangan masyarakat akan kesan psycology yang ditanggung penghidap penyakit itu, bila penyakitnya dirujukkan kepada nama haiwan yang hina itu. Kasihan.

Semenjak hari itu, kehadiran Abang Honel tidak lagi disambut dengan banyak persoalan. Sebaliknya perasaan simpati dan kasihan. Barangkali dikalangan masyarakat kampung, Abang Honel sudah tiada tempat di hati mereka selain jijik. Tidak buat aku. Yang jijik itu aku jadikan kawan. Yang kotor itu jadi teman bermain. Biarpun jarak usia antara kami, layak untuk aku memanggilnya bukan Abang Honel, tapi Uncle Honel. 

Beberapa kali Abang Honel rebah di hadapan muka pintu rumah arwah nenek. Bukan akibat diserang sawan, tapi bila arwah nenek soal, rupa-rupanya Abang Honel tak makan lagi. Terpaksalah kami memapahnya ke dalam rumah. Memberinya air dan makan. Sayu hati aku bila melihat Abang Honel menjamah makanan, tak ubah seperti orang yang tidak makan beberapa hari... Memang itu pun yang berlaku kepadanya... Sungguh menyayat hati. Dan kejadian itu berulang beberapa kali. Dan aku dan arwah nenek lah yang yang bergegas-gegas mengejut serta memapahnya ke dalam rumah.

*****

Sekitar tahun 2005 ketika pulang ke Mersing sempena cuti semester UiTM. Aku terserempak dengan Abang Honel ketika aku sedang menunggu bas untuk pulang ke Felda Nitar. Buat sekian kali semenjak aku meninggalkan Kampung Sawah Dato' pada tahun-tahun 2000 atau 2001. Keadaannya adalah lebih teruk dari yang dapat aku gambarkan sebelum ini. Compang camping pakaiannya. Kusut masai serta kian beruban rambutnya. Kurus melidi tubuhnya. Dari jauh dapat aku lihat Abang Honel sedang mengais-ngais longkang tanpa mempedulikan orang lain disekililingnya. Ketika aku menghampiri, Abang Honel buat tak peduli.

"Cari apa tu bang?" soal aku.

"Cari duit syiling" jawabnya tanpa rasa malu-malu.

"Tak pe bang. Tak yah cari lagi, ambil ni" tak banyak yang mampu aku bagi. Maklumlah, ketika itu masih lagi belajar. Apa yang termampu, itulah yang aku beri. Dari membiarkannya terus mengais-ngais dari dalam parit itu. Abang Honel tidak menolak. Menerima sedekah ku dah terus pergi.

Apabila sampai di rumah, aku menceritakan apa yang berlaku kepada mak. Macam tak percaya yang mak juga tahu akan apa yang terjadi kepada Abang Honel kini. Mak juga pernah terserempak dengannya. Tapi, apalah yang dapat dibantu dari orang yang juga susah macam kami. Kata mak lagi, sewaktu terjumpa Abang Honel di bandar mersing dahulu, mak hanya dapat membelikan air kotak, roti serta sedekit sedekah buat belanjanya. Itulah kali terakhir mak bertemu Abang Honel. Itulah juga kali terakhir aku mengetahui khabarnya. Apalah nasib Abang Honel sekarang. Entahkan hidup, entahkan tidak... Ya Allah, dimanapun insan bernama Honel itu berada, aku doakan agar rahmat kasih sayang mu sentiasa bersamanya... Amin... 

12 comments:

  1. Suka entry ni. Panjang dan bahasanya best. Keep it up. Haha dah banya kali singgah hari ni. Maklumeler newly discovered blog kan.

    ReplyDelete
  2. Arena: siapa gerangan serikandi bertopeng ni? bernama arena... bile di klik pada nama tu, tak pula dibaa ke mana-mana... perkenalkan diri tuan hamba....

    apa pun... terima kasih atas persinggahan... elok kalau di tinggalkan alamat.. senang dijejak untuk berbalas kunjung...

    ReplyDelete
  3. perghh apsal naik2 bulu roma aku baca cerita kau ni...


    pehh pehhh pehh pelayepepeh...


    kekalkan.. jangan hanyut....

    sebab tulisan mcm ni adalah pati identiti blog kau.

    ReplyDelete
  4. Zulfikar Hazri: naik bulu roma... waaa.. ade roh sedang gentayangan di blog aku... hhiiiihhhiiii.... ayoyoyo... syukur ye... siap satu entry... bergerak kite ke entry yg lain...

    ReplyDelete
  5. orang istimewa kalau ada yang jaga elok2 akan terbela sikit,tak terbiar macam tu
    orang istimewa tetap ada istimewanya dengan cara tersendiri
    sulur keladi feveret aku dulu kini n forever

    ReplyDelete
  6. norinaomar : ye istimewa... tapi berapa ramai yg sedar akan istimewanya seseorang itu...?

    sulur keladi... tak ramai yang tahu barang kali... layannnn...

    ReplyDelete
  7. kesian honel
    nice write up bro
    terleka sekejap baca cerita nih
    dah gaya baca cerpen time sekolah2 dulu
    best ceritanya

    tu lah, kalau keluarga sendiri tak dpt nk jaga dan ambil kisah
    terbuang la jadinya
    syukurlah org2 macam mak yam dan bro ada utk tolong sedikit sebanyak

    ReplyDelete
  8. thanks kerol.. lame tak menjenguk ek?

    ReplyDelete
  9. kesiannyer dia..ct pOn ade coursemate yg ade pnyakit ni..rmai yang pinggirkan dia..kesian tgk ..huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. simpati.. die tak mintak lahir mcm tu...

      Delete
  10. certa betul ke cerita sam?
    aduhai..
    tersentap ase..

    moge di lindungunyaaa...~

    ReplyDelete
    Replies
    1. cite betul... ambil as pengajaran la... moga di lindungi...

      Delete