22.8.10

Episod 1: Hikayat Seri Anggar

Hutan Seri Kunja…

Ia merupakan perjalanan yang meletihkan. Sejak bepergian sehari yang lalu, Nila dan Arka belum menemui sebarang perkampungan untuk disinggahi. Langkah meraka hanya berpandukan denai-denai serta kesan-kesan laluan yang terbentuk sama ada dari hakisan air mahupun kesan pijakan haiwan atau manusia yang pernah melalui kawasan itu. Sesekali apabila laluan terputus dek belukar, mereka sekadar mencantas halangan dengan parang yang tertancap kemas di pinggang masing-masing. Laluan yang sukar dan berbahaya sebolehnya dielakkan. Pendakian seboleh-boleh dikurangkan. Tenaga perlu dijimatkan. Maka kerana itu, mereka berdua memilih untuk melalui denai-denai serta menyusuri kaki-kaki bukit. Kedua-duanya seakan pasti segenap cabaran serta dugaan yang bakal ditempuhi.

‘’Arka, aku dahaga’’

‘’Kita istirehat dahulu. Nah! Tapi jimatkan air selagi belum berjumpa anak sungai’’ berkas air yang diperbuat dari buluh dihulur. Nila menyambutnya sambil mengangguk-angguk arahan Arka. Dia sedar yang perjalanan ini di ketuai Arka. ‘’Arka si pemegang amanat yang besar’’. Itulah gelaran yang sering didengarnya dan tugasnya dalam perjalanan ini hanyalah sebagai pelindung, peneman serta penunjuk jalan kepada Arka. Beberapa teguk air diminum dan diakhiri dengan desahan puas setelah kering kerongkongnya dibasahi air.

Arka duduk bersandar pada sebatang pokok. Sesekali mengesat peluh yang membasahi dahi serta lehernya dengan kain pengikat kepala. Nila sekadar memerhati melalui hujung pandanganya. Sepanjang perjalanan yang menjangkau usia seharian ini, Arka padanya tidak banyak bicara. Raut wajah teman jalananya tampak keruh walaupun jelas cerah kulit wajahnya. Umpama menahan sebeban bebanan di pudaknya yang sebegitu berat. Setiap kali tiba masanya beristirehat, Arka memilih untuk sedikit mengasingkan diri dari Nila. Dan kali ini Nila memberanikan diri untuk mendekati temannya itu.

‘’Kau tak mahu minum Arka?’’ bekas buluh dihulur. Tetapi tidak disambut Arka.

‘’Kau banyak bermenung’’

‘’Hmmm’’ Arka sekadar mengeluh.

‘’Dan mengeluh juga’’ Sambung Nila.

Nila mengambil tempat seberapa langkah dari Arka. Kemudian duduk di tempat yang sedikit membusut yang bisa menampung tubuhnya yang sedikit berisi. Sesekali nafasnya seakan mencungap. Peluh di dahi dikesat dengan lengan bajunya. Arka sekadar mengalihkan pandangannya dari Nila, sedang Nila mencuba-cuba untuk mengajaknya berbicara. Mereka sekadar berdiam.

‘’Bagaimana seandainya kita gagal menemui mereka?’’ Nila memberanikan diri. Dihujung nada, terdengar keduan seolah-seolah menelan sesuatu dikerongkong.

‘’Selagi itu berpihak ke Tanah Seri Anggar adalah haram buat kita!’’

‘’Mmm.... maksud mu?’’ soal Nila kebodoh-bodohan.

‘’Hmmm… Berbicara kepada lembu adalah lebih baik dari bercara kepada kau Nila!’’ sekali lagi Nila menelan kedunya.

‘’Bukankah lebih elok jika kau diam dan tidak banyak bersoal!’’

‘’Ingat tugas mu Nila! Pabila selesai urusan mu meneman kita, kau bisa pergi menentukan nasib mu. Jagai keselamatan mu adalah lebih baik!’’ bicara Arka yang membentak-bentak membuatkan Nila terpunduk-punduk. Kemudian Nila bangkit perlahan dari duduknya seraya meninggalkan Arka. Langkahnya perlahan. Jalannya tertunduk. Nila berkecil hati. Niatnya yang sekadar bertanya dan mengajak berbual, disambut dengan herdik dari Arka. Sememangnya Nila bodoh-bodoh alang sikapnya. Lurus serta sekadar mengikut perintah yang diberi. Namun sebagai manusia biasa, apabila dilayan dengan kasar, Nila berkecil hati.

Arka memandang Nila yang menghilang di balik pohon. Nafasnya sebal. Nyata tindakan Nila yang pergi menambah galau hatinya. ‘’Aahhhh!! Apa yang telah aku lakukan?’’ rungut hatinya. Baru tersedar yang tindakannya tadi telah melampaui norma sebagai manusia biasa. Kegalauan hatinya telah mendorong tindakan yang tiada disedari. Jemarinya meraut wajahnya. Sesekali memicit-micit hujung kening serta meraut rambutnya. Tertunduk kesal. Nila menjadi mangsanya. Kini menghilangkan diri entah ke mana.

Tanah Seri Anggar… Seberapa ketika dahulu.

Tanah Seri Anggar merupakan sebuah daerah yang terpencil. Kewujudan daerah ini adalah dari gabungan kampung-kampung perbukitan yang dibina oleh masyarakat di situ. Kegiatan harian masyarakat di Tanah Seri Anggar tidak lah lari dari bertani, berternak, berburu, dan mengumpul hasil hutan. Menurut amalan dalam tradisi, wanita yang lebih berusia lebih meminati kegiatan bercucuk tanam manakala kelompok wanita muda mulai tertarik untuk beternak. Dibandingkan generasi yang lebih muda, kelompok masyarakat berusia tua lebih terfokus pada tumbuhan liar. Kelompok pria, baik tua maupun muda, lebih suka berburu untuk memperoleh keperluan daging.

Padi perbukitan menjadi makanan asasi mereka. Berlaukkan hasil buruan hutan serta bersayurkan hasil tumbuhan yang bisa diperoleh secara percuma dari hutan. Hasil-hasil hutan lain seperti kayu gaharu, rotan, damar, bertam, rumbia, mengkuang, sepang, merbau, buah-buah tampoi, manggis hutan dan sebagainya kebiasaannya akan dikumpulkan dan dijadikan barang dagangan. Sepurnama sekali jaraknya, peraih-peraih akan datang bagi membawa barang-barang tukaran seperti pakaian, kain, benang, peralatan logam, tembikar, perhiasan dan sebagainya. Lontaran dari kegiatan ini, terbinalah sebuah pasar kecil tempat masyarakat Tanah Seri Anggar dan peraih-peraih ini berurus niaga.

Di sebuah dataran lapang yang dipagari kayu-kayu yang pasak rapat, khemah-khemah bertiangkan batang-batang tembesu, buluh, rotan serta kayu-kayu hutan dibina. Beratapkan rumbia, bertam dan nipah. Ada juga yang sekadar bertutupkan kain-kain guni bagi melindungi dari terik mentari pagi. Khemah-khemah selebar dan panjangnya dalam tiga ke empat depa orang dewasa itu sememangnya telah lama dibina. Masing-masing dibina bertentangan dalam jarak 10 kaki bagi membolehkan laluan ditengah-tengah khemah tersebut. Terdapat puluhan khemah kesemuanya. Dan kesemuanya mempamerkan hasil-hasil hutan. Hasil ternak. Serta hasil perburuan yang dihimpunkan untuk ditukarkan dengan barang-barang yang dibawa peraih dari luar daerah.

Kira-kira matahari tingginya segalah dari ufuk timur, urus niaga bakal bermula. Nila bersegara memunggah hasil-hasil hutan yang dipungutnya. Akar-akar kayu seperti akar tongkat ali, selusuh fatimah, mempisang, dan medang diletakkan pada sudut yang paling hadapan. Hasil-hasil hutan ini lah yang sering diburu oleh peraih-peraih. Pasarannya di luar amat memberangsangkan. Kebanyakan daripada tumbuh-tumbuhan hutan mengandungi nilai-Nilai perubatan terutamanya dari bahagian-bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi. Pemakaian bahan ubat yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan berbeza mengikut sifat penyakit yang diubati. Biasanya ia dapat mengubati penyakit yang akan membawa kepada maut seperti penyakit kuning. Misalnya, masyarakat di Tanah Seri Anggar percaya dengan meminum air rebusan Tongkat Ali, sebagai sejenis tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas bersalin. Mereka turut menggunakan bahagian kulit akar Tongkat Ahli bagi mengubati demam cacar manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka atau bisul serta bagi meredakan deman. Bagi tumbuhan herba ini tukarannya turut lumayan. Kadang kala sutera, kain kapas, peralatan logam seperti parang, periuk belanga, alat-alat pengacip, persalinan dan sebagainya.

Setelah kerja-kerjanya selesai, Nila duduk bersenang-senang di luar khemahnya. Batang pohon yang dikerat rata berbentuk silinder dijadikan bangku. Sengaja diletakkan diluar khemah untuk berehat-rehat. Keringatnya merembes galak sehingga membasahkan bajunya. Beberapa teguk air diminum. Matanya ligat melihat-lihat lalu lalang yang sibuk. Kedapatan kanak-kanak yang asyik berlari-larian mencelah-celah di balik khemah. Larian yang mencetus debu-debu pasir yang berterbangan. Ketika berlarian, ada yang terlanggar peniaga-peniaga yang sibuk bekerja. Mana-mana yang sempat dicapai oleh orang tuanya, pasti akan dipiat di telinga. Diberi amarah agar tidak nakal-nakal. Nila hanya memandang tanpa sebarang reaksi. Setiap sudut pasar kesibukan dan keriuhan kian bermula. Masing-masing sarat dengan hasil tuaian hutan yang bakal diniagakan. Beberapa peniaga yang dikenali menegurnya. Nila sekadar angguk-angguk sahaja. Senyumannya sedikit ketat. Mungkin kerna masih kepenatan. Beberapa teguk air lagi diteguknya.

‘’Nila, sudah siap nak?’’ seorang lelaki bersama dua orang budak suruhan menegur bersahaja. Tubuhnya sedikit melengkung. Agak kurus serta kelihatan telah dimamah usia. Langkah kaki lelaki itu hincut-hincut ketika memasuki khemahnya. Bungkusan diletakkan ke atas para. Ketika menampung berat bungkusan, tatkala meletakkan ke atas para, sedikit kerut terpancar. Mungkin terasa sengal pada bahagian-bahagian tubuh dek kerana berat barang yang dikendong. Kini giliran dua budak suruhannya melakukan kerja. Lelaki berusia itu meminggir sedikit memberi laluan. Beberapa bungkusan guni sebesar pemeluk dipunggah. Kesemuanya sarat berisi muatan.

‘’Sudah Sang Jamung, aku mampir awal.’’ jawab Nila. Lehernya didongak-dongakkan. Malas untuk berdiri, tetapi matanya diintai-intaikan ke khemah lelaki yang dipanggilnya Sang Jamung itu.

‘’Bersorangan?’’

‘’Ya. Lagi kesiangan Si Kenanga itu’’ keluh Nila.

‘’hahahaha.. kasihan..’’

‘’Kenanga.. Kenanga.. adik kau itu selalu curi tulang sahaja. Hahaha’’ hela tawa Sang Jamung tidak bersambut oleh Nila mahupun dua budak suruhannya yang gigih menyusun barang dagangan. Ketawa Sang Jamung hanyalah untuk mengusik-ngusik Nila yang bersorangan tanpa dibantu adiknya Kenanga pada pagi itu.

Nila ralit memandang-mandang suasana pasar. Urus niaga belum bermula. Peraih-peraih serta pedagang-pedagang masih belum tiba. Barang segalah lagi tingginya mentari, baharulah peraih-peraih dari luar daerah akan tiba. Perjalanan ke Tanah Seri Anggar amat jauh dari daerah-daeah lain. Perjalanan memakan masa berhari-hari dan perlu mendaki beberapa perbukitan, meranduk anak-anak sungai serta belukar-belukar yang begitu sulit. Namun dek kerana hasil yang begitu menguntungkan, peraih-peraih ini sanggup mengharungi perjalanan yang jauh ini.

‘’Hah! Menungkan apa?’’ Sang Jamung telah keluar dari khemahnya dan menghampiri Nila. Beberapa biji sentul dan manggis dihulur. Nila tidak menolakknya. Kemudian diletakkan ke sisi. Sebiji manggis dikupas lantas dijamah tanpa rasa malu. Sang Jamung duduk di sebelahnya tanpa dipelawa. Tampak kedua-duanya sudah saling mengenali dan berbiasa-biasa antara mereka.

Tidak seperti Nila yang mengumpul herba serta akar-akar kayu untuk diniagakan, Sang Jamung mengumpul bijian, daun-daun serta buah-buahan hutan. Antaranya petai, jering, cemperai, daun-daun asam gelugor, manggis, sentul, tampoi, langsat, jambu, serta enau yang turut dikenali sebagai kabong, sejenis palma besar yang hidup di pinggir hutan yang dapat dijadikan sumber gula. Hasilnya tidaklah menentu lantaran buah-buahan ini antaranya bermusim.

‘’Banyak hasilnya Sang Jamung?’’

‘’Boleh lah. Mujur ada Liku dan Taram. Aku sudah tidak berdaya’’ Kepala lututnya diurut-urut. Sedikit kerut terpancar pada wajahnya yang berkedut.

‘’Mengapa dengan kakinya?’’

‘’Terseliuh’’ ringkas Sang Jamung menjawab.

‘’Mari aku tengok kan’’ Nila menawarkan khidmat.

‘’Tak mengapalah, sudah ku sapu minyak. Esok lusa barangkali kebahlah ia’’

Nila terus memeriksan kaki Sang Jamung tanpa mempedulikan tegahannya.

‘’Uratnya mulai bengkak. Sudah beralih. Sudah dimasuki angin. Mujur tidak kepatahan’’ kata Nila.

‘’Angin apa? Angin perut. Hahahahah’’

‘’Aduh! Aduhhhh! Aduhhhhh’’

Tatkala tawa Sang Jamung bersisa, ketika itulah Nila mencengkam kepala lututnya. Sebelah tangannya lagi mencengkam telapak kaki Sang Jamung. Kemudian tangan yang mencengkam kepala lutut itu dilurutkan ke bawah. Mencengkam melalui cantuman otot-otot dan tulang keting Sang Jamung. Getus-getus kecil terdengar dari lurutan itu. Pergelangan kaki Jamung dipusing-pusingkan. Ketika itu berderap-derap seolah-olah bunyi tulang yang berlaga-laga. Dan diakhirkan dengan satu sentapan pantas pada pergelangan kaki jamung. Prakkkk!!! Jamung meraung lagi. ‘’aduhhhhhhhhh!!’’

**********************

Kenanga dalam perjalanan ke pasar setelah selesai pekerjaannya di rumah seperti mengemas, menyapu, mencuci pakaian serta menanak nasi. Ketika berpergian ke sungai untuk mencuci pakaian seawal pagi tadi, Nila abangnya masih belum bangkit dari tidur. Abangnya itu dibiarkan terbuntang ditempat tidurnya. Sengaja tidak digerakkan Nila kerna terlalu awal. Nila pasti keletihan setelah sekian minggu yang lalu, sering sahaja pulang ketika waktu-waktu rembang dan kadang kala malam. Gigih mengumpul hasil-hasil hutan untuk diniagakan. Ketika pulang, pasti sarat bersama akar-akar kayu serta hasil-hasil hutan yang lain. Kadang kala, sekiranya bermurah rezeki dari hutan, Nila akan pulang bersama ikan-ikan sungai, ayam-ayam hutan, napuh serta pelanduk yang memasuki jebaknya. Dan ketika itulah mereka akan makan bermewah-mewah sedikit. Jika tidak, makan mereka cukup berlauk ikan-ikan kering mahupun salai serta sayur-sayur yang dipetik disekitar halaman. Paling tidak pun cukup dengan ubi yang direbus mahupun yang dibakar empuk.

Tatkala Kenanga pulang dari mencuci pakaian tadi, Nila sudah pun bangkit meninggalkan perbaringannya. Pasti Nila telah bergegas ke pasar bagi membuat persiapan meniaga. Apabila Kenanga tiba di pasar kelak, dia pasti akan dimarahi Nila kerana menyangkanya tidur hingga kesiangan. Segalanya telah tergambar di fikiran. Sekuntum senyuman terukir di bibir Kenanga mengenangkan abang kandungnya Nila yang lurus serta bodoh-bodoh alang. Badannya sahaja yang besar tetapi lemah dalam berfikir. Namun kerjanya bagus. Rajin. Serta pandai menjebak haiwan di hutan. Itulah yang menyambung keterusan kehidupan mereka berdua selain mengambil upah mengumpul dan menjual hasil hutan. Kedua ibu dan bapa mereka sudah tiada. Si ibu meninggal dunia beberapa tahun yang lalu akibat wabak penyakit manakala si ayah terlebih dahulu. Ketika kedua-dua mereka masih kecil. Hilang di hutan ketika mencari akar-akar kayu. Ada yang mengatakan yang si ayah mati di baham haiwan buas di hutan. Ada juga yang mengatakan yang si ayah hilang disembunyikan semangat hutan. Segala-gala cerita telah lama berlalu.

Kenanga melepasi beberapa deret rumah tetangga yang dibina berhampiran rumahnya. Ternyata pada waktu-waktu begini kebanyakkan penghuni tiada di rumah. Jikalau ada pun hanyalah kaum-kaun tua serta ibu-ibu yang menjaga anak-anak kecil. Selebihnya akan ke sawah perbukitan, dusun, ke hutan memungut hasil, berburu juga beternak. Bagi kanak-kanak pula, terutama yang laki-laki biasanya akan turut ke hutan mempelajari selok belok meneroka hutan serta belajar mewarisi ilmu-ilmu hutan seperti yang diwarisi oleh yang dewasa. Bagi yang belum cukup umurnya dibiarkan di rumah meneman ibu bersama anak-anak perempuan yang masih kecil. Ada juga yang bermain-main dihalaman serta bermandi-mandian di sungai. Namun, dalam sepurnama genap garaknya terdapat satu hari yang mana kebanyakan masyarakat di Tanah Seri Anggar akan meninggalkan rutin-rutin harian mereka. Itulah yang berlaku pada hari ini.

Kenanga melalui denai-denai kecil yang biasa dilaluinya untuk ke pasar. Kian menghampiri tempat yang ditujui. Hanya sebuah bukit kecil yang memisahkan jaraknya dengan pasar. Namun langkahnya terhenti apabila tertangkap suara-suara dari celah-celah belukar. Diamat-amati arah suara itu datang. Serta diamat-amati butir-butir suara itu. Tak lain dari derap ranting yang dipijak serta suara-suara perbualan orang. Diamat-amatinya lagi. Satu kumpulan yang besar. Melebihi dua atau tiga orang kesemuanya. Namun antara pasti atau tidak kerana berdasarkan pengamatan sahaja. Kenanga meninggalkan tempat terhenti langkahnya. Masuk menyelit-nyelit dibalik-balik pohon. Merunduk-runduk perlahan. Memijak serta menguis-nguis ranting serta daun-daun reput sebelum melangkah. Arah suara semakin dihampiri. Sedikit debar terasa di dadanya kini. Pernafasan diatur sebaik mungkin agar pergerakannya tidak berasa kelok ketika melangkah.

Kenanga mengambil kedudukan secara bersandar di sebalik banir pohon balak. Dipalingkan tubuhnya kehadapan dan dijulurkan sedikit dahinya melepasi banir. Diintai-intai kehadapan. Kelihatan beberapa orang lelaki berpakaian merah sedang membincangkan sesuatu. Salah seorang daripadanya sahaja yang memakai pakaian yang berlainan warna. Barangkali yang itu orang tempatan. Cuma wajahnya tidak dapat dikenal pasti gara-gara kedudukannya yang membelakaginya. Kenanga kembali bersandar serta merendahkan sedikit tubuhnya seolah-olah bertinggung.

‘’Siapa dan apa yang sedang kalian lakukan?’’ berkerut sedikit dahinya sambil berbisik di dalam hati.

Dipalingkan semula tubuhnya dan kembali menghendap. Tujuh orang kesemuanya. Termasuk yang berbaju berlainan warna itu. Guntang! Kenanga mengenali lelaki tempatan itu. Tidak salah lagi berdasarkan susuk tubuh serta suaranya. Yang lain tampak seakan orang pendatang dari mukim yang lain. Gelagat yang kurang disenangi serta mencurigakan. Tambahan lagi mereka-mereka ini berurusan dengan Guntang. Pemuda yang terkenal dengan perlakuan nakal serta samseng kampungannya. Sering sahaja mengganggu ketenteraman masyarakat di Tanah Seri Anggar dengan membuli, memeras, mencuri hasil ternakan dan tanaman serta tidak lain dari mengusik kaum wanita serta anak-anak dara di situ. Bagaimanapun kegiatan nakal serta samsengnya itu tidak berani diadukan dek kerana di kalangan penduduk di situ ramai yang mengambil upah serta menumpang membina rumah di tanah milik bapanya Orang Kaya Dharwan. Nila dan Kenanga tidak terkecuali.

‘’Panglima Zahbur, bagaimana jika kita gempur sahaja ke istana dan rampas sahaja Keris Seri Anggar!’’ salah sorang dari lelaki pendatang itu mengemukakan cadangan.

‘’Bagaimana pendapat tuan hamba Guntang?’’

‘’Jikalau begitu, hamba kurang setuju Panglima Zahbur. Hamba sering keluar masuk istana. Sukar. Kawalannya sahaja terlalu rumit untuk ditembusi. Pengawal-pengawal sahaja semuanya cukup terlatih. Dilengkapi persenjataan yang rapi’’ Bingkas Guntang.

‘’Soal pengawal yang tuan hamba khuatirkan. Hahahahaha. Bukankah tuan hamba pahlawan terbilang di sini. Hahahahaha. Nampaknya jauh panggang dari api riaknya. Indah khabar dari rupa tampaknya. Hahaha’’ sindir lelaki yang bergelar Panglima Zahbur itu. Hela tawa disambut oleh lelaki-lelaki yang barang kali pengikutnya. Guntang sekadar terpunduk-punduk menahan aib. Ternyata kejantanan yang disalakkan selama ini hilang umpama anjing yang kecawatan ekornya. Kenanga memasang telinga dengan perasaan yang sinis.

‘’La... La… Lagi pun hamba kurang pasti akan kewujudan keris itu. Begitu juga dengan kedudukannya di dalam istana, jika pun ia benar-benar wujud’’ tergagap-gagap Guntang mereka alasan.

‘’Jahanam!’’ serentak itu satu tendangan tepat ke perut guntang. Guntang jatuh terduduk.

‘’Biar hamba tamatkan sahaja riwayat si jahanam ini panglima. Dari kejauahan kedatangan kita ke mari sekadar untuk melayan kebodohan si jahaman ini’’ kemarahan salah seorang pengikut Panglima Zahbur membuak-buak. Sebilah pedang yang panjangnya hampir sedepa dihunus ke dada Guntang.

‘’Nnn… nanti-nanti. Biar hamba tawarkan sesuatu’’ rayu Guntang. Ketakutan tatkala nyawanya bila-bila sahaja boleh melayang.

‘’Hamba bisa keluar masuk ke istana. Bi.. bi.. biarlah hamba siasat dahulu. Di mana kedudukan Keris itu. Kelak hamba akan khabarkan. Malam ini pasti akan diadakan keramaian di istana. Sesiapa pun bisa hadir. Termasuk kalian. Menyamarlah sebagai peniaga. Bila ada peluang, kita gempur. Hamba akan pastikan keris itu menjadi milik tuan hamba. Buat masa ini istirehatlah di rumah hamba’’ terketar-ketar Guntang mengatur rancangan. Pedang yang dihunus hanya beberapa inci dari dadanya. Ketakutannya kepada maut kini mengatasi segalanya.

‘’Delik!’’ panglima memberi isyarat agar pedang yang dihunus dialihkan. Delik pengikutnya akur dengan arahan.

‘’Baiklah. Buat pertama kali sang harimau melepaskan buruannya! Ku lepaskan kau kali ini. Tetapi seandainya kau gagal. Kau ku penggal. Seri Anggar akan ku bakar hangus. Ibu serta saudara perempuan mu akan menjadi hamba ku! Ngerti!’’ Panglima Zahbur menempik amaran ke telinga Guntang. Guntang hanya mengangguk-angguk ketakutan.

‘’ba.. baik. Tapi seperkara yang mahu ku ingatkan kepada kalian. Istana Seri Angkar juga diawasi Pendita Bukhqar’’ Guntang memberani-beranikan diri menjelaskan sesuatu.

‘’Siapa gerangan Pendita Bukhqar itu, jahanam?!’’

‘’Firasatnya kuat. Sebarang petaka yang mengancam pasti dapat dirasainya. Aku khuatir….’’

‘’Kesidang!’’ Seorang lagi pengikutnya mampir sambil menghulurkan satu bungkusan kecil kepada Panglima Zahbur.

‘’Bubuh ini ke dalam minuman atau makanan sesiapa sahaja yang menghalangi kau. Ingat, menghalangi kau, bererti menghalangi aku. Ingat! Nyawamu. Tanah Seri Anggar. Ibu serta saudara perempuan mu. Hahahahahahaha’’

‘’ba.. baik’’ dalam terpaksa dan rela, guntang hanya mengangguk-angguk.

‘’hahahhahahhahahahhahahah’’ perjanjian itu ditamatkan dengan tawa berdekah oleh Penglima Zahbur disertai pengikutnya. Guntang sekadar terpunduk-punduk kecawatan ekor.

Segalanya terdengar jelas ke telinga Kenanga. Sesuatu malapetaka buruk bakalan sahaja berlaku. Kenanga kembali ke kedudukan bersandar. Kembali bertinggung. Fikirannya buntu sejenak. Apa yang harus dilakukan. Dalam kebuntuannya itu, tumpuannya terhadap imbangan badannya terganggau. Kaki yang meninggung tubuhnya secara tiba-tiba kehilangan imbangan. Mahu tidak mahu terpaksa menahan dengan tangan. Malangnya tangan yang menahan itu telah menyentuh sebatang kayu reput disebalik banir itu. Prakkk!

‘’Siapa?!’’ Panglima Zahbur merampas pedang ditangan Delik. Lantas dihunjamkan ke arah persembunyian Kenanga. Melayang pedang itu membenam banir sehingga tembus separuh pedang itu.

‘’Kesidang! Delik! Periksa! Jangan Biar penigntip itu terlepas! Bangsat!’’ Tempik Panglima Zahbur.

BERSAMBUNG..

8 comments:

  1. You can write very well indeed. Able to capture your reader's attention with your colourful words. You should consider writing a book with your talent!
    No wonder you call yourself "Tukang Tulis". Indeed you are, indeed you are.

    ReplyDelete
  2. really. how sweet you are. thank you so much. yeah writing is my passion. its a big gift from the all mighty.

    nice to meet you lion girl. thank you for reading. thank you for the comment. i really appreciate it.

    ReplyDelete
  3. wow tukang tulis...cite ni citer melayu lama yer??
    pandai awak karang cerita kan...ada bakat ni..
    bahasa yang awak guna betul2 macam melayu klasik punye...

    ReplyDelete
  4. alah... biasa-biasa sahaja.... apa pun terima kasih ya...

    ReplyDelete
  5. Pasti kenanga di culik.. Oh.. Tidak!! Jgn kenanga di rogol sudah! Nice story.. Rasa mcm baca buku teks sastera masa skolah la. I loikeee

    ReplyDelete
  6. Good job Zul..penulisan melayu lama yg baik skli..

    Nak tau jgk apa jadi pd kenanga, sama fikiran sis, jgn kenanga di buat x senonoh..ermmm
    Terjadi ke tumpahan darah?huhuhu

    bila nak sambung???

    ReplyDelete
  7. Bagus la penulisan nih,,saya rasa ok awk teruskan je. Nak tau jugak episodnya. Buat secara episod macam nih, tapi jangan buat terlampau panjang sangat orang nak skroll tau. Gud luck.

    ReplyDelete