22.2.10

Derap Lantai III

Dan hari ini tiada lagi kedengaran derapan lantai pada rumah yang usang… tiada lagi terdengar geseran kasar pada daun pintu yang senget mencecah lantai.. tidak lagi terhempas jendela pada dinding yang meleding… tiada lagi kerisauan, kebimbangan pada jerlus kaki pada lantai-lantai kayu yang kian mereput… segalanya berubah kini… semuanya berganti sudah… yang hanya adalah cebisan-cebisan reja-reja kayu yang kian lusuh… sengaja di tinggalkan pada satu sudut yang mudah ditangkapi mata… agar selalu direnung.. moga selalu dikenang… betapa reja-reja lusuh ini adalah mercu sebuah perjuangan yang panjang… perjuangan dalam mengisi perut-perut yang kosong… perjuangan dalam mengisi poket-poket yang kosong… serta perjuangan dalam mengisi jiwa-jiwa yang kosong…

Nafasnya dihela panjang… segar udara desa masih lagi sama seperti deretan tahun-tahun yang terdahulu… dilihat dihujung sana, pada hujung garis pandangan adalah saujana pohonan kelapa bali yang kian kemuncak tingginya… kehijauan yang sentiasa membuat jiwa dan raganya sentiasa tenang… sentiasa syukur… sentiasa tafakur…

Kakinya melangkah ke halaman… memijak rumput-rumput hijau yang menghampari halaman… di sinilah satu ketika dahulu… keriangan, keriuhan, kelincahan, anak-anak kecil berkejaran… halaman yang mendidik anak-anak kecil betapa indah keakraban… betapa mulia persahabatan… betapa utuh persaudaraan… segalanya bagaikann terbayang jelas di pandangan… keasyikan anak-anak kecil berkejaran mengejar kapal terbang kertas yang melayang… lantas terukir senyuman di bibir… sambil mata mula mengacu manik-manik berkaca… suatu bayangan yang begitu pesona…

Dibiarkan bayangan itu berkejaran di halaman… langkah dimajukan lagi… kali ini menghampiri tebingan yang mengunjur, menghadap kejiranannya… satu lagi pemandangan saujana yang begitu asyik mempesona… sesekali sepoi angin menderu… membawa sekali aroma petang yang mengasyikkan… sedang mentari turut asyik mencorak warna-warna jingga kemerahan pada dada langit… menderu lagi angin… dan deruan kali ini seolah menyelak kembali halaman ingatannya terhadap kejiranan ini… satu ketika dahulu… di hadapan ini adalah hamparan laterit beradun kerikil merah sebagai jalan penghubung… pabila hujan… akan bisa menghasilkan lelumpur pekat yang mengotorkan sepatu putih anak-anak… dan pabila terik… maka hamparan laterit beradun kerikil merah ini bias menghasilkan debuan serta jerebu merah yang menyesakkan dadanya…

Pada saujana kejiranan ini satu ketika dahulu terdiri dari perumahan yang beratap asbestos… berdindingkan leding dinding…bertiangkan empat kali empat inci persegi beroti… seampuh leding dinding… seteguh empat kali empat inci persegi beroti… sempuh dan seteguh itulah keazaman kejiranan ini mencoret cerita ketamadunan dalam kehidupan… membina empayar dalam perjuangan yang panjang… menjadi survivor dalam kepayahan… biarpun di luar sana telah jauh meninggalkan… namun kuat di hati kejiranan ini untuk tidak menjadi satu umat bangsa yang hanya tahu melihat… tetapi tahu bertindak.. untuk tidak hanya menjadi satu umat bangsa yang hanya tahu meminta-minta… tatapi mahu juga memberi… kami adalah umat bangsa yang masih terlalu muda dalam ketamadunan ini… dan kami mahu belajar dari jalan-jalan yang amat sukar… biar diuji… agar teruji… moga terbukti betapa jiwa-jiwa yang lahir dari kejiranan ini adalah jiwa-jiwa yang diiisi dengan keteguhan…

Ketika mentari dilihat semakin condong… dengan sinarnya yang kian tidak bermaya… kian muram… meninggalkan sisa-sisa jingga yang mula beralah kepada kepekatan malam… kakinya masih dipacakkan pada tebingan ini… menikmati sisa-sisa siangnya yang mula diambil tuhan… menginsafi dirinya… sempatkah untuk bertemu pada siang keesokannya… untuknya kembali lagi berdiri di tebingan ini, menikmati sisa-sisa usia yang kian kepenghujung… untuknya setia menanti kepulangan anak-anak suci di perantauan… dan tidak akan diputuskan segala asa dalam penantian ini… selagi hayat dikandungi badan… selagi berdegup jantung ini.. selagi bermaya tubuh gering ini… penintian penuh kerinduan ini akan tetap diteruskan….

Kerepot dan kasar jemari tua ini diraih… dan serentak itu segera pandangannya dialih ke sisi… baru tersedar yang lamunan serta penantian panjang ini bukanlah sendirian… ditemani isteri yang selamanya setia berbakti… jemari isteri erat digenggaman… bersama merenung mentari yang hilang diusir malam… dan di hujung telinganya kini… sayup-sayup kedengaran kalimah-kalimah suci… suara gemersik azan… memangil sert amenyeru agar segala perjuangan… penantian… kerinduan ini segera dikembali kepada tuhan…. “allahu akhbar… allahu akhbar…”…

derap lantai I, II, dan III… perjuangan ku masih lagi teramat panjang…

Issued on 2007 9 27

1 comment: