22.2.10

Aduhai Saleha

Di satu pagi… ketika keheningan masih terasa… di pinggir sebuah pasar basah… di sebuah perkampungan kecil… jauh dari ibu kota…

"ko tau bibah…" soal mak leha sambil menunjal-nunjalkan jari telunjuknya ke bahu cik bibah.

"Iyeeee?!!!!…" ringkas jawapan cik bibah dengan matanya yang terbelalak luas.

"hish!! ko ni bibah… dah iye-iye… aku belum cerite lagi ko dah iye-iye!! memang patut la orang kampung dok gelar ko bibah iye-iye…" balas mak leha dengan nada yang agak tinggi. seolah-olah kurang senang terhadap reaksi yang ditunjukkan cik bibah. belum-belum sudah mengiyakan bicaranya.

"hah! ye lah… ape die berita baru?…" kali ini cik bibah tampak lebih serious. beg plastik merah yang sarat dengan barangan dapur beserta beberapa ekor ikan tangkas dialih dari tangan kanan ke tangan kirinya. isyarat gerak tubuh menunjukkan minatnya terhadap "laporan harian" dari mak leha.

"alahhhh… pasal si jenab…" clue ringkas. memancing serta membuat cik bibah lebih suspen dan tertanya-tanya.

"si jenab apam tu…" cepat cik bibah menangkap.

"ishhh… si jenab apam pulak dah!!!…" sangkal mak leha.

"habis tu si jenab mane pulak ni…" balas cik bibah dengan wajahnya yang mula berkerut.

"alah… sijenab roket tu la… anak lebai soot tu… yang mengaji kat kolumpo tu…" jelas mak leha. merungkai segala persoalan di benak cik bibah.

"ooo… si jenab roket tu. ape ceritanye?…" ujar cik bibah yang semakin tak keruan menunggu berita hangat terbaru dari mak leha. sementara itu beberapa ekor langau sebesar biji saga mula merapati beg plastik merah yang sarat bergayut di tangan kiri cik bibah. di kibas-kibas sedikit beg plasti merah itu agar langau segara menjauh.

"huh!!! kau tau bibah.. budak jenab tu… baru-baru ni aku ade ke pekan… terserempak aku dengan budak jenab tu… bukan main bibah… dah pandai berkepit dengan jantan!!!…" jelas mak leha bersama ekspressi wajah yang penuh penghayatan.

"kak leha biar betul ni…" sampuk leha. mengharap kepastian dalam pada masa yang sama mula seronok mendengar "laporan" baru mak leha…

"ape pulak tak benarnye cik bibah oiii… mate aku ni hah… tak rabun lagi tau… kalau badan panjang macam roket tu sape lagi kalau bukan si jenab anak lebai soot tu…" padat penjelasan mak leha beserta hujah-hujah yang menyokong kesohehan berita yang dcanangnya.

"iye tak ye jugk ye… kamu kenal ke budak jantan tu…" tanpa pertimbang cik bibah terus membenarkan hujah mak leha.

"entah le… bukan bebudak kampung ni gamaknye… macam mat saleh pun ade jugak aku nengok… hisshhh bibah… bukan main lagi bibah … mesere yang amat aku nampak… dah ngalahkan laki bini dah… aku dengan abang seman pun tak de la mesre macam tu…" tanpa disoal mak leha terus-terusan berbunga dengan canangnya.

"hmmmm… budak-budak zaman sekarang ni kak leha… bukan macam zaman kite mude-mude dulu…" tambah cik bibah menambah seri perbualan mereka.

"itu la bibah… entah-entah bebudah tu dah naik "roket" kot…" dengan nada yang seakan berbisik… diselangi dengan hela tawa yang sinis.

"naik roket??… hihihihih…" balas cik bibah yang seolah faham dengan maksud istilah "naik roket" yang digunakan mak leha.

"hoi leha!!!!!…" satu suara lantang kedengaran memutuskan perbualan mak leha da cik bibah. datang dari sebuah kereta proton saga yang berhenti berhampiran mereka. haji seman suami mak leha berteriak sambil menyuakan kepalanya dari tingkap kereta tersebut. mak leha dancik bibah saling berpandangan…

"berape lame saye nak nunggu kamu ni leha??!! teriak haji seman.

"alahhhh… menyibuk betullah orang tua ni… tak buleh nampak kite ni senang sikit…" bisik mak leha ke telinga cik bibah. cik bidah pula kelihatan serba salah wajahnya.

"kamu tengok atas kepale tu… matehari dah naik terpacak!!! saye ni dah naik melengas menunggu kamu… udah-udah la tu… karang tengah hari si sepul baliok sekolah… lapar… nak makan… yang kamu ni bilenye nak balik masak..? nak diharap si senah tu haram… pagi-pagi ladi die dah merayap… bukan boleh lekat di rumah!!!…" kali ini panjang leter haji seman. geram dengan tingkah isterinya mak leha dan anak daranya senah.

"hah kamu ni bibah… ikan dalam plasti tu dah naik membusuk dihurung langau… pegi la balik… yang kamu dok layan si leha ni apehal… pegi la balik…" kali ni tak cukup dengan isterinya dileter, bibah turut mendapat tempias.

"ye lah.. ye lah… balik dulu la kak leha…" pintas cik bibah yang mula berasap telinganya dek leteran haji seman.

"ye lah… petang karang kita sambung kat tempat biase…" bisik mak leha mengatur appoiment dengan cik bibah untuk penggulungan hujah pada sebelah petang nanti.

"hah!! tu ape yang dibisiknye tu… sudah!!! pegi balik kamu bibah.." tempik haji seman.

"ye lah.. orang balik la ni…" sungut cik bibah sambil melangkah dengan kakinya yang seolah sengaja dihentak-hentak. tanda protes terhadap leteran haji seman.

"yang kamu tercegat tu buat ape lagi leha????…" kali ini haji seman seakan mengeluh.

"huh!!!…" mak limah melangkah dengan muncing lapan incinya. bengang. haji seman hanya mampu menggeleng kepalanya memandang mak leha. wanita yang dikahwini hampir 45 tahun itu.

####################################

di sebuah pasaraya di pekan berhampiran. kelihatan sekumpulan muda mudi yang sedang hangat berpacaran. bermesra-mesraan bersama pasangan masing-masing. wajah yang tidak asing lagi… Zainab binti Soot dengan pasangannya. turut serta, rakan karibnya. yang tak kurang hebat aksinya… faizal bin karimin a.k.a jojoi. mesra dengan pasangannya. Hasnah binti Hj Seman. Senah… anak haji seman… ibunya bernama Saleha Binti Wagimin… hmmmm… dunia… dunia… dunia… aduhai mak leha… aduhai saleha binti wagimin… aduhai saleha!!!

cerita ini hanya rekaan semata-mata. tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia. untuk renungan bersama… mari hayati hadith ini… " Pada malam aku di Isra’kan, aku melalui suatu kaum yang mencakar-cakar muka dengan kuku-kukunya sendiri, maka aku berkata: “Hai Jibril, siapa mereka ini?” Jawab Jibril: “Mereka ini adalah orang-orang yang suka mengumpat orang banyak dan mereka yang suka menjaga tepi kain orang.” hadith riwayat abu daud…

Issued on 2007 02 7

Derap Lantai III

Dan hari ini tiada lagi kedengaran derapan lantai pada rumah yang usang… tiada lagi terdengar geseran kasar pada daun pintu yang senget mencecah lantai.. tidak lagi terhempas jendela pada dinding yang meleding… tiada lagi kerisauan, kebimbangan pada jerlus kaki pada lantai-lantai kayu yang kian mereput… segalanya berubah kini… semuanya berganti sudah… yang hanya adalah cebisan-cebisan reja-reja kayu yang kian lusuh… sengaja di tinggalkan pada satu sudut yang mudah ditangkapi mata… agar selalu direnung.. moga selalu dikenang… betapa reja-reja lusuh ini adalah mercu sebuah perjuangan yang panjang… perjuangan dalam mengisi perut-perut yang kosong… perjuangan dalam mengisi poket-poket yang kosong… serta perjuangan dalam mengisi jiwa-jiwa yang kosong…

Nafasnya dihela panjang… segar udara desa masih lagi sama seperti deretan tahun-tahun yang terdahulu… dilihat dihujung sana, pada hujung garis pandangan adalah saujana pohonan kelapa bali yang kian kemuncak tingginya… kehijauan yang sentiasa membuat jiwa dan raganya sentiasa tenang… sentiasa syukur… sentiasa tafakur…

Kakinya melangkah ke halaman… memijak rumput-rumput hijau yang menghampari halaman… di sinilah satu ketika dahulu… keriangan, keriuhan, kelincahan, anak-anak kecil berkejaran… halaman yang mendidik anak-anak kecil betapa indah keakraban… betapa mulia persahabatan… betapa utuh persaudaraan… segalanya bagaikann terbayang jelas di pandangan… keasyikan anak-anak kecil berkejaran mengejar kapal terbang kertas yang melayang… lantas terukir senyuman di bibir… sambil mata mula mengacu manik-manik berkaca… suatu bayangan yang begitu pesona…

Dibiarkan bayangan itu berkejaran di halaman… langkah dimajukan lagi… kali ini menghampiri tebingan yang mengunjur, menghadap kejiranannya… satu lagi pemandangan saujana yang begitu asyik mempesona… sesekali sepoi angin menderu… membawa sekali aroma petang yang mengasyikkan… sedang mentari turut asyik mencorak warna-warna jingga kemerahan pada dada langit… menderu lagi angin… dan deruan kali ini seolah menyelak kembali halaman ingatannya terhadap kejiranan ini… satu ketika dahulu… di hadapan ini adalah hamparan laterit beradun kerikil merah sebagai jalan penghubung… pabila hujan… akan bisa menghasilkan lelumpur pekat yang mengotorkan sepatu putih anak-anak… dan pabila terik… maka hamparan laterit beradun kerikil merah ini bias menghasilkan debuan serta jerebu merah yang menyesakkan dadanya…

Pada saujana kejiranan ini satu ketika dahulu terdiri dari perumahan yang beratap asbestos… berdindingkan leding dinding…bertiangkan empat kali empat inci persegi beroti… seampuh leding dinding… seteguh empat kali empat inci persegi beroti… sempuh dan seteguh itulah keazaman kejiranan ini mencoret cerita ketamadunan dalam kehidupan… membina empayar dalam perjuangan yang panjang… menjadi survivor dalam kepayahan… biarpun di luar sana telah jauh meninggalkan… namun kuat di hati kejiranan ini untuk tidak menjadi satu umat bangsa yang hanya tahu melihat… tetapi tahu bertindak.. untuk tidak hanya menjadi satu umat bangsa yang hanya tahu meminta-minta… tatapi mahu juga memberi… kami adalah umat bangsa yang masih terlalu muda dalam ketamadunan ini… dan kami mahu belajar dari jalan-jalan yang amat sukar… biar diuji… agar teruji… moga terbukti betapa jiwa-jiwa yang lahir dari kejiranan ini adalah jiwa-jiwa yang diiisi dengan keteguhan…

Ketika mentari dilihat semakin condong… dengan sinarnya yang kian tidak bermaya… kian muram… meninggalkan sisa-sisa jingga yang mula beralah kepada kepekatan malam… kakinya masih dipacakkan pada tebingan ini… menikmati sisa-sisa siangnya yang mula diambil tuhan… menginsafi dirinya… sempatkah untuk bertemu pada siang keesokannya… untuknya kembali lagi berdiri di tebingan ini, menikmati sisa-sisa usia yang kian kepenghujung… untuknya setia menanti kepulangan anak-anak suci di perantauan… dan tidak akan diputuskan segala asa dalam penantian ini… selagi hayat dikandungi badan… selagi berdegup jantung ini.. selagi bermaya tubuh gering ini… penintian penuh kerinduan ini akan tetap diteruskan….

Kerepot dan kasar jemari tua ini diraih… dan serentak itu segera pandangannya dialih ke sisi… baru tersedar yang lamunan serta penantian panjang ini bukanlah sendirian… ditemani isteri yang selamanya setia berbakti… jemari isteri erat digenggaman… bersama merenung mentari yang hilang diusir malam… dan di hujung telinganya kini… sayup-sayup kedengaran kalimah-kalimah suci… suara gemersik azan… memangil sert amenyeru agar segala perjuangan… penantian… kerinduan ini segera dikembali kepada tuhan…. “allahu akhbar… allahu akhbar…”…

derap lantai I, II, dan III… perjuangan ku masih lagi teramat panjang…

Issued on 2007 9 27

Derap Lantai II

Memulakan rutinnya seperti biasa. Seperti suri-suri yang lain. Seawal paginya dihabiskan bagi menyediakan juadah sarap pagi. Alas perut bagi si suami yang keluar bekerja. Penahan lapar bagi anak-anak ke sekolah. Dipandangnya pada meja makan kecil itu. Pada tudung saji yang menutupi saki-baki sarap pagi yang masih bersisa. Pada jag kaca transperan berisi separuh penuh kopi “o” yang barangkali telah beransur sejuk itu. Semuanya tersusun rapi di atas meja kecil itu. Barangkali jika si suami pulang awal, masih ada sesuatu untuk mengalas perunya yang lapar.

Ditinggalkan meja kecil itu. Melangkah terus ke jendela yang masih terkatup rapat. Ditanggalkan selak yang menyengkal daun jendela pada bingkainya. Berhayun daun jendela dengan satu tolakan. Lantas terhempas pada permukaan luar dinding rumah. Menghasilkan bunyi serta gegar yang kurang disenangi. Serentak itu, seawal tolakan tadi, menerjah masuk pancaran mentari yang mulai terik. Menjadikan ruang dapur sempit kini terang benderang. Menyerbukan bersama tiupan angin lembut yang nyaman ke ruangan yang mula terolak dengan bahang mentari. Dari ruangan jendela, dipandangi pada pohon-pohon yang menghijau. Tertangkap juga suara-suara jalak yang riuh berkokok. Dipandangnya pada anak-anak labu yang kian galak menjalar. Dikerlingnya pada pohon-pohon cili yang sarat berbunga. Pada pohon-pohon terung yang mulai berputik. Rimbun-rimbun serai, anak-anak ubi kayu serta keledek., juga pada pepohon jambu air yang melacak berbunga. Segumpal kesyukuran terbit dihatinya. Di atas kurniaan tanah subur ini untuknya menuai rezeki. Selangan hari, bila cukup waktunya, hasil-hasil tanah subur ini bakal dimiliki.

Jendela lebar itu ditinggalkan. Rak-rak kayu yang dipaku kemas pada penjuru dinding dihampiri. Dicapainya periuk yang sederhana saiznya. Pada permukaan periuk itu terdapat beberapa kesan tampalan daripada kepingan aluminium yang bertepek-tepek pada permukaan luar periuk yang kian melegam. Diangkat periuk itu separas wajahnya dan dihalakan pada arah cahaya. Ruangan dalam periuk diintai teliti. Mencari-cari lubang-lubang kecil yang perlu ditampal. Tong kecil dibahagian bawah rak dibuka. Terbit aroma semerbak dari beras di dalamnya. Disukatnya beras tersebut menggunakan tin susu terpakai. Satu… dua… dan setengah… cukup buat hari ini. Mengenangkan pada bawah tudung saji masih terdapat nasi goreng yang masih berbaki. Tak perlu dibazir apa yang ada. Tong kecil ditutup rapat lantas beras dicuci sebersihnya. Ditenggekkan periuk berisi beras pada dapur minyak tanah yang sederhana apinya…

Beberapa ulas bawang putih dikecaikan dari labunya. Bakinya disimpan. Yang lain ditaruh pada satu mangkuk plastik berbentuk sfera berwarna biru serta bercorak bunga kemboja pada sisinya. Begitu juga dengan dua tiga biji bawang merah serta beberapa cekut cili kering. Turut dihimpunkan pada mangkuk yang sama. Akan dijadikan tumis yang hebat buat suami dan anak-anak. Ini yang mampu disediakannya buat masa ini. Di zaman-zaman gawat ini, sementara menanti anak-anak labu yang galak menjalar itu berbuah, pucuknya boleh di celur atau digulai lemak. Begitu juga dengan anak-anak ubi kayu serta ubi keledek. Pucuknya direbus empuk pasti enak jika dilawankan dengan tumis bawang putih bercampur bawang merah beserta gilingan cili kering ini.

Tidak terlintas dibenaknya yang penghidupannya akan berubah sedemikian rupa. Dibesarkan di kota. Permainannya di kota. Pada pusat-pusat meniaga. Panggung-panggung Hindustan. Telinganya kian lali dengan gemersik senandung kumpulan-kumpulan kugiran pada malam-malam pesta. Lali dengan pelat suara-suara apek serta nyonya peniaga kopitiam. Pada hiruk pikuk kota. Pada warna warni neon bersulamkan hela jeritan penumpang-penumpang roller coaster di fun fair-fun fair. Semuanya indah-indah belaka. Yang tiada di sini. Pada tempat ini. Pada rumah yang sedang terolak bahang ini.

Bukannya keluhan. Sekadar lintasan zaman remajanya yang diwarnai suka. Semuanya telah ditinggalkan. Di sini adalah sebuah penghidupan baharu. Yang tegar ditempuhnya berhari-hari. Semuanya kerna cinta. Cinta membawa hijrahnya kemari. Cinta agung telah menutup segala indahnya isi kota dihatinya. Cintanya bersemi di sini. Cintanya mekar berbunga. Biarpun sering terolak udara di ruangan ini. Biarpun kian berderap lantai yang dipijak ini. Cintanya termeteri sudah. Cintanya terzahir pada sebuah pengorbanan yang maha suci. Cinta yang tertaut dari ketelusan hati si suami… tidak terbahagi cinta ini malah kian utuh dengan hadirnya kurniaan Ilahi. anak-anak yang suci. Yang hadirnya mewarnai hidupnya kini. Moga-moga anak-anak suci ini akan membesar sempurna. Biarpun, hari ini hanya berhidangkan tumis bawang putih bercampur bawang merah beserta gilingan cili kering ini.

Issued on 2007 02 25

Derap Lantai

Sehabis daya mengawal langkahnya, namun masih gagal menghalang dari membiarkan lantai yang dipijaknya itu dari terus berderap. Kadangkala terlintas di hatinya akan rasa bimbang kiranya lantai yang diperbuat dari papan yang dibelah nipis itu memecah lantas menjerluskan kakinya ke bawah… Dilangkahi juga… Kali ini dibiarkan yakin menguasai dirinya. Yakin bahawa papan-papan ini akan kekal utuh bagi menampung seisi muatan di dalamnya yang saban hari kian bertambah…

Menarik daun pintu senget yang bucunya jejak pada permukaan lantai. Memaksanya mengerah sedikit tenaganya bagi membuka pintu senget itu. Bunyi geseran kasar terbit pada permukaan lantai yang bercalar ketara. Sambil berkeriuk bunyi engsel pintu ketika pintu mula dingangakan… Melangkah longlai keluar, memasuki ruangan beranda yang tak berdinding ini. Dengan langkah yang sentiasa ditemani derapan serta keriukan. Pandangan kosong dilontarkan sejauh mungkin. Pada bukit-bukit yang menghijau dilitupi pohonan kelapa bali yang kian subur. Pada dada langit yang terbentang kebiruan. Pada kumulus awan yang memutih. Merenung dengan pandangan kosong.

Suara keriangan anak-anak kecil bermain di halaman memintas lamunannya. Riang bermain kapal terbang kertas yang dibikinnya tadi. Baginya tidak sukar bagi menghibur anak-anak ini. Hanya dengan kapal terbang kertas yang dibikinnya dari ketas surat khabar lama, pembungkus barangan runcit yang dihutangnya tempoh hari. Dijadikan mainan buat anak-anak kecil ini. Ralit… Keriangan yang tak terkira. Mengejar kapal terbang kertas yang dipandu angin. Keletah yang melucukan… Mengusik hatinya yang tanpa disedari menjadi penghibur kala harinya. Mendorongnya untuk terus tegar meneruskan penghidupan.

Mencari penjuru beranda yang redup dari pancaran mentari. Sudut yang masih membolehkannya melihat keletah anak-anak yang bermain di halaman… Duduk bersandar pada penjuru ini… Satu lagi derapan yang nyata bunyinya. Kali ini terbit dari permukaan dinding papan yang mula meleding dek panas dan hujannya hari… Tidak dihiraukan… Hanyalah satu kelegaan setelah seharian empat kerat tulang ini dikerah. Diurutnya tumit yang kian berkematu dengan jemari kasarnya. Terasa sengal-sengal pada permukaan yang ditekan. Perasaan lali yang wajib baginya untuk ditahan.Kesakitan yang ditahannya untuk tidak membiarkan anak-anak itu terus terusan bermain kapal terbang kertas dari surat khabar lama pembungkus barangan runcit. Mengharap agar keadaan akan bertambah baik kemudian hari.

Selangan waktu anak-anak ini akan disekolahkan. Dari anak pertama hingga anak yang penghabisan, semua perlu disekolahkan. Dengan harapan ilmu. Bulat percayanya dengan ilmu tidak terwaris kemiskinan ini. Dengan ilmu tidak terwaris keperitan ini. Dengan ilmu tidak terwaris kepayahan ini… Tidak ada apa yang istimewa yang mampu diwariskan kepada anak-anak ini selain ketabahan. Semoga anak-anak ini akan sentiasa tabah sebagai survival yang hebat. Semoga pengorbanan ini berbaloi untuk anak-anak ini. Semoga segalanya bertambah baik dikemudian hari…

Issued on 2006-01-14

Puduraya

Puduraya, 2.30 pm.

Setia bersama kesibukan. Hingga terlalu hingar… Selalu bingar… Kian sempit… Semakin bingit… Namun, untuk Puduraya menjadi muram, menyambut tiap kunjungan… Sama sekali tidak!… Tanpa diundang… Tidak perlu dikompang… Segenap warga kota sentiasa tahu, tempat untuk dituju di kala perlu untuk ke destinasi yang jauh mahupun dekat… Biar dimamah usia… Biar dilewati masa… Makhluk usang ini setia menjadi hamba perantara kepada manusia… Pintu masuk ke fatamorgana yang menjanjikan ribuan temasya pada kota-kota sesat ciptaannya… Juga pintu-pintu kepayahan menuju ke gerbang kemuliaan yang terlindung di sebalik rimbunan pohon cabaran… Mudahnya jika jalan ini berpandu peta keimanan… Berbekalkan ilmu… Bertemankan tekad…

Melangkah ke perut Puduraya… Untuk kesekian kalinya… Bukan lah perkara baru… Bermula dari anak remaja yang baru mengenal apa itu kota… Hingga menjadi seorang yang kian jelek dengan isi-isi kota… Aku berhabisan segalanya di sini… Ratusan ringgit… Ribuan minit… Puluhan lelah… Jutaan desah… Puduraya tetap begini… Bersama dindingnya yang kian disaluti jelaga… Bersama bauan hangit lagi sengit yang datangnya dari corong-corong Transnasional, Sutera, Cepat, Jelita, Tenaga, Maharani dan sebagainya di bawah sana… Bersama ribuan ragam warganya… Hiruk pikuk kenderaan di luar sana… Puduraya tetap begini… Pegun… Sambil redha meniti hari…

Aku lewati gerai-gerai kecil di sudut kanan, tengah serta kiri Puduraya… Setiap sudut ada saja peniaga… Yang sentiasa tersenyum sambil sekali sekala melambai-lambai sambil menyapa dengan mesra sesiapa yang melintasinya… Dengan harapan agar senyuman serta lambaian itu bisa menggamit hati sesiapa saja, agar singgah sambil membawa rezeki… Biar tebal mukanya… Biar kering keringatnya… Namun untuk sesuatu yang memungkinkan lebih dari sesuap nasi… Direlakan saja segalanya… Dari buah-buahan segar yang sedia dipotong, hingga bungkusan-bungkusan kecil makanan yang kurang gizinya… Harapan mereka agar semua yang terhidang ini terjual kesemuanya…

Neng muda penjaga gerai yang satu ini menarik minatku untuk singgah ke gerainya seketika… Tidak banyak pilihan di sini berbanding gerai-gerai yang lain… Mungkin yang menarik perhatian ku adalah muka-muka hadapan tabloid-tabloid serta akhbar-akhbar arus perdana yang beria-ia melaporkan isu-isu yang kononnya sensasi… Di negara ini tiada apa yang lebih sensasi dari kisah-kisah pembunuhan… rogol… cabul… reman… bicara… dan penjara… Format sama yang sering diguna pakai… Kepentingan yang penting… Untuk menjaga keharmonian negara… Belum disentuh yang picisan… Dari foto-foto perempuan-perempuan bersama “buahan” segarnya, hingga kupasan kisah ranjangan yang keterlaluan dijadikan tajuk utama… Mungkin ini lah yang dikatakan pelaris… Ironinya menjurus kepada pembunuhan… rogol… cabul… reman… bicara… penjara… Formatnya sudah tersedia… Cuma perlu diubah jalan cerita serta skripnya sahaja…Aku tinggalkan Neng muda itu bersama tabloid-tabloid, akhbar-akhbar arus perdana, picisan-picisan… serta buahan segarnya…

Sengaja aku ambil sudut ini… Agar jelas pandangan ku bagi melihat perihal warga Puduraya… Puluhan malah ratusan umat kini berada di hadapan ku… Ada yang terlalu tua untuk berada di sini… Dengan tubuh gering yang melengkung serta jalan yang dipimpin… Seorang wanita tua yang dipimpin cucunya… Ada yang terlalu muda untuk tempat yang sesesak ini… Si bayi yang seusia lima ke enam bulan yang dikendung ibunya… Bagi si jelita berkurung jingga itu… Terlalu ayu buat Puduraya yang berdaki serta berjelaga ini… Selangan masa, acapkali si jelita menguliti hujung telekungnya… agar kekal kemasannya… Barangkali setahun dua lagi tidak perlu lagi ke mari… Bila dilamar mungkin Datuk X… Atau Tan Sri Y… Menjanjikan hidup yang lebih sempurna… Hingga tidak perlu berpayahan kemari.

Suhu kian hangat… Leliang roma mula merembeskan peluh yang berlinangan… Langsung suasana kian merengsakan… Aku mula memikirkan warga Puduraya yang hari-harinya dihabiskan di sini… Menyedut udara yang cemar ini… Berlegar di ruangan yang sempit ini… Aku yang tidak sampai seharian di sini, mula merasakan kemualan… Dada kian sempit… Nafas dirasakan berat… Puduraya kian menyiksakan… Namun tidak bagi mereka… Udara cemar yang disedut berhari-hari ini menjadi penyambung nyawa untuk terus menuai laba dari perut Puduraya… Ruangan sempit ini juga menjadi medan mua’malah kepada mereka… Persetan pada rasa mual… Tidak dihirau pada dada sempit… Nafas yang berat sekadar mainan biasa di Puduraya…

Melihatkan warga Puduraya membuatkan aku segera berfikir… Segalanya pantas di sini… Melangkah bagai dikejar dan mengejar… Perlu cepat… Perlu tangkas… Masa bagaikan menghambat… Di benak warga Puduraya adalah kerisauan sekiranya ditinggalkan… Bimbang kerna tiada apa yang menanti kiranya ditinggalkan selain perasaan kehampaan serta kerugian lantaran telah berhabisan segalanya di sini… Ratusan ringgit… Ribuan minit… Puluhan lelah… Jutaan desah… Gara-gara masa… Yang tidak pernah menunggu… Masa juga tidak pernah cemburu… Yang cemburu hanyalah manusia… lantaran tegasnya masa… Yang tidak sesekali membenarkan masa yang berlalu berulang kembali… Tanpa pernah membiarkan masa yang di hadapan untuk diketahui… Untuk mengelak ketinggalan serta kelewatan aku perlu merancang perjalanan ku… Dan kini tiba masanya untuk aku meneruskan perjalananku ke destinasi yang seterusnya… Dan demi masa aku sentiasa bersyukur di atas keberadaan ini… Di tempat yang menjadi pemula segalanya… Puduraya…

Issued on 2006-11-26

1.04 am

12:42 am... mate tak lagi mengantuk... renungan untuk hari ni.. untuk diri sendiri... sedar tak sedar murah rezki aku hari ni... mancing petang tadi penuh satu beg ikan... 3 ekor ikan lampam... "goreng pun sodap!!"... lain2 yg buat beg aku sarat, ikan talapia.. besar2 jugak la.. sampai nak balik tadi aku terpakse dengan berat hatinye melepaskan ikan2 yg tak brape nak besar... okey jugak hobby memancing ni...kalau tak dapat ikan, aku sakit hati.. tapi tak menyusahkan orang lain... pegi kosong, balik sarat!.. tu belum menjala lagi tu...
makan malam... makan free.. free tak jugak free coz dapat gaji nanti "give and take la".. thanks for the invitation to someone that invited me for dinner... syukur... ape plan untuk esok? keje la.. ingat nak bawak separuh (banyaknye separuh, suku la...) dari ikan yg aku pancing tadi ke tempat keje... masak n makan ramai2... since aku makan free mlm tadi.. kan elok, ajak orang lain kongsi perasaan bile makan free tu mcm mane... seronokkan... buat orang lain happy...
anyway buat kawan2 lame yg baru ditemui kembali.. selamat bertemu kembali.. walaupun dalam keadaan maya mcm ni.. relaks2 la dulu.. bagi la aku settle down dulu segala probs hidup aku.. bukan nak menyisihkan diri.. aku pun tak rase yg kome semua menyisihkan aku.. aku okey jer... for those yg masih ingat aku.. thanks a lot... hope u all success (bot not being a sucker) in your (our) life...