5.2.11

Derap Lantai IV

Awal pagi yang hening. Awal-awal lagi sudah bangkit dikejutkan azan subuh serta kokok jalak. Sejuknya embun pagi sudah terbiasa dalam diri. Melihat disebelah, kerekot si isteri diselubung kain cadar kotak-kotak. Si isteri wajib dikejutkan kalau masih lena. Sebelum gelincir fajar dari ufuk timur, fardhu subuh wajib disegerakan. Insyaallah, mengimamkan isteri. Dan isteri mengaminkan segala doa yang dibacakan suami. Doa-doa kesejahteraan. Doa-doa kesihatan. Doa-doa kejayaan dunia akhirat buat diri, anak-anak serta dunia seisinya.

Langit kian cerah disimbah warna terang mentari. Dada langit lapang-lapang sahaja hari ini. Biru bercampur cahaya kuning yang benderang. Dingin nya hawa subuh kian menghilang. Meninggalkan wasap-wasap embun memutih pada julang-julang pepucuk pohonan kelapa bali. Saujana yang indah dipandang.

Sarap pagi terhidang sudah. Gorengan nasi bersama kopi o' menjadi kebiasaan. Kopi cap bunga kemboja. Yang diambil dahulu dan dibayar dari potongan gaji pada tiap-tiap bulan. Di kedai serbaneka itu, kalau ambil lebih, maka hutangnya lebih. Kalau tak diambil dahulu, maka anak-anak tiada makan apa-apa. Mengharap pada belanja tunai memang tak termampu. Dengan gaji yang selalu ditolak hutang kedai dan hutang tanah.

Kadang-kadang kalau susah-sudah, sewaktu simpanan beras kian menyusut, terpaksa tanak bubur nasi. Jika tak berlauk, hidangan telur asin bersama sambal tumis pun cukup menyelerakan. Itu belum gorengan ikan masin, kekacang, bebawang mahupun rebusan pucuk-pucuk hutan yang meliar di sekeliling. Mujur selera anak-anak tidaklah memilih. Apa yang terhidang, itulah yang dijamu. Pulang-pulang dari sekolah, makan apa yang ada, bermain seketika dan kembali mentelaah pelajaran yang dibekalkan guru sekolah.

Anak-anak bagus-bagus belajar. Ada yang sering-sering nombor 1. Ada yang pandai kira-kira. Ada yang hebat berbahasa. Bercakap dalam bahasa orang putih, yang dirinya sendiri tidak memahami butir-butir yang dicakapkan anak. Anak-anak juga dihantar mengaji agama. Biar maju ilmu dunia, pandai juga ilmu agama. Bukan pandai untuk diriak-riakkan, tapi untuk panduan agar hidup tidak terpesong biar seribu cobaan melanda kelak.

Selesai bersarap. Tidak tersadar yang jauh lamunannya. Hari ini hari penting. Tidak sepenting hari-hari yang lain. Memasuki usia 50 an ini, kederat kian berkurang. Maka ke kebun bukanlah agendanya. Lagi pun belum sampai masa menuai hasil. Bungkusan surat diraih dari sudut meja. Bersampul coklat muda dan bersaiz besar. Sisi surat yang sudah dibuka, diselak lagi. Lantas isi didalamnya dikeluarkan buat kesekiaan kalinya. "Tawaran Kemasukan Ke....." Tidak dibaca habis. Kerana telah pun maklum isi kandungnya. Senyum bersama lapang dada terbit serentak.

Ke pekan hari ini. Menaiki si cabuk yang gegar enjinnya. Yang meraung enjinnya jika lambat ditukarkan gearnya. Namun cukup besar sumbangan si cabuk ini dalam meneruskan suvivor. Ulang-alik ke tempat kerja. Ulang-alik menghantar anak-anak ke sekolah. Ulang-alik dengan urusan harian seperti meneman isteri membeli keperluan dan sebagainya. Kala hujan, kebasahan. Pabila panas, berpeluhan bersama si cabuk ini.

Alang-alang ke pekan, elok juga kalau bersinggah sebentar ke rumah besar. Rumah saudara dipinggir pekan. Bungkusan surat bersampul coklat muda dibawa bersama untuk dikhabarkan berita gembira ini. Ingin berkongsikan khabar dari anak-anak saudara yang bakal maju dalam pengajian. Mampu bersaing seperti anak-anak dari pekan yang kehidupan mereka lebih senang. Moga-moga saudara-saudara di rumah besar itu tumpang-tumpang bangga dan gembira dengan kejayaan anak-anak ini.

Menjelang petang, masa untuk pulang. Berteman si cabuk yang gegar enjinnya. Pelahan-lahan ditunggang. Hati-hati meredah jalan. Menderu angin dari hadapan, meniup cerita dari rumah besar ke belakang. Usah dibawa pulang cerita dari rumah besar itu. Biar ditinggalkan bersama angin yang bertiup. Ada rahsia yang biarlah tersimpan dibenak. Anak isteri tak harus tahu. Bimbang jadi benci. Risau jadi dendam. Dalam hati terdetik. "Hinakah menjadi orang yang susah..........."

Derap Lantai I... Derap Lantai II... Derap Lantai III... Derap lantai IV.... Bagi orang miskin... Dipandang hina adalah peneman yang biasa-biasa sahaja.....

1 comment:

  1. ishhh ishhh tragis sungguh kisah derap lantai ni.... tunnguu sambungan ni...

    ReplyDelete