2.10.10

Episod 2: Hikayat Seri Anggar

‘’Aduh! Aduhhhh! Aduhhhhh’’

Raungan Sang Jamung mengejutkan mereka yang lalu lalang, termasuk juga peniaga dari khemah berhampiran. Perasaan ingin tahu menyebabkan mereka menghampiri dan mengerumuni Nila dan Sang Jamung. Gigi Sang Jamung terketap rapat sekali sekala, berserta nafas yang mencungap-cungap menahan kesakitan yang bukan kepalang. Peluh sedikit membasahi dahi berkedutnya. Beberapa peniaga mula menyingsing lengan dan cuba mempersoalkan tindakan Nila. Suasana menjadi sedikit tegang memandangkan Sang Jamung masih lagi meraung dan mengaduh kesakitan. Nila mulai cemas lantas melepaskan kaki Sang Jamung. Tangannya diangkat separas dada. Mengharap mereka yang mengerumuninya tidak melakukan apa-apa tindakan.

“Ke tepi! Minggir!” Terdengar suara dari celah-celah kerumunan datang dari Liku dan Taram dua bersaudara, budak suruhan Sang Jamung. Kerumunan dirempuh.

“Tok! Mengapa jadi begini?” Liku segera mendapatkan Sang Jamung.

“Hei Si Gemuk! Memandai-mandai apa ini, hah?!” Taram pula mula bertindak menyoal Nila. Nadanya keras. Penumbuk mula digenggem erat.

“Aaaa... aaa... aku cuba merawat” Terketar-ketar Nila menjawab.

“Orang bodoh seperti kau mahu jadi tok dukun?! Sedang Dukun Alang Supak sendiri menyuruh disapukan minyak, kau pandai-pandai mengurut! Nah, ambil ini! Ganjaran untuk dukun bodoh seperti kau” Darah muda. Penumbuk yang digenggam tadi segera dihayun dan bertubi-tubi disasarkan ke rusuk, perut, serta bahagian badan Nila. Nila sekadar mempertahankan dirinya dengan menahan lengan kanan dan kiri pada bahagian kepalanya. Serangan Taram menyebabkan Nila terpunduk-punduk dan terundur ke tiang khemah. Lantas menyebabkan gegar pada keseluruhan khemah itu. Peniaga yang mengerumuni mereka tidak turut campur atau cuba meleraikan.

“Taram, sudah!” Badan Taram segera diraih saudaranya Liku. Ditolak ketepi. Namun Taram masih liat dengan amukannya ke atas Nila. Mencungap-cungap serta meronta-ronta seperti orang kerasukan. Kali ini barulah beberapa peniaga serta orang yang lalu lalang masuk campur menghalang Taram dari terus memukul Nila. Pergerakan Taram dikunci. Lengan kanan dan kiri dipaut rapat. Salah seorang lelaki yang memaut lengan kiri Taram terpaksa menendang pelipat lutut kirinya bagi merebahkannya. Taram kini dalam keadaan melutut. Amukannya serta rontannya kini mula mengendur meninggalkan cungap serta keringat yang galak membasahi seluruh tubuhnya. Nila pula sudah terjelepuk di tiang khemah.

“Hei Taram, lihat itu. Tok sudah pulih! Benar, Si Gemuk ini pandai merawat” Bisik Liku ke telinga Taram. Taram berhenti meronta. Pernafasannya diatur semula bersama amukan yang kini menghilang. Kunci serta cengkaman peniaga yang memautnya juga mula mengendur. Dan kini Taram dilepaskan dari pautan.

Sang Jamung tidak lagi meraung. Sebaliknya kembali berdiri dan cuba melangkah perlahan-lahan. Sedikit senyuman terukir. Pergelangan kakinya dipusing-pusing. Tiada lagi bunyi berderap-derap seperti ketika dirawat Nila tadi. Kemudian cuba berjingkit sedikit dengan kakinya yang sakit itu. Tiada rasa kesakitan. Sang Jamung mula mundar mandir. Sesekali kakinya diangkat sebelah. Menendang-nendang angin dan berlari-lari anak setempat. Gelagatnya disaksikan kerumunan orang. Kebanyakan saling berpandangan kekaguman. Kemudian mereka semua menghampiri Sang Jamung. Ada juga yang menuju ke arah Nila dan membantunya berdiri.

“Wah. Hebat kau Nila, pandai berubat. Bagaimana Sang Jamung?!” Salah seorang yang membantunya bersuara.

Sang Jamung bergerak ke arah Nila dengan senyuman. Ternyata langkahnya tidak lagi terhincut-hincut seperti ketika mampir tadi. Walaupun tubuhnya sedikit melengkung, agak kurus serta kelihatan telah dimamah usia, Sang Jamung boleh dianggap masih gagah untuk kerja-kerja hariannya pencari hasil-hasil hutan. Cuma kecederaan pada kaki kirinya akibat terseliuh beberapa hari lalu menyebabkan pergerakannya terganggu. Namun pada hari ini, rawatan oleh Nila yang pada mulanya ditolak telah benar-benar menyembuhkan.

“Bagus. Bagus. Bagus sekali” Sambil menepuk-nepuk serta menggoncang-goncang bahu Nila.

“Tak ada apa-apalah. Aku sekadar mencoba-coba” Nila menjawab dengan kerendahan diri.

“Ini bukan sekadar mencoba-coba nak. Kau ada istimewanya. Masakan kau mampu menyembuhkan sekiranya kau sekadar orang biasa-biasa” Sang Jamung menambah pujianya.

“Kau harus bersedia merawat kami semua kelak Nila!”Permintaan salah seorang yang berkumpul di situ.

“Ah. Kalian semua, aku bukan Dukun” Nila cuba mengelak.

“Ya, benar! Nila bisa merawat. Bagus! Hari ini kita menyambut kedatangan dukun yang baharu!” Salah seorang yang mengerumuni mereka berteriak. Teriakan itu bersambut dengan tepukan dari setiap yang hadir. Ketika bunyi tepukan kian mengendur dan menghilang, muncul satu bunyi tepukan yang datang dari arah paling belakang kerumunan itu. Satu tepukan yang yakin dan senada. Menyebabkan hadirin yang berkerumun membahagi kepada dua kumpulan, membentuk seolah-olah lorong yang memberi ruang laluan di tengah-tengahnya.

“Paduka Jagat Raya” Belum pun nama itu habis disebut, segenap yang hadir sudah mula mengambil kedudukan melutut. Termasuk Nila dan Sang Jamung.

“Kita terdengar ada dukun baharu dari khemah ini” Suasana sekadar diam sedang lelaki usia pertengahan bergelar Paduka Jagat Raya memasuki ruang khemah itu. Pakaiannya kemas. Bertatah hiaskan manik-manik berkelipan serta logam-logam yang berkilauan. Kulit wajahnya bersih. Tubuhnya terbina teguh dan tegap. Rambutnya kemas tersisir separas bahu dan kemerah-merahan pada sebahagian hadapannya. Barangkali telah dibubuh inai semalaman. Sambil melangkah penuh yakin dan bercekak pinggang dengan lengan kirinya. Lengan yang kanan dipaut malas pada keris yang tertancap dipinggang. Bebarapa pengikutnya menunggu diluar khemah dengan pakaian yang seragam warnanya. Hitam. Bertanjak dan berselempang merah. Paduka Jagat Raya menghampiri Nila dan berdiri betul-betul di hadapannya.

“Bangun anak muda” Satu arahan jelas kepada Nila. Nila seorang.

Nila memandang Sang Jamung disebelahnya. Perasaan curiga, bimbang serta tidak ketahuan menyelubungi benaknya. Tidak ketahuan apa yang akan dilakukan Paduka Jagat Raya. Sang Jamung disebelahnya membalas pandangan itu dengan angguk. Meyakinkan Nila untuk berdiri. Perlahan-lahan Nila berdiri. Kakinya terasa terketar-ketar. Seolah-olah terdapat bebanan dibahunya ketika itu.

“Kita memerlukan lebih ramai orang seperti kau di Tanah Seri Anggar ini jikalau boleh” Paduka Jagat Raya menyambung. Tangannya diletakkan ke bahu Nila. Nila sekadar tertunduk.

“Tapi sayang, orang-orang seperti kau sukar kita jumpa. Barangkali satu dalam beribu” Paduka Jagat Raya berpaling ke arah kumpulan hadirin yang sedang berlutut. Merenung satu persatu wajah-wajah mereka sambil bercekak pinggang. Kemudian berpaling semula ke arah Nila.

“Kau. Kau akan ikut kita ke istana” Tambahnya lagi.

Kesemua yang berada di situ saling berpandangan. Tidak berkata apa-apa. Nila juga hanya terdiam. Tidak pasti kenyataan Paduka Jagat Raya itu berupa titah, pelawaan atau pun sekadar bicara kosong semata-mata.

“Bagaimana?” Paduka Jagat Raya mula menyoal.

“Bekerja di Istana Seri Anggar kita rasakan satu tuah yang tak akan mungkin dilepaskan oleh sesiapa pun anak muda. Kita kurniakan kau sebidang tanah, kebun, serta beberapa budak suruhan. Mahu? Lumayan bukan?”

Nila masih terdiam membatu. Tertunduk dengan matanya merenung bumi.

“Ampunkan kita mencelah Paduka Jagat Raya” Sang Jamung cuba bersuara memandangkan Nila hanya terdiam seribu bahasa. Dan sebagai orang yang lebih mengenali Nila di kalangan yang ada di situ, wajar buatnya mengatakan sesuatu bagi pihak Nila.

“Silakan pak tua, maafkan kita, siapa gerangan nama anak muda ini?” Sang Jamung dihampiri dan bahunya diraih sebagai tanda diizinkan berdiri.

“Nama kita Sang Jamung. Anak muda ini Nila namanya”

“Oh. Nama kau Nila?” Nila sekadar mengangguk.

“Sang...”

“Jamung... Sang Jamung” Sang Jamung menyambung apabila Paduka Jagat Raya seakan sukar mengingati namanya.

“Sang Jamung, nampaknya anak muda ini tidak memahami tawaran kita”

“Ampunkan kita Paduka Jagat Raya, ampunkan juga anak muda ini. Jikalau benar ini satu tawaran, kita harap belas Paduka Jagat Raya agar diberi sedikit tempoh untuk anak muda ini timbangkan dahulu tawaran itu, wahai tuan yang mulia. Kita kenal anak muda ini sedari kecil lagi. Macam anak kita sendiri. Anak muda ini lurus orangnya. Mungkin belum pandai berbuat kata putus. Biar kita yang pujukkan dahulu. Lagi pun anak muda ini mengambil upah dari Orang Kaya Dharwan menjual hasil-hasil hutan ini semua” Sang Jamung menyusun kata-kata, menawar tawaran bagi pihak Nila yang dalam kebingungan.

“Oh. Orang Kaya Dharwan. Kita kenal benar. Orang Kaya Dharwan ya. Baiklah. Kita senang bertemu kau Nila. Kita beri masa untuk kau memikirkannya. Badik ini kita pinjamkan untuk kau. Pulangkan ke istana pabila kau bersedia kelak. Kelak bila mampir ke istana tunjukkan badik ini kepada pengawal, mereka akan membawa kau kepada kita. Sang Jamung, kita pulang dulu…” Paduka Jagat Raya terus berlalu meninggalkan khemah itu.

*****

Kenanga berlari sepantas mungkin. Sesekali memandang ke belakang. Tiada apa yang mengekorinya. Mujur kayu patah menjadi penyelamat nyawanya tadi. Sebatang kayu reput yang dilempar sekuat hati ke arah belukar berjaya memesongkan perhatian Panglima Zahbur serta konco-konconya. Selepas itu Kenanga berlari sehingga kini dan hanya beberapa langkah dari pintu pasar. Arah yang dituju tidak lain, mendapatkan abangnya Nila. Langkahnya diperlahankan ketika memasuki pintu pasar. Kenanga yakin yang keadaan benar-benar selamat ketika itu memandangkan begitu ramai orang yang lalu lalang di situ. Mustahil Guntang akan membenarkan Panglima Zahbur dan konco-konconya membuat kacau di pasar pada waktu-waktu begini.

Kenanga berhenti berdekatan khemah, kelihatan Nila tidak melayan pelanggan seperti biasa. Sebaliknya jualan dikendalikan oleh Taram. Budak suruhan Sang Jamung. Nila dilihat sedang berbual-bual melayan Sang Jamung. Membincangkan sesuatu yang seakan getir dan tegang. Jarang Kenanga melihat abangnya sebegitu tegang raut wajahnya.

“Nila….” Kenanga bersandar pada tiang khemah. Tenaganya kehabisan ketika berlarian tadi. Wajahnya memucat dan disimbahi peluh. Matanya hampir terpejam. Kemudian rebah longlai. Mujur Taram yang ada berhampiran segera memapah ke dalam khemah. Nila dan Sang Jamung bingkas bangun.

“Air… Air…” Suara Kenanga bagai tersekat di kerongkong. Namun jelas permintaannya.
Taram menyambar berkas buluh berisi air. Kemudian menyerahkannya kepada Nila dan segera meminggir.

“Taram, kau angkat bangku di luar itu ke dalam. Buat alas kakinya Cempaka” Nila mengarah dan tak dibantah oleh Taram. Sang Jamung hanya memerhati dengan perasaan kerisauan melihatkan Kenanga yang kepitaman.

Badan Kenanga direbahkan ke lantai khemah. Bongkah kayu yang dijadikan bangku dialaskan ke bawah kaki Kenanga. Kedudukan kaki dibiarkan sedikit tinggi memudahkan pengaliran darah ke bahagian kepala. Beberapa titis air dititiskan ke bibir kenanga. Kemudian Nila beralih ke bahagian kaki adiknya. Telapak kaki Kenanga diurut-urut dan ditekan-tekan. Terdapat juga sedikit kesan calar balar pada bahagian betis dan lengan Kenangan. Sekadar calar yang tidak mengalirkan darah. Nila tidak mempedulikan kesan calar itu sebaliknya menumpukan kepada rawatannya. Kemampuan Nila mengedalikan rawatan itu menampakkan dirinya seoalah-olah mahir dengan keadaan yang mencemaskan itu. Sang Jamung memerhatikan setiap pergerakan Nila. Dalam kebimbangan melihat keadaan Kenanga, terdetik di hati Sang Jamung akan keistimewaan yang dimiliki Nila. Selama mengenali Nila, rupa-rupanya ada sesuatu yang tidak diketahuinya tentang anak muda yang selama ini dikenali sebagai seorang yang bodoh-bodoh alang atau pun lurus bendul itu.

“Sang Jamung, minta disapukan air ke wajah Kenanga. Barangkali terlalu kepanasan”

“Ya. Baiklah”

“Taram. Kau carikan aku madu lebah di mana-mana. Sedikit pun cukuplah. Lekas!” Nila mengarah Taram sekali lagi dan tidak dibantah sedikit pun.

“Aduh… Aku di mana?” Kenanga mulai sedar dari pitamnya.

“Nila. Kenanga sudah mulai sadar” Kata Sang Jamung.

“Kau di khemah mu nak. Kau pitam tadi” Sambungnya lagi.
Nila menurunkan kaki Kenanga dan disimpuhkan ke lantai. Badan adiknya itu ternyata masih lemah ketika Nila cuba menarik badannya ke kedudukan duduk. Sang Jamung meminggir sedikit memberi ruang kepada Nila bersila dibelakang Kenanga. Bahu serta tengkuk adiknya itu ditepuk-tepuk berkali-kali. Sesekali diurut pada tengkuk ke kepala kenanga. Sang Jamung memandang perlakuan Nila itu dengan senyuman kagum.

“Kau pandai mengobat Nila. Kau memang pandai” Puji Sang Jamung. Nila terus menumpukan pada rawatannya.

“Hish. Ke mana saja Si Taram ini?” Sang Jamung mencari-cari Taram .

“Hah. Itu pun dia” Apabila melihat Taram berlari-larian ke khemah dengan membawa madu yang di isi di dalam bekas tempurung.

“Ini dia madunya Nila” Taram tercungap-cungap.

Nila mengambil madu lebah tersebut dan segera dibancuh dengan air dari berkas buluhnya. Kenanga diberi minum minuman bercampur madu itu. Perlahan-lahan dibantu Abangnya Nila. Sisa dari minuman itu pula disapukan pada calar balar pada betis serta lengan Kenanga.

Sejak dari dulu lagi madu lebah telah dijadikan sebagai bahan minuman untuk kesihatan. Selain minuman yang mampu memulihkan tenaga, pengamalan madu lebah yang berterusan dapat mencegah pelbagai penyakit antaranya batuk-batuk, lelah, alahan, sakit-sakit sendi, gejala kesukaran tidur malam dan pelbagai lagi penyakit. Sifat madu yang memanaskan juga dikatakan mampu melancarkan peredaran darah serta melancarkan kitaran haid bagi kaum hawa. Bagi kaum hawa juga, madu sesuai untuk kecantikan dan menjadikan kulit lebih licin dan halus di samping digunakan sebagai mengubati luka-luka. Madu lebah juga dikatakan mampu mempertingkatkan tenaga syahwat atau tenaga batin untuk mereka yang sudah berkahwin. Di kalangan masyarakat di Tanah Seri Anggar madu asli dari lebah tualang atau pohon tualang menjadi buruan untuk dipasarkan. Bagi pemburu-pemburu lebah tualang ini mereka sanggup meredah jauh ke dalam dasar rimba bagi menjejak pohon-pohon tualang yang biasanya hanya boleh ditemui di tengah-tengah rimba. Pengambilan atau penuaian madu lebah juga memerlukan kepakaran dan keberanian yang tinggi, disamping pemburu haruslah sentiasa bersedia menahan sengatan serangga kecil ini. Lebah.

“Bagaimana Kenanga?” Soal Nila. Nafas lega terhambur melihatkan adiknya yang semakin pulih.

“Baik. Tapi kepala ku masih pusing” Jawab Kenanga. Seraya itu berkas berisi air dituang Nila ke tangannya lantas terus disapu ke bahagian ubun-ubun Kenanga.

“Sebentar lagi kebahlah ia. Mudah-mudahan” Tambah Nila. Perlakuan dua beradik itu diperhatikan dengan penuh rasa keharuan oleh Sang Jamung. Kasih sayang Nila terhadap adiknya itu nyata tiada tolok bandingnya.

“Bertuah kau Kenanga, punyai abang seperti Nila” Sang Jamung terus-terusan memuji Nila.

“Ah. Tidur saya. Selalu kesiangan saja. Kuat makan. Lagi-lagi kalau berjumpa makan. Pasal itu badannya gedempol” Dengan suara yang sedikit tersekat-sekat, Kenanga yang kian segar mula mengusik abangnya lantas disambut hela tawa oleh Sang Jamung. Taram yang turut berada di situ sekadar menahan geli hatinya. Nila hanya mencebikkan bibirnya tanpa berkata apa-apa.

“Ke mana kamu? Gini hari baru tiba?” Soal Nila sedikit tegas nadanya.

Wajah Kenanga berubah cemas. Ingatannya kepada perbualan Guntang dengan Panglima Zahbur serta kejadian serangan terhadapnya silih berganti. Pitam yang sekejapan tadi sekadar meredakan sedikit perasaan cemasnya buat seketika. Soalan Nila seolah-olah menyedarkan kotak ingatan Kenanga terhadap kecemasan yang bakal dilalui oleh dirinya, NIla, Sang Jamung, Taram, Liku serta segenap isi Tanah Seri Anggar.

***

Azzib dan Yinna memandang dari kejauhan. Berteduh dibalik pucuk pohon tempinis. Mata mereka tajam menikam pandangan pada kesibukan pasar. Telinga mereka yang tirus dihujung serta capang kemerahan sesekali bergerak-gerak menangkap segenap perbualan yang terbit dari pasar itu. Namun disebalik segenap perbualan dan keriuhan itu, pendengaran dan renungan mereka hanya tertumpu pada satu sudut. Dari kejauhan, bagi seorang manusia biasa, antara jelas dan tidak, hanyalah mampu memandang perlakuan sahaja. Namun bagi Azzib dan Yinna, bukan sahaja mampu melihat dengan jelas malah mampu mendengar.

“Mereka diancam kesusahan”

“Ya, aku dengar itu Yinna. Aku jelas niatmu. Tapi kita tak perlu turut campur urusan mereka”

“Mereka diancam kesusahan” Sekali lagi kenyataan yang sama diulang.

“Biarkan. Jangan campuri urusan mereka. Inilah kehidupan mereka Yinna. Yang kuat cuba mengatasi yang lemah. Merampas sesuka hati. Makhluk jahat dan tak tahu berterima kasih!”

“Kita penjarakan yang jahat-jahat itu. Biarkan yang baik-baik itu lepas bebas”

“Tidak!” Balas Azzib dengan tegasnya.

“Hmmmm. Apa kata sekali ini kita berdua menolong mereka?” Yinna seolah merayu kali ini.

“Sekali ini terlalu berbahaya”

“Kau takut?”

“Terlalu berbahaya. Lihat sahaja musuh-musuhnya. Aku bukan takut. Tetapi untuk apa kita harus mengancam nyawa sendiri buat mereka yang bukan dari suku kita”

“Bukankah selama ini…”

“Dan bukan untuk sekali ini. Sudah! Ayuh pulang, sudah kelewatan untuk santapan tengah hari”

Azzib melompat dari satu dahan-ke satu dahan. Setiap lompatan hanya dikerling Yinna pada ekor matanya. Azzib tidak menyetujuinya. Perasaan geram dan bengang menyelubungi fikiran. Yinna berpalling semula ke arah pasar. Kemudian duduk menjuntai kaki pada dahan tempelai. Pendengaran dan renungan kembali memusat kepada perbualan Kenanga, Nila dan Sang Jamung. Yinna mendengar dengan penuh teliti setiap butir percakapan. Sesekali angin menghembus menyelak helaian dedaun tempelai, lantas menembuskan cahaya mentari pada bahagian yang redup. Pancaran itu mengenai wajah Yinna. Namun terus menembusi wajahnya. Bahagian yang terkena cahaya itu lantas bertukar menjadi lutsinar. Sekali lagi angin berhembus. Dengan kadar yang lebih kuat. Kali ini menguakkan lebih banyak ruangan pada dedaun tempelai untuk dimasuki cahaya. Cahaya itu singgah pada lengannya. Serantak itu, bahagian yang disinggahi cahaya itu menghilang. Lantas muncul kembali apabila daun tempelai kembali pada kedudukan asal.

Yinna menginjak beberapa langkah. Kebahagian paling hujung dahan. Bahagian yang disimbahi cahaya. Terus seluruh tubuhnya hilang menjadi lut cahaya apabila memasuki ruangan itu. Kemudian Yinna mengundur selangkah kebelakang. Memasuki ruangan yang redup. Serentak itu tubuhnya muncul kembali. Sedikit senyuman nipis terbit pada bibir yang kemerahan. Dan dibalik bibir itu terlihat deretan gigi yang memutih yang dilengkapkan dengan pasangan taring yang sedikit meruncing. Tangannya dihulur ke arah cahaya. Separas pelipat sikunya. Lengan yang dilitupi reroma kasar segera menghilang. Tangannya ditarik dan dihulur kembali. Yinna mengulangi perbuatan itu beberapa kali perlahan-lahan. Apabila perasaan bosan mula dirasakan, Yinna sekadar berdiri tegak terpacak di atas dahan. Matanya dipejamkan. Beberapa ketika kemudian Yinna menghilangkan seluruh tubuhnya. Kali ini tanpa perlu di simbahi cahaya. Seluruh pohon tempelai itu bagaikan kosong tanpa dikunjungi sesiapa selain bunyi-bunyi ungas, desir-desir angin pada dedaun serta beberapa kicauan burung yang bersarang di atas dahan pohon itu. Yinna memunculkan semula dirinya. Berdiri terpacak seperti mula-mula tadi. Kedua telapak tanyannya diangkat separas dada dan direnung. Ada sesuatu yang melingkar difikirannya.

“Mengapa aku diciptakan begini?” Hatinya berbisik.

“…Tetapi untuk apa kita harus mengancam nyawa sendiri buat mereka yang bukan dari suku kita” Suara Azzib berleger-legar diruangan mindanya.

“Bukan dari suku kita” Suara itu datang lagi.

“Bukan dari suku kita” Lagi.

“Bukan dari suku kita” Dan lagi.

“Bukan dari suku kita” Pernyataan terakhir Azzib berlegar diruang mindanya. Suara-suara itu datang dan pergi dari segenap arah.

“Tidak. Aku harus menolong mereka!” Tangannya menekup kedua belah telinga. Jiwanya memberontak. Kecenderungan nalurinya terlalu kuat untuk membantu Nila serta penduduk Tanah Seri Anggar. Namun tegahan Azzib ternyata terlalu kuat menghalangnya.

“Lupakan niat mu Yinna” Suara Azzib datang lagi. Kali ini dalam keadaan yang lebih nyata dan bukan sekadar mainan fikiran. Azzib berbicara secara ghaib dari kejauhan.

“Jangan campuri urusan ku Azzib!”

“Mereka semua sudah cukup dewasa untuk menghadapi segala cobaan. Mereka tidak akan memerlukan pertolongan mu Yinna”

“Ahh! Setidak-tidaknya bukankah menolong itu perkara murni!?”

"Benar kau mahu campuri mereka? Pergi! Jelmakan diri mu dihadapan mereka. Tika itu kau akan tahu bagaimana penerimaan mereka. Kelak jangan kau kesali. Jika kau mampu buktikan suku kita diterima mereka, kau bisa teruskan. Namun, jika mereka berlarian tatkala melihat mu, lebih baik kau pulang saja. Atau pergi bersembunyi di mana-mana. Kala itu, aku bersama-sama yang lain akan mentertawakan mu. hahahaha” Satu kenyataan berupa sindirian dari Azzib.

“Diam!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!” Yinna bertempik. Tempikan itu seolah keluar dari lingkungan alamnya. Keluar dari keghaiban ke alam yang nyata lalu menghasilkan bunyi guruh yang maha kuat.

Bersambung...

3 comments:

  1. bagus-bagus. Awak kalau awak masuk blog penulisan,antarr cerpen kat sana, mesti lagi best. Meletup.

    Latest Entri :
    Pertandingan Pantun Paling Menarik

    ReplyDelete