24.9.10

Ini Jalan Ku (Terbit Kembali Bersama Komentar)

Hari ini jalan ini. Aku rasakan jalan yang ku dipilih ini kian berliku. Jika dikenangkan pada saat awal memulakan perjalanan satu ketika dahulu. Aku bisa saja untuk tidak memilih jalan ini. Ada jalan yang lebih mudah. Ada pintu-pintu belakang serta jalan-jalan pintas yang boleh dilalui. Tetapi tidak! Aku memilih untuk melalui jalan ini.

Bodohkah aku?! Memilih untuk merentas laluan sukar ini. Laluan yang sarat dengan onak-onak yang perlu ku pancang ini. Memilih untuk menepis sial-sial yang datang entah dari mana arahnya. Memijak duri-duri tajam yang menusuk tembus pada telapak ini. Mendengar bisik-bisik iblis yang merayu rintih. Bodohkah aku?!

Pernah satu ketika, ketika berada dijalan ini, aku terfikir untuk berpatah balik. Ke arah pintu-pintu belakang, jalan-jalan pintas yang ada. Sinisku pada diri ku "akan akan menjadi lebih bodoh, malah lebih dungu sekiranya itu jalan ku". Hmmmm. Bodohkah aku tentang itu.

Diam di sini seketika, memikirkan kebodohan ini. Merenung jauh perjalananku. Yang lepas mahupun di depanku. Di tempat diam ini, ku cabut duri-duri tajam yang menusuk telapakku. Ku baluti luka-luka yang ada. Ku ambil golok ini dan ku tajamkan. Ku teguk air di aliran ini menghapus dahaga yang memerah isi kerongkongku. Ku petik buah-buah ranum ini buat alas perutku. Dan ku selak halaman kitab suci ini buat panduanku. Semoga dengan bacaan ini terlindung aku dari sial-sial yang datang dari segenap arah. Semoga terlindung aku dari bisikan iblis yang merayu rintih.

Aku kembali berdiri. Menguatkan kekudaku. Menggenggam erat golok tajam ini. menggalas erat bekalanku. Merenung onak-onak yang merimbun itu. Ku pejamkan mataku bersama tarikan nafas yang dalam. Mengumpul segenap kudrat dan keazaman sambil terbetik dihatiku. "Ini caraku!!!. Cara yang telah ku pilih!" Ku mulakan semula langkahku. Dengan lafaz bismillah.

No comments:

Post a Comment