19.9.11

Hikayat Putera Nyamuk

Suasana di dalam kamar beradu di raja kemalap-malapan cahayanya. Hanya terdapat beberapa batang lilin yang dinyalakan. Cukup untuk menerangi sebahagian ruangan utama kamar di raja itu. Sesosok tubuh wanita yang kelihatan berusia, terbongkok-bongkok pada hujung kamar. Kelihatan juga sesosok kanak-kanak di atas perbaringan. Wanita tua itu menghampiri anak kecil itu. Dahinya diusap lembut, bersama sekuntum senyum serta renungan yang penuh kasih sayang.

“Mengapa Cu tak mahu lelapkan matanya?” soalnya lembut dalam nada yang seakan berbisik.

“Mahu dengar cerita-cerita dongeng dahulu” jawab ringkas anak kecil itu.

“Hmm…” segumpal nafas berhembus. Kemudian tersenyum dengan tangan tak henti-henti mengusap pada umbun-umbun anak kecil itu.

“Cerita yang mana satu?” ditawarkan pilihan kepada anak kecil itu.

“Kita mahu dengar kesudahan cerita malam yang sudah, Nek Inang sudah lupa?” jawab ringkas

“Emmm. Yang mana ya? Patik terlupa. Ya lah. Sudah tua. Akalnya lupa-lupa selalu?” sambil menggaru-garu kepala.

Anak kecil itu segera bangkit dari perbaringannya. Berdiri sambil bercekak pinggang pada tangannya yang kiri. Ketika berbicara, jari telunjuknya yang kanan disuakan pada wajah wanita yang dipanggilkan dengan nama Nek Inang itu. Keletah yang sedikit mencuit hati. Namun, pasti kemahuannya perlu dutirut tanpa ada bantahan.

“Kisah Puteri Raja dengan Sang Nyamuk. Semalam tidak disudahkan ceritanya. Bukankah Nek Inang sudah berjanji, mahu sambung malam ini”

“Iya-iya. Ampuni patik yang mulia puteri” Nek Inang pelan-pelan berkesot bersama jelepuknya, kemudian bangkit lantas duduk bersimpuh pada penjuru perbaringan. Sejurus itu, Puteri Nilam Sari segera berbaring semula. Kali ini kepalanya rebah pada simpuh ribaan Nek Inang. Ubun-ubun kepalanya sekali lagi manja diusap. 

“Nek Inang, apa yang terjadi kepada Puteri itu Nek Inang?” soal Puteri Nilam Sari.

Nek Inang termanggu-manggu seketika. Semula mendapatkan ingatannya pada malam yang lalu. Di mana cerita dongeng yang disampaikan ditangguhkan, setelah Puteri Nilam Sari terlena diribaannya. Wanita yang telah menjangkau usia tua itu, sedar benar, yang ketika ini daya ingatannya kian lemah. Mudah sahaja terlupa biarpun perkara yang ringan-ringan.

“Nek Inang. Ohhh Nek Inang”

“Iya. Apa berlaku kepada puteri itu. Emmm.. Emmm..” Nek Inang masih dalam keadaan termanggu-manggu mencari sambungan cerita semalam.

“Oh ya. Setelah Puteri Ayu menyerahkan titisan darahnya untuk diminum Sang Nyamuk yang mendakwa dirinya putera raja?” Nek Inang mendapat semula ingatannya. Mujur, jika tidak, mesti Puteri Nilam Sari akan mula membentak-bentak. Begitulah ragam satu-satunya anakanda raja yang diasuhnya. Manja dan terlalu banyak keletah serta kemahuannya. Segala-galanya pasti akan dituruti Nek Inang yang telah mengasuhnya sekian lama.

“Iya, apa yang berlaku kemudian?”

“Setelah Puteri Ayu menyerahkan titisan darahnya, Sang Nyamuk segera menghisap kesemua darah itu” Nek Inang menyambung ceritanya. Sambil tangannnya tak henti-henti membelai serta mengusap ubun-ubun Puteri asuhannya itu.

“Wahh, pasti Sang Nyamuk itu akan bertukar menjadi putera raja. Bukan begitu Nek Inang? Puteri Nilam Sari cuba meneka-neka jalan cerita yang dikisahkan. Lontaran  suaranya tampak lemah dengan matanya yang mula terkebil-kebil. Nek Inang tahu, Puteri Nilam Sari sudah mulai mengantuk.

“Ehhh… Belum lagi Cu” Nek Inang melengah-lengahkan cerita.

“Belum lagi? Bila?” soal Puteri Nilam Sari.

“Setelah menghisap darah Puteri Ayu, Sang Nyamuk terus sahaja terbang ke jendela. Puteri Ayu pula…” cerita Nek Inang terhenti di situ. Puteri Nilam Sari sudah pun terlena. Sememangnya sudah ketahuan oleh Nek Inang, anak kecil itu sudah keletihan setelah hari siangnya dipenuhi pelbagai perkara. Bermain, belajar dan lain-lain.

“Hmmm. Cu.. Moga-moga dewasa kelak Cu menjadi Puteri yang anggun sekali” Nek Inang berbisik pada ubun-ubun Puteri Nilam Sari. Satu kucupan lembut dikucupkan pada dahi puteri asuhannya itu. Nek Inang tidak segera berkalih. Tangannya terus juga mengusap dan mambelai dahi anak kecil itu. Kasih sayang yang tak terluak kepada puteri raja yang telah di’bela’nya sejak baru dilahirkan ke dunia.

Pelahan-lahan Nek Inang berkesot. Kepala Puteri yang sedang lena itu juga hati-hati dikalihkan pada bantal bersulam benang emas. Dahi anak raja itu dikucup lagi. Sudah jauh lenanya pada firasat Nek Inang. Segumpal nafas kelegaan terhambur. Lega hatinya apabila Puteri Nilam Sari mulai lena. Nek Inang perlahan-lahan meninggalkan Puteri Nilam Sari untuk pulang. Esok seawal kokok Sang Jalak, Nek Inang perlu segera bangkit untuk menguruskan anak asuhannya itu.   

*****
Keesokan paginya..

“Ayahanda! Bonda! Ayahanda!” Pureri Nilam Sari berlari-larian apabila melihat ayahandanya Sultan Nizam Syah.

“Cu… Usah berlarian…” Nek Inang menuruti langkah Puteri Nilam Sari. Namun tak betah berlari, hanya mampu berjalan pantas. Belum sempat menegah Puteri Nilam Sari dari berlari, puteri raja itu sudah pun tiba ke dakapan ayahandanya. Tangkas dan lincah langkahnya. Terus leher ayahandanya dipaut. Sekali raih, Puteri Nilam Sari didukungan Sultan Nizam Syah.

“Lihat anakanda, Nek Inang tewas berlumba dengan anakanda” Sultan Nizam Syah mengucup dahi anakndanya. Sambil memandang Nek Inang yang baru tiba.

“Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun. Tak dapatlah patik mengejar Puteri Nilam Sari kerna langkahnya terlalu deras Tuanku. Ampun Tuanku” Nek Inang bersembah menghadap.

“Hahahaha. Lihat tu anakanda. Nek Inang mengaku tak larat. Anakanda membesar kuat seperti ayahanda” sekali lagi dahi dan pipi anakandanya dikucup. Perlakuan itu diperhati Nek Inang dengan rasa sayu dihatinya.

“Kuat serta gagah seperti ayahandanya, namun kelak pasti ayu seperti bondanya. Ayuh anakanda, mari pada bonda” Permaisuri Permata Dewi menghulurkan tangannya untuk mendukung Puteri Nilam Sari. Anakandanya itu menurut sahaja.

“Mak Inang, sudah bersarap?” soal Sultan Nizam Syah.

“Ampun Tuanku. Usah khuatir Tuanku. Patik sudah pun bersarap Tuanku” jawab Nek Inang.

“Hmmm baiklah. Bagus”

“Ayahanda. Bonda. Malam yang lalu anakanda telah digigit oleh Putera Nyamuk. Lihat ini. habis tangan anakanda digigitnya” lengan kanannya ditunjukkan kepada ayahanda dan bondanya. Terdapat kesan bintat yang jelas pada lengannya. Puteri Nilam Sari bukanlah mengadu hal, cuma barangkali ketaksubannya terhadap dongeng Putera Nyamuk itu menyebabkannya berkata sedemikian.

“Apa! Bagaimana boleh digigit nyamuk?! Mak Inang, tak diasapkan terlebih dahulu kamar puteri beta?! Mengapa Mak Inang begitu lalai sekali?!” bernada tegas dan seakan murka.

“Ampun Tuanku, sudah menjadi rutin patik Tuanku, setiap malam, patik akan mengasapkan terlebih dahulu kamar Puteri Nilam Sari, Tuanku. Patik tidak pernah lalai melakukannnya Tuanku” jawab Nek Inang. Ada nada terketar-ketar pada suarannya. Bimbang yang teramat terhadap kemurkaan Sultan Nizam Syah.

“Sudah lah Kanda. Alahh. Cuma digigit nyamuk Kanda nak murkakan Mak Inang. Bukankah Puteri kita ini gagah seperti Kanda. Bukan begitu anakanda?” sambil mencuit hidung anakandanya. Bersoal. Namun bukanlah minta dijawab. Cuma sedikit membela Nak Inang.

“Mak Inang, tak mengapalah. Ini malam elok dipasangkan kelambu pada kamarnya Nilam Sari. Nanti kita titahkan tukang membantu Mak Inang ya. Mak Inang pergilah istirehat dahulu ya” lembut kata-kata Puteri Permata Dewi. Mengendurkan baran Sultan Nizam Syah.

“Ampun Tuanku, patik mohon bersurai…” melangkah beberapa langkah ke belakang, kemudian berpaling pergi dangan hati yang keluh kesah. Nek Inang melangkah dengan penuh sugul pada wajahnya. Adakah dirinya yang selalu sahaja lupa. Adakah dirinya yang lalai seperti yang didakwa Baginda Sultan. Nek Inang berkeluh kesah.

“Mak Inang… Mak Inang” namanya dipanggil. Langkah sugulnya terhenti. Kemudian berpaling.

“Ampun patik Tuanku Permaisuri” 
“Mak Inang usah khuatir ya. Kita percaya sama Mak Inang. Dari kita kecil dahulu pun, Mak Inang lah yang membela. Usah khuatir ya Mak Inang”

“Ampun Tuanku. Barangkali ada betulnya kata-kata baginda Sultan. Patik sudah tua Tuanku. Banyak yang terlupa. Banyak yang terlalai. Patik mohon ampun Tuanku” nada mulai sebak. Hati tuanya mudah tersentuh.

“Tak adalah Mak Inang. Lihat, dari waktu kita kecil sampai kini, Mak Inang masih ingat Dongeng Putera Nyamuk itu ya?” bijak Permaisuri Permata Dewi mengambil hati Mak Inang. Gurauannya itu membuat Mak Inang tersenyum semula.

“Hmmm… Yang itu pun, patik selalu lupa-lupa sahaja Tuanku”

Nek Inang kembali tersenyum. Di dalam hatinya berasa syukur kerna dikurniai Permaisuri Permata Dewi yang turut pernah diasuhnya satu ketika dahulu. Kini giliran anakandanya Puteri Nilam Sari. Namun, pada penghujung usia itu, Nek Inang terpaksa akur terhadap kudratnya yang kian menipis.

“Ampun Tuanku, patik mohon permisi dahulu”

“Ya. Baiklah”

Nek Inang melangkah beberapa langkah ke belakang, kemudian berpaling pergi dangan hati yang mulai reda. Sugul pada wajahnya juga hilang bersama rasa gundah. Langkahnya diperhati Permaisuri Permata Dewi. Sayu hatinya melihat pengasuhnya yang kian menginjak usia itu. Baginya Nek Inang banyak berjasa kepadanya. Asuhan dan bimbingannyalah yang mendidiknya sampai kini. Asuhannya penuh rasa tanggungjawab serta penuh rasa keibuan. Bagi Permaisuri Permata Dewi, dek kerana asuhan Nek Inanglah yang sedikit sebanyak membentuk peribadinya kini.

“Apa yang dimenungkan?” suara Sultan Nizam Syah memesong lamunannya.

“Kanda tak seharusnya berkata kasar pada Mak Inang. Dinda yakin Mak Inang tidak pernah lalai”

“Iya. Barangkali Kanda tersilap. Kanda cuma mahukan yang terbaik untuk satu-satunya puteri Kanda”

“Mak Inang itulah yang terbaik buat satu-satunya puteri kita”

“Pada kanda, Mak Inang sudah terlalu tua untuk Nilam Sari. Mungkin kita perlu rehatkan Mak Inang. Puteri Nilam Sari perlukan yang terbaik”

“Apa maksud kanda?”

“Puteri Nilam Sari perlukan yang terbaik”  

*****

Maka membesarlah Puteri Nilam Sari dengan penuh kesempurnaan. Kejelitaan, keayuan serta kelembutannya, mewarisi keperibadian bondanya, Permaisuri Permata Dewi. Ketangkasan gerak silatnya, keberanian serta kepintaran, mewarisi keperibadian ayahandanya Raja Nizam Syah. Puteri Nilam Sari juga dididik dengan ilmu-ilmu pentadbitan negara, ilmu-ilmu perniagaan serta dipupuk dengan sifat-sifat kemanusiaan yang mulia seperti adil, berani, berperi kemanuasiaan dan sebagainya. Terlahirlah seorang waris negara yang serba sempurna.

Namun, dalam kesempurnaan itu, terdapat sesuatu yang menerbitkan rasa walang di hati baginda Raja Nizam, apabila, kerajaan nya masih tidak terwaris. Bukan sahaja tidak dikurniai tuhan dengan seorang putera, malahan, Puteri Nilam Sari satu-satunya puteri baginda, masih belum menemui calon suami. Kalau pun bukan untuk mewarisi tampuk kepimpinan negara, cukuplah sebagai peneman sepanjang hayatnya sang puteri kelak, memandangkan usia ayahanda serta bondanya yang kian ke penghujung.

"Ayahanda, Bonda, apakah gerangan hajat ayahanda dan bonda menitah anakanda menghadap hari ini. Maaf atas kelewatan anakanda. Anakanda sibuk dengan urusan di pelabuhan"

"Hmm… Anakanda ku, anakanda membesar sempurna, gagah seperti ayahanda. Cantik seperti bonda. Cukup ilmunya. Cukup dengan segala kesempurnaan. Namun..”

“Namun apa ayahanda?”

“Alangkah elok kalau kesempurnaan itu dicukupkan lagi”

“Kesempurnaan ini tidak cukup lagikah ayahanda? Ampun kalau anakanda kurang periksa”

“Bukan begitu anakanda. Bonda juga ayahanda kepingin mahu melihat anakanda berkahwin. Ingatlah anakanda, ayahanda serta bonda sudah semakin lanjut usia. Kelak apabila kami tiada lagi di dunia ini, biarlah ada peneman buat anakanda disepanjang hayat anakanda. Lagi pun, kerajaan ini memerlukan waris agar ada kelangsungannya”

“Berkahwin? Ohh.. Tapi..”

“Bonda pun selalu rasa kepingin mahu menimang cucu. Anakanda selalu sahaja tiada di istana bagi melihat-lihat negara. Bonda ditinggalkan kesorangan, kelak jikalau sudah bercucu, bolehlah bonda bermain-main bersamanya” sampuk Permaisuri Permata Dewi.

“Bagaimana pendapat anakanda sendiri? Adakah anakanda sudah ketemu calon yang anakanda rasakan berkenan dihati?”

“Tiada ayahanda. Anakanda belum membuka hati untuk mana-mana lelaki untuk anakanda jadikan pasangan anakaanda. Apakata ayahanda saja aturkan segala-galanya. Ampun ayahanda, anakanda sibuk dengan urusan niaga, anakanda mohon meminta diri dahulu” Puteri Nilam Sari terus berpaling dan meninggalkan ayahanda serta bondanya.

“Minta kita yang aturkan? Bukankah sudah berpuluh pinangan yang datang atas aturan kita, namun kesemuanya ditolaknya?”

“Barangkali kita terlalu mendidiknya dengan kesempurnaan kanda. Maka kesempurnaanlah yang dicarinya”

Telah banyak pinangan yang datang mencuba. Namun kesemuanya ditolak oleh Puteri Nilam Sari. Alasannya, tidak ketemu cirri-ciri idamannya. Apabila sahaja pinangan sampai, pasti diujinya putera-putera itu. Kalau bukan dengan kepintaran, mereka akan diuji dengan kelincahan. Putera-putera ini dicabar bertarung dan bertempur. Janjinya mudah, jikalau ingin memiliki hatinya, maka wajiblah bagi putera-putera ini untuk  menang dalam pertarungan. Alangkah malangnya apabila, setiap yang dicabar itu tersungkur tewas ketika bertarung. Terpaksalah dilupakan sahaja hasrat untuk memiliki hati Puteri Nilam Sari. Pulang dengan perasaan hampa dan terhina.

****

Puteri Nilam Sari merebahkan kepalanya di perbaringan. Kesibukan dengan urusan kerja menyebabkan tubuhnya terasa letih sekali malam itu. Dicobanya beradu seawal mungkin, sesudah selesai santap bersama ayahanda dan bondanya. Matanya kian layu dan hampir-hampir terlena.

“Nilam Sari.. Ohh Nilam Sari.. Nyyiiiiiiiiiiiitttt” satu suara seakan berbisik pada corong telinga. Puteri Nilam Sari tersentak dari tidur-tidur ayamnya.

“Siapa!” jerkah Puteri Nilam Sari.

“Jangan coba bermain-main. Elok tuan hamba keluar!” sambungnya lagi. Nada yang begitu barani. Umpama serikandi yang mencabar lawannya.

“Patik di sini Puteri Nurnilam Sari. Nyyiitttttttttttttt”

“Di mana. Usah menjadi penakut. Lekas Keluar!”

 “Hamba ada di sini Tuanku. Di hadapan Tuanku”

Puteri Nilam Sari memusatkan pandangannya pada sesuatu yang sedang berterbangan dihadapannya.

“Tuan hamba? Nyamuk?”

“Ya. Hamba. Hamba nyamuk yang bukan sebarangan nyamuk. Hamba nyamuk berdarah keturunan raja dari kerajaan yang jauh”

“Tuan hamba Putera Nyamuk? Mustahil. Itu hanya kisah dongengan!”

"Dongengan apa lagi sekiranya patik benar-benar wujud pada dihadapan Tuanku. Jika tidak percaya biar patik buktikan” 

Terus Puteri Nilam Sari diserang. Putera Nyamuk hinggap pada pipi, lantas disuntik ‘jarum’ nya. Maka terasa gatallah pipi Puteri Nilam Sari. Lantas ditamparnya pipi sendiri. Putera Nyamuk mengelak. Kemudian menyerang pada kaki kiri Puteri Nilam Sari. Gatal lagi. Kali ini cuba dipijaknya Putera Nyamuk dengan kaki kanannya. Putera Nyamuk tangkas mengelak. Lantas yang dipijak tidak lain dan tidak bukan kakinya sendiri. Puteri Nilam Sari naik berang. Dilempar Putera Nyamuk dengan bantal serta segala yang sempat dicapainya. Namun, segala serangan Puteri Nilam Sari Berjaya dielak.

“Ahhh! Ini adalah pertarunagn yang tidak adil buat ku. Jika benar kau anak jantan, jelmakan diri sebagai manusia dan ayuh kita bertempur”

“Patik yang sekecil ini pun Tuan Puteri tak mampu tewaskan. Bagaimana pula jika patik menjelma sebagai manusia kelak”

“Ahh! Apa ku hirau kau segagah mana. Ayuh kita bertempur! Lekas, jelmakan diri mu sebagai manusia!”

“Baiklah. Namun sebelum itu, patik mohon pertolongan tuanku puteri”

“Pertolongan?”

“Ya. Tukarkan patik kepada manusia semula. Seperti sediakala”

“Apa maksudmu”

“Adapun patik telah disumpah oleh bonda tiri patik, seorang sihir yang sangat jahat. Patik telah terbuang dari negeri patik. Juga telah disumpah menjadi seekor nyamuk. Untuk menamatkan sihirnya, patik haruslah meminum setitis darah dari seorang puteri raja yang kuat hatinya”

“Apa benar kau akan menjelma sebagai manusia setelah meminum darah ku?”

“Percayalah tuan puteri. Patik tidak sesekali berbohong?”

“Bukankah kau bebas menghisap darah ku tanpa perlu memberitahu ku?”

“Patik tidak mencuri. Lagipun, inilah kali pertama patik melakukannya”

“Habis, selama ini bagaimana kau bisa hidup tanpa makan dan minum?”

“Bukankah patik nyamuk yang disumpah. Maka, berbeza dari nyamuk-nyamuk yang lain”

“Ohhhh… Errrrm. Baiklah, jika dengan setitis darah ku dapat menyelamatkan kau, aku bisa sahaja memberi, namun, ingat, pertarungan kita belum berakhir, kau ku kira menceroboh kamar ku, dan aku pasti menghukum kau”

Puteri Nilam Sari menghulur lengannya. Putera Nyamuk segera hinggap. Disuntiknya lengan putih gebu itu. Menerbitkn rasa gatal. Puteri Nilam Sari menahan rasa. Putera Nyamuk menyedut sehinga puas. Setelah selesai, suntikannya ditanggalkan serta terus terbang terapung-apung dihadapan Puteri Nilam Sari.

“Hmmm. Terima kasih tuan puteri”

“Baiklah. Sekarang jelmakan dirimu sebagai manusia”

“Nyiitttttttttt.. Terima kasih tuanku..”

Sekelip mata Puteri Nyamuk Terbang dan hilang dari pandangan. Puteri Nilam Sari mencari ke segenap arah. Namun tak ketemu. Perasaan tertipu mula terbit. Rasa geram mula menggumpal di sanubarinya. Puteri Nilam Sari telah ditipu oleh seekornya, yang mendakwa dirinya Putera yang disumpah.

“Hah!”

Puteri Nilam Sari tersentak dari tidurnya. Nafasnya tercungap-cungap seperti baru lepas berlari. Rupa-rupanya sekadar berminpi. Bermimpi bertemu Putera Nyamuk.

****

Puteri Nilam Sari meneruskan penghidupan seperti biasa. Sibuk dengan urusan pentadbiran Negara. Sesekali berangkat menyetai keramaian di istana. Begitulah kehidupannya sehari-hari. Tanpa memikirkan tentang membina kehidupan berkeluarga. Puteri Nilam Sari masih belum ketemu calon yang benar-benar sesuai serta menambat hati. Hinggalah di suatu hari….

Puteri Nilam Sari dititah menghadap. Hari ini bakal berlangsung upacara rombongan meminang Puteri Nilam Sari dari sebuah negara yang kurang dikenali. Puteri Nilam Sari menghadap dengan langkah yang tampak tidak pernah kosong. Langkah seorang serikandi yang bersedia berdepan apa jua cabaran.

“Anakanda, perkenalkan ini Putera Megat Seri Inderawan dari Kerajaan Seri Samudera”

Mata kedua putera dan puteri itu saling berpandangan. Umpama ada panahan ketika mata mereka saling bertentangan. Ada rasa getar dihati Puteri Nilam Sari, namun segera dinafikan rasa itu. Di hatinya, layakkah Putera itu mendampinginya? Seperti biasa, perlu dicoba dengan ujian. Dan ujian buat Putera yang cuba melamarnya itu adalah, pertempuran di gelanggang silat.

“Kita bisa sahaja menerima lamaran Tuanku, namun ada syaratnya” Puteri Nilam Sari memulakan bicara.

“Mari kita selesaikan urusan kita yang tak berkesudahan tempoh hari. Apa kata tuan puteri?” Puteri Nilam Sari kebingungan. Hadirin yang hadir juga saling berpandangan.

“Tuan puteri mahu mengajak kita bertarung bukan?” Putera Megat mengalih semula tumpuan.

“Ya… Jika kita menang, Tuanku bisa pulang, Jika kita tewas, Tuanku perolehi penghormatan dari hati kita”

“Baiklah. Kita setuju”

Kedua-duanya masuk ke gelanggang. Bersembah raja kemudian memulakan tari bunga-bunga silat. Kedua-duanya masih belum bersedia menyerang. Sekadar merenung-renung serta menelah-nelah kelemahan lawan. Masing-masing bijak mengawal langkah.

“Terima kasih kerna membantu hamba tempoh hari” Putera Megat merapat dan berbisik ke telinga Puteri Nilam Sari. Puteri Nilam Sari menyerang dengan jurus pertama. Namun pantas dielak.

“Apa maksud mu?” soal Puteri Nilam Sari.

“Terima Kasih kerna menamatkan sumpahan kita” Putera Megat menjawab. Kali ini dikuis kaki Puteri Nilam Sari. Hampir-hampir terlentang ke gelenggang, namun Putera Megat lekas menyambut. Ketika itu sekali lagi mata mereka bertentang. Dan seperti biasa, Puteri Nilam Sari Menafikan pandangan itu dan segera bangkit semula. Kelebihan kepada lawannya kini.

“Tuanku. Jadi ini bukan sekadar dongengan?”

Seluruh alam menjadi gelap buat Puteri Nilam Sari. Hari ini menyaksikan kegagahan serta kehebatan Puteri Nilam Sari terhapus ditangan seorang Putera dari Kerajaan Seri Samudera. Puteri Nilam Sari rebah dek pitam hanya beberapa ketika berada digelanggang. Bukan tewas akibat serangan lawan. Namun tewas akibat kejutan yang hebat. Siapa sangka dongeng menjadi nyata. Kisah Putera Nyamuk yang didengarkan sewaktu kecilnya kini benar berlaku kapada dirinya. Dan ternyatalah hari ini, Putera Nyamuk itu, berjawa mengalahkannya..

Sekian, Tammat!                     

8 comments:

  1. panjang tul.. aku dah taubat tulis entry pnjang2 ni.. sbb xramai suka bca pnjang2

    ReplyDelete
  2. ok..dah name pon hikayat..
    CERITE DONGENG tetap dongeng, i would love to hear some real.

    ReplyDelete
  3. Nasib baik Putera Megat tak kata, "sayang awak..rindu awak.." Kalau tak,Puteri Nilam Sari tertido macam Sleeping Beauty..Tak pasal pasal Putera Megat kene buat sesuatu nak kejutkan Puteri..

    ReplyDelete
  4. kenapalah tak ada perkataan ni...

    "sayang awak...rindu awak...."

    arrrggghhhh....

    ReplyDelete
  5. Saiazuan: harus lah yang panjang2.. baru hti aku puas... orang tak suke? hmmm biarlaa...

    ReplyDelete
  6. ika: dongeng... nak real? ade nanti... kene sabo ye...

    ReplyDelete
  7. ErnieFaizal Siti: tu dah jadi cerita lain tu.. nanti kene saman lak sebab ade ciri2 menciplak... lagi pun... kalau puteri nilam sari tertidur.. tentu sultan panggil nujum pak belalang...

    ReplyDelete
  8. Pendekar Limau nipis: tq komen.. blogger jugak ke? bak la url.. leh menjejak semula..

    ReplyDelete